Visual Kewartawanan Awam (Public Visual Journalism): Kesannya Terhadap Masyarakat

18/05/2018 | miza

Teks: Hakimi bin Halim

 

Masih ingatkah kita terhadap kekejaman yang berlaku di Penjara Abu Gharib. Bagaimana banduan-banduan tanpa bicara ditempatkan di sebuah penjara yang mempunyai tahap perikemanusiaan yang terendah di dunia pasca perang Iraq–Amerika. Begitu juga dengan kekejaman yang berlaku di penjara Guantanamo Bay, atau kita boleh ambil kes-kes terpencil yang menjadi isu dunia. Ingatkah kita seorang pelajar Malaysia dipukul di sebuah kejiranan di London ketika keluar rumah ketika rusuhan di London menjadi tidak terkawal. Malah kes ini menjadi isu hangat berkenaan tahap perkauman di negara yang kononnya menjunjung hak asasi manusia.

1
Video amatur menunjukkan pelajar Malaysia, Ashraf Rossli dibuli dan disamun oleh sekumpulan remaja semasa kejadian rusuhan besar-besaran di England. Gambar diperoleh pada 22hb Julai 2012 di http://www.bbc.co.uk/news/uk-england-london-17232636

Isu peperangan pihak mujahidin pelbagai firkah dengan kerajaan Syiah Nushairiyyah di Syria di mana kekejaman kita lihat hampir setiap hari di media-media sosial. Begitu juga dengan isu Palestin-Israel yang tidak berkesudahan.

Kita juga boleh mengambil kes-kes yang terkini. Sebagai contoh, kes pesawat hilang yang tidak dijumpai sehingga kini, MH 370 menjadi isu dunia yang hangat pada tahun ini. Ditambah dengan pesawat MH 17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine.

Selain itu, kes-kes terpencil juga tidak dilupakan dimana kita dapat melihat bagaimana seorang wanita bertudung mengamuk apabila kereta yang baharu dibeli dilanggar secara tidak sengaja oleh seorang warga emas, begitu juga kita melihat bagaimana remaja perempuan mengambil video sendiri dengan ungkapan popular “macam cantik je, macam comel je”.
Kesemua kita adalah wartawan. Pengistilahan ini pernah dibincangkan dahulu oleh saya dan pensyarah–pensyarah saya seperti Prof Dr Mustafa Halabi Haji Azahari dan En Sabki Mohd Noh. Kami telah melihat perkara ini serius sejak 9 tahun dahulu dimana pada ketika itu kamera telefon bimbit hanyalah beresolusi 3 hingga 5 megapiksel sahaja. Maka daripada perbincangan ini dan rujukan-rujukan ilmiah daripada pakar komunikasi media seperti Prof Paul Martin Lester, ungkapan Public Journalism atau Kewartawanan Awan sering terpancul di mulut kami.

Meyer (1995) menjelaskan bahawa, terdapat banyak pengistilahan yang diberikan kepada aktiviti kewartawanan ini iaitu civic journalism, citizen journalism, community journalism dan communitarian journalism.

Pernah juga dalam perbincangan dengan dengan wartawan foto senior yang saya hormati seperti Bazuki Muhammad dan Shamsharin Shamsuddin (saya tidak pasti mereka ingat atau tidak), kami membincangkan berkenaan dengan adanya alatan-alatan visual yang canggih, semua orang boleh menjadi wartawan. Ya, perkara itu benar dan kita semua telah tanpa sedar menjadi wartawan pada setiap hari pada masa kini.

Bezanya, wartawan konvensional terikat dengan etika, manakala wartawan awam tidak terikat dengan etika dan bebas mengeluarkan pemberitaan.

Kewartawanan awam tidaklah menjadi satu hal yang sangat penting 10-20 tahun lepas tetapi ianya sangat meluas sekarang. Ini tentu ada sebabnya. Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana perkembangan teknologi bersifat mobile yang maju dengan kamera yang berkemampuan tinggi. Jika kita lihat, pada masa kini, media konvensional juga sering mengambil sumber wartawan awam seperti bukti video, gambar dan audio sebagai pengisian kepada pemberitaan.

Sebagai contoh, kes terbaharu adalah kes MH 17 dimana semua media konvensional gergasi dunia seperti CNN, Al Jazeera, CCTV, CNBC, BBC, dan Skynews mengambil sumber video awam yang memaparkan sayap kiri pesawat MH 17 terbakar dan menjunam laju ke darat.

2
Video amatur yang diperolehi oleh ABC News yang menunjukkan api menjulang di kawasan MH 17 terhempas. Ini menunjukkan pentingnya kewartawanan awam menjadi pembekal kepada media konvensional. Diperolehi pada 22 Julai 2014 di http://www.thedenverchannel.com/news/u-s-world/how-does-crash-of-malaysia-airlines-flight-17-compare-to-malaysian-airlines-flight-370-mh370

Gambar-gambar ini terus merebak keseluruh dunia melalui laman Facebook dan pelbagai rangkaian media sosial yang lain. Daripada gambar ini telah memberi persepsi-persepsi berbeza di kalangan khalayak dunia. Pelbagai teori-teori daripada bukan pakar iaitu dari kalangan orang awam sendiri yang mengulas terhadap perkata tersebut tanpa dapat dikawal. Ini adalah perkara yang sememangnya tidak dapat dikawal oleh wartawan awam iaitu etika penyampaian. Wartawan awam adalah penyiar berita mengikut kepercayaan mereka terhadap sesuatu isu. Mereka bebas menyiarkan gambar, persepsi dan sudut pemberitaan tanpa batasan.

Sebagai contoh, gambar-gambar yang dikeluarkan oleh wartawan awam yang mengambil gambar video atau imej amatur tidak terikat kepada adab-adab dalam penyebaran imejan. Kita boleh lihat, ketika isu serangan Zionis terhadap orang awam Gaza, imejan-imejan bersifat sadis seperti kepala hancur, anggota badan yang tidak sempurna dan pelbagai imejan amatur yang mengikut peraturan kewartawanan konvensional tidak dapat disiarkan apatah lagi melibatkan orang awam dikalangan bayi dan kanak-kanak.

3
Info grafik ala kadar yang dibuat oleh wartawan awam untuk menyampaikan pemberitaan dalam isu Gaza. Diperolehi pada 22Julai 2014, di https://www.facebook.com/photo.php?fbid=620291804756511&set=a.141664095952620.28025.118863654899331&type=1&theater

Begitu juga keadaannya dimana orang awam yang dirakam dalam mana-mana kejadian. Mereka yang dirakam tidak mengetahui bahawa hak mereka sebenarnya dilindungi. Sebagai contoh, kes kemalangan kecil yang melibatkan seorang wanita yang dikenali sebagai Kiki. Begitu juga dengan warga emas yang dikenali sebagai Uncle Sim. Kedua-dua imej orang awam ini disebarkan di media sosial secara meluas, dibuli di alam siber dan diganggu hak peribadi mereka. Mereka juga secara tidak langsung tidak menyedari bahawa mereka sedang diperalatkan oleh media kewartawanan awam dan di akhirnya media-media konvensional turun mengambil kesempatan demi matlamat bisnes dan keuntungan.

Ini adalah beberapa contoh-contoh yang dapat kita lihat dalam memahami impak besar visual kewartawanan awam. Mutakhir ini, semua manusia sebenarnya tidak menyedari bahawa mereka juga wartawan, pembekal berita dan pengulas. Malah seorang kanak-kanak berusia seawal 7 tahun juga boleh menjadi sebahagian daripada pembekal berita amatur dengan alatan-alatan komunikasi yang mesra pengguna dan mudah untuk digunakan. Visual kewartawanan awam adalah satu daripada perkembangan dunia yang tidak dapat dielakkan dan mungkin akan berkembang tanpa batasan pada tahun-tahun mendatang. Samada ianya lebih memberi kesan buruk atau baik kepada dunia, itu masih lagi tidak dapat dijawab. Isu ini terlalu besar untuk dibincangkan. In Shaa Allah, saya akan pecahkan kepada beberapa sudut-sudut pandangan pada keluaran-keluaran akan datang.

 

4
Kes pergaduhan kecil menjadi isu nasional disebabkan impak kewartawanan awam.

Rujukan
Philip Meyer (1995) Public Journalism and the Problem of Objectivity, University of North Carolina at Chapel Hill. Article is based on a talk given to the IRE conference on computer assisted reporting in Cleveland in September 1995.

http://www.bbc.co.uk/news/uk-england-london-17232636

http://www.thedenverchannel.com/news/u-s-world/how-does-crash-of-malaysia-airlines-flight-17-compare-to-malaysian-airlines-flight-370-mh370

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=620291804756511&set=a.141664095952620.28025.118863654899331&type=1&theater

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 20 (Ogos/ September 2014)

fg-20-cover_m