Temuramah: Miza
Foto: Revati Andisamy

Salam Sejahtera, minggu ini kami memperkenalkan Revati Andisamy yang merupakan seorang jurugambar amatur yang baharu sahaja berjinak-jinak dalam bidang fotografi makanan. Walaupun berbeza dengan pekerjaannya dahulu sebagai penyelia hotel di Johor Bahru, beliau bersemangat mendalami bidang fotografi makanan sebagai hobi di waktu senggang beliau.

Sejak bilakah anda meminati bidang fotografi ini?
Saya memulakan minat ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu bagi mengisi masa lapang di musim PKP. Saya merakam menggunakan kamera telefon bimbit sahaja.

Dari manakah anda belajar merakam gambar?
Saya belajar dari menonton video di Youtube pada mulanya dan seorang kawan saya seorang jurugambar perkahwinan, Encik Emran dari Paradoxika_studio juga ada mengajar saya pengetahuan asas fotografi. Hasil karya beliau telah menarik minat saya untuk mendalami bidang fotografi ini. Walaupun beliau dalam bidang fotografi perkahwinan, hasil karya beliau mengagumkan dan menyentuh hati saya untuk bersemangat merakam gambar. Selain daripada itu, saya kerap melihat video pendek dalam laman sosial Instagram.

Kenapa anda memilih untuk merakam fotografi makanan?
Saya memilih untuk merakam fotografi makanan kerana saya sendiri suka makan. Saya sentiasa mencari resepi makanan yang baharu terutamanya masakan India untuk saya cuba masak dan rakam. Saya mempelbagaikan latar belakang berdasarkan bahan-bahan yang digunakan dalam resepi tersebut.

Lihat hasil karya beliau selanjutnya dalam laman sosial Instagram revati_adsy.