Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

Seorang artis, ataupun seorang yang berkecimpung dalam bidang seni mempunyai nilai kreativiti yang tinggi dan senantiasa berusaha untuk mencapai buah pemikiran yang lain daripada yang lain.

RolloMay, seorang ahli psikologi terkenal berkata, jika seseorang itu mahu membuka pintu kreativitinya secara luas, seseorang itu mestilah berupaya untuk bersendiri, untuk mengasingkan diri serta melangkaui ketakutan yang ada dalam diri. Ini semua diperlukan untuk menjadi benar-benar kreatif.
Sememangnya terdapat hubungan yang mendalam antara kreativiti dan pengasingan diri, kerana seseorang hanya akan mendapat tahap kreativiti yang tinggi sekiranya dia berjaya merenggangkan pemikirannya secara holistik.
Fotografi sememangnya satu bidang kreatif yang memerlukan setiap jurufoto untuk keluar daripada kepompong keselesaan masing masing; ini termasuklah dari segi teknikal semasa menangkap gambar ataupun semasa proses mengedit gambar/ karya mereka.

Namun, semestinya setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mengekspreskan dan menemukan buah fikiran yang luar biasa. Tetapi, dengan adanya keseimbangan dalam menyendirikan diri untuk fokus terhadap pencernaan idea- ianya akan membantu seseorang untuk lebih menekankan produktiviti terhadap tahap kreativitinya.
Sebagai contoh, sedikit pengasingan diri seperti mengetepikan sejumlah masa untuk bebas dari segala gadget dan hubungan komunikasi akan membantu menemukan sesuatu yang lebih jelas dalam dunia yang senang sekali mudah terganggu fokusnya. Ini merupakan salah satu punca utama kreativiti mutlak kian pupus.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 32 (Okt/Nov2016)
