Teks & Foto: Dome

Daripada pemerhatian saya, tidak pernah saya melihat foto berkenaan festival Theyyam di majalah-majalah foto tempatan, mungkin juga saya terlepas pandang! Untuk isu kali ini saya kongsikan foto-foto upacara berkenaan yang saya rakam ketika kembara fotografi saya ke India.

Upacara ritual unik ini hanya terdapat di Kerala,India dan tertumpu dalam kawasan utara Malabar terutama di daerah Kasaragod dan Kannur. Theyyam atau dikenali juga sebagai Teyyam, Theyyattam atau Thira adalah gabungan warna, tarian, muzik, puisi dan merupakan upacara istiadat kaum Hindu berkasta rendah. Ianya adalah tradisi kuno sejak yang telah diamalkan sejak lebih ribuan tahun dahulu, dimana mereka mengangap individu yang menjadi Theyyam adalah sebagai jelmaan tuhan. Mereka akan datang pada hari upacara ini dijalankan, bertemu dengan Theyyam sambil mengadu nasib. Ada juga yang datang menderma beras, kelapa, minyak dan kadangkala wang. Setiap mereka yang ingin menderma akan ditimbang berat badan mereka dan jumlah derma akan menyamai jumlah berat badan si penderma. Satu timbangan gergasi akan di gunapakai ketika majlis ini. Agak terkejut juga saya pada mulanya ketika melihat kejadian ini terutama melihat kepada saiz timbangan mereka. Apabila di tanya tujuan mereka berbuat demikian, mereka mengatakan supaya kehidupan akan datang mereka akan lebih baik dan sejahtera.

Terdapat lebih 400 jenis Theyyam yang dimainkan oleh masyarakat Hindu di sini dengan pelbagai jenis rupa dan warna pakaian. Tidak ada pentas khas untuk upacara ini, ada yang dibuat di dalam kuil dan ada yang dibuat sekitar pinggir kampung. Pelaku Theyyam adalah dari kalangan kaum lelaki sahaja, mereka akan memulakan acara dengan proses solekan wajah sehinggalah kepada memakai pelbagai pakaian khas yang telah ditetapkan mengikut setiap watak yang dibawa. Apabila solekan dan pakaian sempurna, pelaku Theyyam akan duduk dan melihat diri mereka ke dalam cermin, dan bermulakan episod ‘jelmaan tuhan’ pada pelaku Theyyam. Saya lihat mereka seolah berada dalam keadaan separa sedar pada ketika ini. Ianya berlansung sepanjang hari, dari pagi hingga ke malam dengan beberapa jenis Theyyam dipersembahkan.

Festival ini kebiasaannya akan bermula dalam bulan November hingga Mac dengan pelbagai lokasi sekitar daerah ini. Untuk ke sini anda perlu mengambil penerbangan daripada Kuala Lumpur ke Kochi, India. Kemudian meneruskan perjalanan dari Kochi ke Kasaragod di utara Kerala menggunakan keretapi yang mengambil masa sekitar 8 jam sahaja. Tidak ramai pelancong asing di daerah ini dan fasaliti hotel juga terhad. Anda akan melihat banyak papan tanda bertulis hotel tetapi sebenarnya ia adalah kedai makan dan bukannya tempat penginapan. Bagi mereka yang berminat melihat dan merakam festival ini, rancanglah perjalanan anda. Selamat mengembara!
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 16 (Dis 2013/ Jan 2014)
