Varanasi, India

09/10/2017 | miza

Teks & Foto: Jidin

 

DIN_8256

 

Varanasi merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Gangga di Uttar Pradesh , 320 kilometer (200 batu) di tenggara ibu negeri, Lucknow. Varanasi dahulunya dikenali sebagai Benares atau Banaras atau Kashi, adalah sebuah bandar bersejarah di utara India. Bandar ini adalah bandar suci dalam agama Hindu . Hindu mempercayai sesiapa yang mati di Varanasi membawa keselamatan. Varanasi merupakan salah satu daripada bandar-bandar tertua di India dan di dunia. Varanasi terkenal dengan tempat penganut Hindu melakukan ibadah mereka di Sungai Ganges semasa matahari terbit dengan berlatar belakangkan kuil-kuil lama dan mungkin merupakan salah satu tempat yang menarik di dunia. Sesetengah orang percaya bahawa Varanasi adalah destinasi yang patut dilawati dalam perjalanan ke utara India.

DIN_8338Lebih 60,000 orang datang ke Sungai Ganges setiap hari untuk berenang dan mandi di perairan suci Ganges. Suasana ini akan dapat dilihat setiap hari seawal pukul 4.00 pagi sehingga matahari terbit makin meninggi. Mereka datang dari serata India dan pelusuk dunia. Di samping penganut Hindu, kelihatan juga ramai pelancong yang mengambil kesempatan melihat suasana ini samada dengan berjalan kaki ataupun menaiki bot. Perkhidmatan bot disediakan dengan bayaran setimpal. Jika menaiki bot, anda akan dapat melihat pemandangan dan suasana penduduk yang mandi membelakangi matahari terbit dengan berlatar belakangkan kuil dan ‘ghat’ yang banyak sepanjang sungai Ganges.

DSC_0889Terdapat banyak ‘ghat’ sepanjang sungai Ganges yang merupakan tempat pembakaran mayat. Antara ‘ghat’ yang terkenal ialah Manikarnika Ghat. Ianya merupakan ‘ghat’ yang terbesar dan berlaku pembakaran mayat selama 24 jam sehari sejak beribu-ribu tahun dahulu. Varanasi akan lebih ramai dikunjungi penganut Hindu dan pelancong pada musim-musim perayaan. Oleh demikian, jika anda bercadang hendak ke sana, cuba lihat kalendar pelancongan India dan sebaiknya menempah awal tiket perjalanan dan hotel penginapan.

Komuniti muslim juga terdapat di Varanasi. Terdapat masjid di pinggir Bandar Varanasi. Sekitar masjid agak mudah untuk mendapatkan makanan halal dan juga boleh berkomunikasi dengan penduduk muslim setempat. Terdapat pelbagai jenis kenderaan yang boleh digunakan untuk melawat sekitar Varanasi. Antara kenderaan yang popular ialah teksi, tut-tut (seperti di Thailand), motosikal sewa, basikal sewa, dan pelbagai jenis kenderaan lain. Cara terbaik untuk menjelajah Varanasi ialah melalui berjalan kaki. Ini kerana Varanasi mempunyai banyak lorong-lorong kecil sepanjang Ghat dan tebing sungai Ganges yang agak menarik suasana dan mempunyai pelbagai cerita dan pengalaman tersendiri. Pelbagai ragam manusia boleh dilihat dan aspek kebudayaan dan kemanusiaan yang boleh dilihat sepanjang lorong-lorong disamping juga terdapat banyak kedai yang menjual keperluan dan juga sesuai dijadikan cenderamata untuk dibawa pulang.

 

DIN_8449

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 13 (Jun/ Julai 2013)

fg13-cover_updated