Segmen 3 Soalan 3 Jawapan – Maia Assan

01/04/2021 | miza

Temuramah: Miza

Foto: Maia Assan

 

Profile Picture
Maia Assan

 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

 

Minggu ini, kami memperkenalkan seorang lagi jurugambar wanita yang sentiasa kami melihat hasil karya beliau dalam group post di laman sosial facebook. Hasil karya beliau menarik perhatian kami untuk menemuramah beliau. Beliau ialah Maia Assan yang berasal dari Kuala Penyu dan kini menetap di Kota Kinabalu, Sabah. Beliau berkerja dalam perkhidmatan awam sepenuh masa dan menjadikan bidang fotografi sebagai satu hobi dan memulakannya dengan sebuah kamera DSLR, Nikon D3200, Leica D-Lux6 dan Sony a6000. Beliau memulakan aktiviti merakam gambar dalam genre landskap pada akhir tahun 2013. Beliau mulai serius dalam seni foto jalanan pada tahun 2016 dan mengikuti bengkel foto jalanan serta beberapa aktiviti ‘foto walk’ bersama-sama sahabat foto jalanan di Malaysia dan Indonesia. Beliau meneruskan aktiviti dalam genre foto jalanan secara solo sehingga sekarang. Beliau juga telah menyertai beberapa pameran foto di dalam dan di luar negara seperti di Indonesia dan pameran atas talian.

3Q3A kota kinabalu 07

Apakah yang membuatkan anda menceburi bidang fotografi jalanan dan bagaimana anda menerokanya?

Saya tertarik dengan fotografi jalanan kerana ianya adalah satu genre yang istimewa dan boleh membuatkan saya mengenali gelagat manusia serta mengenali kota tersebut. Saya akan lebih memahami tentang kehidupan seharian yang sentiasa berlaku dipersekitaran kita, perkembangan ekonomi, keindahan serta kebudayaan kota, belajar mengenai budi bahasa dan bagaimana kita menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Oleh itu, saya lebih suka membuka minda dan mata saya untuk turun dan mengenali masyarakat setempat serta kota tersebut, kemudian saya cuba untuk menyampaikan keindahan dijalanan itu melalui foto-foto saya. Di jalanan, saya akan mencuba pelbagai idea kreatif dan minda agar tidak terhad kepada satu subjek semata-mata.

3Q3A Keretapi Tg Aru 04

Bagaimanakah saudari mendapatkan subjek bagi sesebuah hasil karya?

Bagi mendapatkan subjek yang baik, cantik dan dapat menyampaikan sesuatu cerita dalam foto jalanan itu memerlukan ilmu. Sebelum saya turun ke jalanan, saya terlebih dahulu akan mengkaji dan belajar tentang lokasi, aktiviti, budaya masyarakat dan cuba bergaul serta berkenalan dengan masyarakat setempat malah saya sentiasa berdoa agar dipermudahkan urusan dalam mencari dan mendapatkan momen semasa. Saya akan cuba mengadaptasi diri saya dengan persekitaran semasa. Selain itu, memahami keadaan dan perubahan cuaca juga boleh mempengaruhi hasil karya saya.

3Q3A gaya street 03

Pandangan anda mengenai merakam secara bersendirian berbanding merakam bersama-sama rakan?

Apabila kita mencari momen dijalanan, kita harus sensitif tentang kota dan penerimaan masyarakat setempat dengan kehadiran kita dan kita harus memikirkan tentang faktor keselamatan diri terlebih dahulu tidak kira kita bersendirian ataupun bergerak bersama rakan-rakan. Walaupun begitu, kita akan lebih rasa selamat dan boleh berkongsi serta bertukar pendapat apabila kita bersama-sama rakan. Ketika kita mengambil foto jalanan bersama rakan-rakan, kita perlu memikirkan sesuatu kelainan dan lebih kreatif agar hasil yang kita rakam tidak menyamai dengan yang lain, manakala, merakam foto jalanan secara bersendirian memerlukan keberanian dan kecekapan fikiran dan ketajaman mata. Untuk hasil karya, saya berpendapat bahawa jika kita bergerak secara bersendirian, itu menjadi satu kelebihan kerana hanya kita yang akan dapat momen tersebut dan kita akan lebih fokus kepada tujuan kita memotret dijalanan, kita juga boleh menghasilkan idea kreatif yang tidak hanya menumpukan kepada aktiviti masyarakat tetapi kita boleh menceritakan tentang sesuatu kehidupan kota tersebut dengan benda-benda yang berada disekeliling. Kita akan rasa lebih yakin dan cabaran untuk mendapatkan momen tersebut membuatkan kita lebih matang dan mahu lebih belajar serta turun ke jalanan berulang kali.

 

3Q3A Tg Aru beach 01

 

Hasil karya beliau boleh dilihat di laman Facebook: www.facebook.com/sw8maia dan di Laman Instagram:www.Intagram.com/sw8maia , www.Intagram.com/sw8maiabnw