Teks & Foto: Jidin

Prinsip Teori Gestalt banyak digunakan dalam fotografi sama ada secara sedar ataupun tidak sedar. Artikel kali ini akan membincangkan salah satu konsep Gestalt yang digunakan dalam fotografi. Konsep itu ialah “proximity” ataupun dalam bahasa Melayu bermaksud kedekatan. Apa yang dimaksudkan “proximity” oleh Gestalt dalam bidang fotografi ialah sebagai contoh jika jurugambar merakam gambar seseorang, dan di belakang individu tersebut terdapat tiang lampu ataupun ranting pokok. Jika jurugambar tidak mengambil kira latarbelakang yang mungkin mencacatkan gambar tersebut, maka kemungkinan gambar yang dirakam kelihatan seolah-olah tiang lampu tumbuh atas kepala ataupun kelihatan menyakitkan dengan ranting pokok menembusi kepala subjek yang dirakam. Gambar yang terhasil dalam dua dimensi memperlihatkan sedemikian kerana kedua-dua subjek dalam fokus yang selari dan kelihatan dekat antara satu sama lain, walaupun dalam realiti sebenar ia adalah dua subjek yang berjauhan dan berbeza.

Perkara ini penting untuk diberi perhatian oleh jurugambar kerana perkara yang dilihat dalam gambar adalah secara dua dimensi berbanding realiti dalam dunia sebenar yang berbentuk tiga dimensi. Oleh yang demikian penting untuk kita mengambil kira latar belakang subjek sebelum merakam sesuatu gambar.
Bagaimanakah hendak menggunakan konsep “proximity” atau kedekatan dalam fotografi? Setelah memahami apa yang dimaksudkan tentang “proximity” dan penggunaanya dalam fotografi, cara yang terbaik ialah, sekeliling subjek dan latarbelakang mesti diberi perhatian sebelum merakam sesuatu gambar. Jika latar belakang boleh mencacatkan gambar, maka jurugambar boleh mengubah kedudukan subjek ataupun mengalih kedudukan kamera.

Jika tidak dapat mengubah kedudukan subjek atau kamera maka jurugambar boleh cuba dengan menukar kepada lensa telephoto atau lensa yang mempunyai bukaan aperture besar seperti lensa 70-200mm danbukaan aperture F2.8. Keupayaan lensa telefoto akan membuatkan gambar kelihatan lebih kompres dengan sudut pandangan yang lebih tirus dan juga boleh menghasilkan kesan bokeh yang boleh mengasingkan subjek dan latar belakang. Pemahaman jelas tentang konsep “Depth of Field” amat membantu dalam proses pemahaman konsep “proximity” dan sangat sesuai untuk diaplikasi dalam gambar yang dirakam.

Jurugambar juga perlu memastikan unsur positif dan negatif dalam gambar yang hendak dihasilkan. Unsur positif ialah fokus subjek utama dan unsur negatif ialah unsur lain dalam gambar selain daripada subjek utama. Dengan mengenal pasti subjek untuk dijadikan unsur positif dan negatif memudahkan lagi proses menghasilkan gambar yang menggunakan konsep atau pendekatan “proximity”.
Akhir sekali, teori Gestalt antara lain bermatlamat untuk mengkaji bagaimana fikiran manusia menerima dan memproses input visual. Persepsi pemikiran manusia berbeza antara satu sama lain apabila memproses input visual yang terhasil dari gambar yang dirakam oleh jurugambar.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 04 (Dis 2011/Jan 2012)
