Tips Merakam Sukan Badminton

17/10/2017 | miza

Teks & Foto: Arep Kulal

 

Acara beregu dirakamkan dari sudut yang berbeza

 

Salam hormat dan bertemu lagi dalam keluaran kali ini untuk saya berkongsi pengalaman dan ilmu fotografi saya bersama-sama dengan anda pembaca setia majalah Fotografika.

Beberapa keluaran yang lalu, saya berkongsi dengan pembaca mengenai tugasan dan cabaran dalam merakamkan aksi sukan bolasepak. Perkongsian rutin yang harus dilakukan oleh seorang jurugambar yang bertugas untuk merakamkan aksi perlawanan bolasepak, sebelum perlawanan, semasa perlawanan dan selepas perlawanan berakhir. Besar harapan saya perkongsian itu dapat memberi gambaran jelas mengenai tugas-tugas yang harus dilakukan oleh seorang jurugambar.

Sempena berlangsungnya 2 kejohanan badminton terbesar di ibu negara, Kejohanan Badminton Final Super Series dan Kejohanan Badminton Maybank Terbuka Malaysia pada bulan lalu, saya ingin berkongsi tips merakamkan aksi sukan badminton untuk dijadikan panduan kepada para pembaca majalah Fotografika.

Umum mengetahui, sukan badminton merupakan sukan kedua popular di Malaysia. Merakamkan aksi sukan badminton dilihat mudah, namun hakikatnya, merakamkan aksi sukan ini menuntut daya kreativiti yang tinggi. Ianya perlu bagi menghasilkan gambar yang ‘lain dari yang lain’.

Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi gambaran jelas kepada anda tips untuk merakam aksi sukan badminton dan mampu menjadikan gambar anda lebih berkualiti.

NSTP/Osman Adnan
Imej yang dihasilkan oleh jurugambar NST Osman Adnan ini memerlukan keberanian yang tinggi untuk dihasilkan

Tetapan pada kamera

Saya sering katakan, tetapan kamera adalah kunci dan rahsia kepada gambar yang anda hasilkan. Tetapan kamera anda pasti berbeza dengan tetapan kamera rakan yang lain kerana kamera anda ditetapkan mengikut kesesuaian dan citarasa anda.

Oleh kerana sukan badminton dimainkan di dalam dewan, maka ketetapan pada kamera anda amat penting untuk menghasilkan gambar yang berkualiti. Penggunaan ISO, kelajuan pengatup dan tetapan apertur yang baik mampu memberi anda gambar yang berkualiti tinggi.

Salah satu cara yang selalu saya gunakan untuk mendapatkan ISO yang tepat ialah menetapkan terlebih dahulu kelajuan pengatup dan apertur yang saya inginkan. Sebagai contoh, sekiranya saya menggunakan kelajuaan pengatup 1/500s dan f3.5 untuk tetapan apertur, saya akan menetapkan bacaan ini terlebih dahulu di dalam kamera saya. Kemudian barulah saya melihat paparan ‘metering’ samada ianya ‘over’ + atau ‘under’ -. Sekiranya ia berada pada bacaan ‘under’ (-) ,  saya akan menukar tetapan ISO sehingga paparan metering saya betul-betul seimbang di antara (+) atau (-). Ini membolehkan saya menggunakan tetapan ISO yang tepat pada waktu itu.

Menerusi pengalaman saya, saat paling menarik merakamkan aksi sukan badminton ialah semasa saya bertugas di Kejohanan Badminton Yonex ALL England di Birmingham England. Venue kejohanan, The NIA Birmingham diubah dengan menggelapkan arena tempat duduk penonton dan cahaya hanya dipancarkan di tengah gelanggang perlawanan. Gambar yang terhasil untuk sepanjang kejohanan ini sangat menarik kerana aksi pemain dirakamkan dengan latar belakang hitam.

Kini, Kuala Lumpur mengorak langkah yang sama. Kejohanan Badminton yang dianjurkan di Kuala Lumpur, bermula dengan Kejohanan Badminton Piala Axiata, Kejohanan Badminton Pusingan Akhir Super Series dan yang terbaharu Kejohanan Badminton Maybank Terbuka Malaysia menggunakan teknik kawalan dan aturan cahaya yang sama.

Dengan penataan cahaya yang baik di tengah gelanggang dan berlatar belakangkan  cahaya yang gelap, aksi sukan badminton mampu dirakamkan dengan baik sekiranya tetapan kamera anda ditetapkan dengan tepat.

Walaupun merakamkan dari arena penonton, gambar yang dihasilkan Safwan Mansor mempunyai penceritaan tersendiri

Sudut Terbaik

Dalam merakamkan aksi sukan badminton, sebagai jurugambar, anda tiada pilihan kerana zon untuk jurugambar telah ditetapkan di bahagian tepi gelanggang, di kawasan belakang ‘service judge’. Semua jurugambar yang bertugas akan berkumpul di kawasan tersebut untuk mendapatkan gambar yang terbaik. Anda harus bersedia lebih awal di sudut yang anda pilih dan perlu berasak-asak dan berkongsi kedudukan dengan jurugambar yang lain.

Pada waktu ini, pengetahuan dan bacaan tentang permainan memainkan peranan penting. Anda harus bijak membaca permainanan pemain yang beraksi. Sebagai contoh, reaksi pemain tersebut apabila mendapat mata, dan bersedia apabila pemain tersebut melakukan pukulan balas, ‘jumping smash’ dan sebarang gerakan. Anda harus fokus kepada seorang pemain terlebih dahulu dan membaca gerak mereka dengan pantas untuk memastikan bulu tangkis berada di dalam frame gambar anda.

Toleransi diantara jurugambar juga diperlukan pada waktu ini. Sekiranya anda berada di barisan hadapan dan telah mendapat gambar yang diperlukan, anda perlu memberi ruang kepada jurugambar yang lain untuk menggunakan tempat anda berada dan beralih ke sudut yang lain.

Disini lah daya kreativiti berfikir yang tinggi diperlukan. Ketika kesemua jurugambar berada disudut yang sama, anda harus memikir untuk mendapatkan sudut yang lain bagi membolehkan gambar anda lain daripada yang lain.

 

 

Guna Peralatan yang bersesuaian.

Untuk merakamkan aksi sukan badminton, lens yang tepat menjanjikan gambar yang menarik. Disebabkan sudut yang terhad, ramai jurugambar lebih gemar memilih ‘wide lens’ seperti 24-70mm untuk merakamkan aksi sukan badminton.

Namun saya lebih senang menggunakan lens 70-200mm untuk merakamkan aksi badminton samaada untuk acara perseorangan atau pun acara regu.

Lensa 70-200mm saya gunakan untuk merakamkan acara beregu
Lensa 70-200mm saya gunakan untuk merakamkan acara beregu

Cuba sudut yang baru

Kebiasaanya, imej aksi sukan badminton dirakamkan apabila pemain yang beraksi cuba membalas bulu tangkis dari pukulan ‘drop shots’ pemain lawan. Saya kategori imej seperti ini sebagai ‘imej biasa’.

Di Malaysia, jurugambar-jurugambar tempatan sering bersaing sesama mereka untuk mendapatkan gambar-gambar yang ‘luar biasa’. Mereka akan berlumba-lumba untuk mencari sudut-sudut baru untuk menjadikan gambar yang terhasil berbeza dari yang biasa. Antara jurugambar-jurugambar yang sering menghasilkan gambar luar biasa ialah Sdr. Kamal Sallehuddin dari Yahoo.com, Sdr. Safwan Mansor dari MalaysiaGazzete, Sdr. Mohammad Naim Firdaus dari Utusan Malaysia dan Sdr. Samsul Said dari Reuters.  Mereka akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk merakamkan aksi di gelanggang daripada pelbagai sudut. Adakalanya mereka duduk di kawasan arena penonton, tetapi berjaya menghasilkan gambar yang menarik. Disinilah pengalaman mengatasi segalanya.

Jurugambar terkenal NSTP, Osman Adnan misalnya merupakan antara jurugambar yang sering tampil dengan gambar-gambar yang ‘segar’ apabila bertugas dalam mana-mana kejohanan badminton di dalam negara. Beliau sering mencuba sesuatu yang baru dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza.

Dalam kejohanan badminton Maybank Terbuka Malaysia baru-baru ini, Osman sekali lagi mencuba menghasilkan gambar dari sudut yang sukar. Beliau sanggup untuk memanjat besi-besi siling di stadium dan berada pada jarak 50meter dari permukaan lantai, menyembunyikan perasaan gayat beliau untuk menghasilkan gambar yang pasti membuat orang teruja apabila melihatnya. Saya sendiri kagum dengan usaha beliau dan tidak sanggup untuk melakukan semua itu hanya untuk menghasilkan sekeping gambar.

Sebab itu saya sering menasihatkan agar kita menjadikan majalah-majalah sukan, laman berita online dan laman agensi berita bergambar seperti AP Images dan Getty Images dan hasil jurugambar-jurugambar seperti nama yang saya sebutkan sebagai bahan rujukan. Lihat dan pelajari sudut-sudut menarik dari mereka untuk menghasilkan imej yang terbaik.

Tekadkan di dalam diri dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang lain dari sudut yang berbeza. Percayalah anda tidak akan rugi sekiranya gambar tersebut tidak menjadi tetapi anda perlu bangga kerana telah mencuba.

Teknik multiple exposer beri anda kepuasan jika berjaya dihasilkan

Cuba Teknik fotografi yang bertepatan.

Sekiranya anda punya waktu, jadikan waktu terluang itu untuk mencuba teknik fotografi melalui kamera anda. Teknik seperti multiple exposer, pengatup perlahan mampu menghasilkan gambar yang baik dan menarik untuk aksi sukan badminton.

Teknik-teknik ini anda boleh pelajari melalui laman seperti ‘youtube’ sekiranya anda bukan seorang yang rajin membaca. Pelbagai teknik fotografi terdapat di dalam ‘youtube’, dan anda boleh mencuba teknik-teknik ini untuk menghasilkan gambar yang unik dan luar biasa.

Kebiasaannya dalam satu-satu kejohanan badminton yang besar, puluhan jurugambar dari pelbagai agensi berita dari serata dunia akan berkumpul di sudut yang sama untuk mendapatkan gambar yang terbaik. Anda akan pasti pulang dengan senyuman sekiranya anda berjaya menghasilkan sekeping gambar lain daripada yang lain, dari sudut yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh puluhan jurugambar yang bertugas. Kepuasan itu sudah pasti tidak dapat digambarkan.

Saya yakin, jika anda rajin mencuba, rajin melakukan ulangkaji, gambar luar biasa yang saya katakan pasti mampu menjadi milik anda. Teruskan usaha anda dan semoga perkongsian tips ini memberi sedikit input kepada anda dalam usaha anda menghasilkan gambar aksi sukan badminton yang luar biasa.

Bersama-sama saya untuk terus memartabatkan industri fotografi sukan di  Malaysia. Hingga jumpa lagi, salam hormat buat semua !

 

www.arepkulal.com

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 18 (April/ Mei 2014)

fg18-rgb