Teks & Foto: Arep Kulal

Salam hormat dan syukur kehadrat illahi kita dipertemukan lagi dalam keluaran kali ini untuk saya berkongsi pengalaman fotografi saya bersama-sama anda pembaca setia majalah fotografika.
Jadual tugasan yang padat pada penghujung tahun lalu menghalang saya untuk menulis dan berkongsi pengalaman saya dengan pembaca setia majalah ini. Kesibukan dalam tugasan di beberapa kejohanan besar di dalam dan di luar negara memaksa saya untuk fokus dengan tugasan dan melupakan minat dalam penulisan buat seketika.
Alhamdulillah, awal tahun 2015, situasi kerja kembali tenang dan masa mengizinkan saya untuk berkongsi rasa. Jika dalam keluaran terakhir, saya berkongsi tip untuk merakam aksi sukan badminton, kali ini saya akan berkongsi tip-tip untuk merakam aksi sukan golf, genre utama saya dalam fotografi sukan.

Umum mengetahui, sukan golf merupakan antara sukan yang semakin berkembang di negara kita. Jika dulu golf merupakan sukan untuk golangan elit, kini tidak lagi. Golf kini boleh dimainkan oleh semua golongan masyarakat dan dengan sokongan dari kerajaan, ianya dilihat antara sukan yang mampu memberi jaminan kepada atlit yang menyertainya.
Pada tahun lalu sahaja, Kuala Lumpur menganjurkan 4 kejohanan besar dalam kelendar golf dunia. EurAsia 2014–pertembungan di antara pasukan Asia menentang pasukan Eropah yang diadakan di Kelab Golf Glenmarie, Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia, Kejohanan Golf CIMB Asia Pacific dan Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia yang ketiga-tiganya dilangsungkan di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC), merupakan antara kejohanan golf yang tersenarai di dalam jelajah Asia, Jelajah Eropah, Jelajah PGA dan Jelajah LPGA.
Dengan perkembangan sukan golf di negara kita dan kejayaan penganjurannya yang mampu memperkenalkan Malaysia di mata dunia, saya yakin ramai yang berminat untuk mengetahui cara-cara dan tip-tip untuk merakamkan aksi sukan ini. Terpilih menjadi jurugambar rasmi di tiga daripada empat kejohanan besar yang saya sebut di atas sudah pasti merupakan pencapaian terbaik saya buat tahun 2014 lebih-lebih lagi keempat-empat acara di atas diuruskan oleh syarikat-syarikat pengurusan acara yang berbeza. Yang pasti pengalaman yang saya lalui ingin saya kongsikan bersama-sama anda. Justeru saya berharap dengan perkongsian ini para pembaca mendapat informasi yang boleh digunakan sekiranya berhasrat untuk mengambil gambar aksi sukan golf dan mampu menjadikan gambar anda lebih berkualiti dan bernilai.

Sukan Golf dimainkan oleh 2 golongan. Golongan pertama ialah golongan Amatur yang biasanya bermain untuk aktiviti riadah dan santai manakala golongan kedua ialah golongan profesional yang menjadikan golf sebagai kerjaya. Maka terdapat 2 jenis kejohanan golf iaitu kejohanan golf amatur dan kejohanan golf profesional. Kejohanan golf amatur pada kebiasaannya lebih santai dan dibuat pada skala yang kecil berbanding kejohanan golf profesional. Anda boleh memulakan kerjaya anda dengan merakam aksi pemain golf amatur dalam kejohanan amatur terlebih dahulu. Langkah ini menjadikan anda lebih bersedia sebelum anda ingin mencuba merakam aksi sukan golf dalam arena golf profesional.
Antara tip-tip yang ingin saya kongsikan :-
1-Kenali sukan Golf.
Sebelum anda memulakan sebarang aktiviti merakam aksi sukan golf, dan sekiranya anda bukan seorang ‘golfer’, perkara yang pertama anda harus lakukan ialah mengenali sukan golf itu terlebih dahulu. Kenali cara permainannya, bagaimana ia dimainkan, cara pengiraan markah dan yang paling penting, istilah-istilah yang digunakan dalam sukan golf antaranya teebox, fairway, bunker, birdie, par dan bogey. Anda akan mengalami kesukaran untuk melakukan tugasan anda tanpa mengenali dan memahami sukan golf ini terlebih dahulu.

2-Kenali pantang larangan
Pantang larang yang paling utama dalam sukan golf ialah anda tidak boleh menganggu kosentrasi pemain ketika mereka sedang bermain. Anda perlu menghormati mereka dan tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh menganggu mereka seperti bercakap dengan kuat, bergerak ketika mereka ingin melakukan pukulan dan yang paling penting menekan pengatup ketika mereka sedang bersedia untuk melakukan pukulan.
Ramai jurugambar yang tidak mengetahui pantang larang ini dan gagal mengikutinya. Akhirnya mereka ditegur oleh pemain dan adakalanya dimarahi oleh pemain yang gagal mengawal amarah mereka. Inilah satu-satunya perkara yang harus dielakkan.
3-Kenali sudut yang betul – BAHAYA MENANTI!
Dalam memilih sudut untuk merakamkan aksi sukan golf, anda harus tahu kedudukan yang selamat untuk anda berdiri bagi merakam aksi para pemain golf. Kesilapan memilih kedudukan yang selamat akan membahayakan diri anda. Dalam beberapa kes, ada jurugambar yang mengalami kecederaan dan kerosakan kamera apabila bola yang dipukul oleh pemain tersasar dan terkena mereka. Kemalangan seperti ini kerap berlaku dalam kejohanan amatur. Oleh itu keselamatan anda harus diutamakan.
Anda harus melihat dan mengkaji sudut yang sesuai untuk anda berdiri. Ini penting kerana selain keselamatan, anda juga perlu berada di kawasan yang tidak menganggu arah pukulan para pemain.

4- Fahami jadual permainan dan sistem permarkahan
Anda harus memahami cara pertandingan golf dijalankan. Bagaimana aturan jadual dilakukan, individu yang akan bermula terlebih dahulu dan individu yang terakhir untuk bermain. Ini bagi memudahkan anda mendapatkan pemain yang sedang mendahului kejohanan.
Semasa bertugas saya sering terjumpa jurugambar yang tidak mengenali pemain yang perlu mereka rakam dan pemain yang sedang mendahului kejohanan. Sekiranya ini berlaku, ianya akan menyukarkan anda untuk menyempurnakan tugasan anda. Oleh itu, sebelum anda memulakan tugasan, semak jadual permainan, kenal pasti pemain yang sedang mendahului, kenal pasti lokasi tempat yang sesuai untuk anda rakam mereka dan sentiasa memeriksa papan carta pendahulu kejohanan untuk anda bersedia dengan sebarang perubahan dalam senarai pendahulu kejohanan.
Dapatkan jadual permainan dan tandakan pemain-pemain yang ingin anda rakam, atur pergerakan anda, tentukan di lubang yang ke berapa anda boleh merakam gambar mereka. Dengan mengatur gerak kerja terlebih dahulu, ianya mampu memudahkan tugasan anda.

5-Kenali Pemain-pemain Bintang
Sekiranya anda ditugaskan untuk merakam kejohanan golf bertaraf profesional, perkara utama yang anda harus lakukan ialah mengenali pemain-pemain bintang yang beraksi. Layari laman sesawang kejohanan atau laman-laman sesawang golf yang memaparkan imej pemain-pemain bintang ini bagi memudahkan anda mengenali wajah mereka dan memudahkan tugasan anda. Harus diingat, gambar pemain-pemain bintang ini amat diperlukan walaupun mereka bukan pendahulu kejohanan. Anda perlu merakam gambar mereka tidak kira dimana kedudukan mereka dalam senarai pendahulu kejohanan.
Dalam kejohanan golf profesional, pemain golf diwajibkan menggunakan kedi. Anda akan melihat kedi memakai bip yang tertera nama pemain yang mereka bawa. Tip-tip untuk tidak lupa nama pemain yang anda rakamkan, pastikan anda merakamkan gambar kedi sejurus selepas anda merakam gambar pemain. Ini boleh mengingatkan nama pemain yang anda rakam setelah melihat nama yang tertera pada bip pada gambar kedi itu nanti.

6-Bersedia dan buat ‘homework’
Golf dimainkan sebanyak 18 lubang dan mengambil masa hampir 4 jam setengah untuk dihabiskan. Dalam kejohanan-kejohanan golf profesional, jurugambar tidak disediakan sebarang pengangkutan untuk melakukan tugasan anda. Ini bermakna anda harus berjalan kaki di lapangan golf tersebut dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Oleh itu sebagai jurugambar, anda harus terlebih dahulu bersedia dari segi fizikal dan mental.
Lakukan homework untuk mengenal pasti sudut yang sesuai dan baik bagi memudahkan tugasan anda. Lihat gambar-gambar aksi sukan golf yang telah dihasilkan oleh jurugambar-jurugambar profesional bagi memberi anda idea sudut terbaik untuk merakamkan aksi sukan golf di sesebuah lapangan.
Sekiranya anda mengatur tugasan anda dan melakukan homework, anda tidak perlu berjalan sehingga 18 lubang. Anda hanya perlu menunggu di lubang-lubang tertentu untuk anda rakam aksi pemain yang anda tentukan.
7-Gunakan peralatan yang sesuai dan ‘make it light..’
Ini soalan lazim yang sering diajukan kepada saya. Untuk mendapatkan gambar yang berkualiti dalam merakam aksi sukan golf, anda perlu menggunakan lensa yang berkualiti. Ini FAKTA bukan AUTA. Saya sering mengatakan bahawa untuk merakamkan aksi sukan golf, lensa 300mm f2.8 merupakan lensa yang paling minimum anda perlu ada untuk mendapatkan gambar yang berkualiti.

Oleh itu sebelum anda membuat keputusan untuk merakamkan aksi sukan golf, pastikan anda menggunakan peralatan yang bersesuaian. Tanpa peralatan yang sesuai, anda bukan sahaja boleh menganggu pemain tetapi juga merbahayakan diri anda sendiri. Ini kerana dalam sukan golf, anda tidak boleh terlalu hampir dengan pemain, justeru lensa yang berkualiti yang mampu merakam dari jarak yang jauh dari aksi pemain mampu memberikan gambar yang lebih berkualiti dan menyelamatkan nyawa dan peralatan anda.
Disebabkan anda terpaksa berjalan di lapangan golf, pastikan anda membawa peralatan yang diperlukan sahaja. Sebagai contoh, anda hanya akan menggunakan 1 kamera dan 1 lensa sahaja dalam satu-satu masa, oleh itu peralatan-peralatan lain seperti ‘flash’, ‘wide lens’ tidak perlu dibawa bersama-sama anda. Ianya akan meringankan beg anda dan memudahkan anda bergerak.

8-Apa yang perlu dirakam?
Dalam merakam aksi sukan golf, anda perlu mempelbagaikan imej yang anda rakam bagi menjadikan ianya lain daripada yang lain. Selain dari merakam gambar pukulan di atas tee box, pukulan kedua di fairway, aksi pemain melakukan putting, anda harus cuba mendapatkan aksi-aksi yang lebih menarik seperti pukulan dari dalam bunker, cleanshot di atas fairway, headshot pemain-pemain bintang, aksi-aksi spontan dan pelbagai ragam yang boleh anda saksikan di lapangan golf.
Buka mata dan sentiasa bersedia melihat apa-apa yang berlaku di hadapan anda. Gunakan elemen penting di sekeliling anda contohnya seperti A-board, Signage dan Logo yang boleh membantu menambah cerita dalam gambar anda.
Sekiranya anda punya waktu, anda juga boleh mencuba teknik fotografi seperti multiple exposure dan pengatup perlahan bagi menghasilkan gambar yang berbeza.

9-Fahamkan rakaman yang diperlukan oleh majikan/klien anda
Disebabkan merakam gambar aksi sukan golf memerlukan anda berjalan dari satu lubang ke lubang yang lain, anda perlu memahami rakaman yang diperlukan oleh klien yang memberi anda tugasan tersebut. Ini boleh menjimatkan waktu dan tenaga anda.
Sebagai contoh, saya bertugas dengan syarikat pengurusan acara (event management) yang berbeza dalam beberapa kejohanan. Perkara pertama yang harus saya tahu ialah corak gambar yang mereka perlukan. Setiap syarikat mempunyai citarasa yang berbeza. Adalah menjadi tugasan kita sebagai seorang jurugambar untuk memenuhi apa-apa yang mereka perlukan.
Oleh itu, sebelum memulakan tugasan, pastikan anda berbincang dengan mereka corak atau gaya gambar yang mereka perlukan.
Merakam aksi sukan golf sebenarnya menyeronokkan. Jika anda gemarkan kepada langit yang membiru dan rumput yang menghijau, tidak suka kepada bunyi bising dari mercun dan bom asap misalnya, merakamkan aksi sukan golf boleh menjadi subjek utama anda. Cuaca yang tidak menentu, bertugas di bawah terik panas mentari atau di bawah cuaca sejuk sehingga mencecah 5°c akan menjadi perkara biasa dalam genre ini.

Saya yakin, jika anda rajin mencuba, rajin melakukan ulangkaji, rajin berlatih di kejohanan-kejohanan amatur, tidak mustahil anda mampu menguasai genre fotografi ini. Teruskan berusaha, semoga perkongsian tips ini memberi sedikit input kepada anda dalam usaha anda menghasilkan gambar aksi sukan golf yang luar biasa. Saya nanti anda di lapangan.
Bersama-sama saya untuk terus memartabatkan industri fotografi sukan di Malaysia. Hingga jumpa lagi, salam hormat buat semua !
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 23 (Feb/Mac 2015)
