‘The Men Behind the Camera’

19/07/2017 | miza

Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

BLC_7170

 

  1. Tiada kamera DSLR bukan halangan untuk tidak menghasilkan gambar yang menarik. Pelbagai medium kamera lain seperti kamera telefon pintar, kamera kompak dan kamera DSLM.
  2. Hanya perlu ada asas dalam fotografi seperti pencahayaan, ‘framing’, komposisi, sudut, dan lain-lain.
  3. Perlu ada minat.
  4. Teknologi sekarang membolehkan kita merakam gambar pada setiap masa. Jadikan ianya sebagai alat untuk melatih mata melihat atau memilih subjek.
  5. Jurugambar perlu berani berhadapan dengan subjek dan sensitif dengan keadaan sekeliling.
  6. Perlu tahu mengawal diri semasa merakam dari mengawal subjek.
  7. Melatih diri untuk merasa atau menyelami keadaan yang berlaku.
  8. Jangan mudah mengeluh dengan rakaman yang lemah.
  9. Latihan membawa kesempurnaan.
  10. Banyakkan melihat gambar-gambar daripada majalah atau buku-buku fotografi sebagai rujukan.
  11. Latih diri menilai rakaman sendiri.

 

_AND8137

Apakah elemen yang paling penting untuk menghasilkan karya yang begitu mengasyikkan?

Perkara pertama yang paling penting dalam mengusahakan sesuatu kerjaya mahupun perlakuan ialah minat. Peraturan ini juga dapat diaplikasikan di dalam bidang fotografi. Untuk menjadikan seseorang itu cemerlang dalam menyuarakan pendapat dari segi visual, minat itu adalah sangat penting.

 

 

Dengan minat akan datanglah pelbagai buah fikiran dan idea-idea menarik bagi menjayakan karier anda. Dengan minat, anda akan menjadi lebih mudah untuk mengadaptasikan diri kita sendiri kepada persekitaran. Dengan minat anda dapat mengumpul lebih usaha dan mencari jalan yang kurang konvesional demi mendapatkan beberapa keping imej yang menarik pada tatapan mata anda. Minat dapat membuatkan seseorang itu lebih tekun untuk belajar kerana wujudnya perasaan ingin tahu yang membuak-buak di dalam diri untuk lebih mendalami ilmu fotografi.

pulau perhentian

 

Sudah tentu, era teknologi yang pesat membangun ini, gajet-gajet mewah yang bermutu tinggi sedikit sebanyak dapat membantu jurugambar untuk mendapatkan rakaman-rakaman yang gah dan menarik. Namun, alatan canggih tidak dapat menyangkal bakat seseorang. Jika anda seorang yang kreatif dan mampu meletakkan imaginasi anda ke dalam sekeping gambar dan merealisasikan imaginasi itu kepada visual untuk tatapan umum, anda juga telah menjadi seorang jurugambar yang hebat walaupun jika anda hanya merakam menggunakan kamera telefon pintar. Jika anda tiada akses kepada kamera canggih seperti kamera DSLR, sudah pasti itu bukan satu halangan untuk tidak menghasilkan gambar yang menarik perhatian penonton yang melihat imej tersebut. Pelbagai model kamera lain seperti kamera telefon pintar, kamera kompak dan kamera DSLM juga dapat dijadikan medium untuk berlatih dan berkembang sebagai seorang jurugambar. Alasan ketiadaan alatan canggih untuk mula berkarya itu sudah mulai lapuk.

 

Seseorang itu hanya memerlukan pengetahuan asas tentang fotografi sebelum memulakan karya-karya mereka. Pencahayaan, ‘framing’, komposisi, sudut adalah antara perkara asas yang perlu dikuasai untuk memastikan imej anda berkualiti. Perkara sebegini mampu dijadikan rujukan supaya hasil imej-imej yang akan ditangkap lebih menarik.

 

BLC_7241

Anda juga mestilah selalu melatih diri anda untuk menjadi lebih peka terhadap persekitaran sekeliling kerana ‘perfect shot’ mungkin akan berlaku di depan mata anda, anda hanya perlu melihat dengan lebih teliti. Antara sifat yang perlu ada di dalam seseorang jurugambar ialah sifat ketelitian. Sifat ini penting kerana ianya dapat melatih mata anda untuk melihat dunia dengan lebih dekat, untuk memerhatikan pemandangan di hadapan mata anda dengan lebih mendalam. Anda mungkin akan lebih prihatin terhadap pelbagai jenis stimulasi visual dan akan lebih peka untuk sentiasa bersedia menangkap gambar pada masa dan tempat yang betul.

 

 

Seorang jurugambar yang unggul tidak dapat dibentuk dalam masa semalam. Anda tidak boleh berhenti separuh jalan apabila melihat hasil tangkapan gambar yang kurang memberangsangkan tapi sebaliknya, terus berusaha dan cuba mencari jalan yang lebih kreatif untuk memajukan diri sendiri. Memahirkan diri dalam bidang fotografi boleh memakan masa yang lama kerana bidang ini sangat luas skop pembelajarannya. Anda harus menganggap proses pembelajaran ini sebagai sesuatu yang akan membantu anda untuk menjadi seorang jurugambar yang lebih bermutu.  Dengan latihan dan pengetahuan yang sering berkembang, ilmu anda tentang fotografi akan dapat dilihat secara visual pada gambar-gambar yang anda rakam.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 19 (Jun/Julai 2014)

fg19