Teori Gestalt dalam fotografi : Continuation @ kesinambungan

08/03/2018 | miza

Teks & Foto: Jidin

 

WPPM 1

 

Apabila anda merakam gambar, antara matlamat utama anda adalah untuk mengawal mata penonton dan ini adalah salah satu cara yang anda boleh gunakan sebagai seorang jurugambar untuk membuat komposisi yang bermakna dengan menggunakan konsep ‘kesinambungan” ataupun dikenali dengan “Leading Line” dalam istilah fotografi. Konsep ini digunakan untuk menarik mata penonton melalui gambar secara sengaja atau tidak disengajakan. Garisan semulajadi yang dicipta dalam ruang gambar digunakan untuk mewujudkan naratif visual di dalam komposisi. Ianya juga digunakan untuk menarik mata anda kepada titik tumpuan yang anda ingin serlahkan.

DIN_8075Secara psikologi gambar yang dihasilkan akan menarik minat mata penonton untuk melihat gambar dan kebiasaanya bermula dari bawah atau dari mana garisan itu terhasil. Banyak di antara kita akan meneroka ke dalam gambar bermula daripada bawah, kerana bahagian bawah adalah yang paling dekat dengan kita. Sebagai contoh jika melihat gambar pantai, maka mata dengan sendiri akan mula melihat dari hujung gambar dan terus terarah kearah subjek ataupun pemandangan yang ingin diserlahkan.

Konsep kesinambungan ini boleh terjadi dalam keadaan sebenar atau dalam bentuk imaginasi. Iaitu dalam bentuk garisan yang jelas terhasil seperti tepian pantai, sungai,jalanraya, pagar, tangga dan sebagainya. Keadaan seperti garisan yang putus-putus dan agak kurang jelas juga termasuk dalam konsep kesinambungan. Seperti contoh susunan batu-batu atau sesuatu objek. Ianya seperti apabila kita “menghubungkan titik” dalam permainan kanak-kanak atau mengenal pasti buruj di langit.

Gambar yang menggunakan konsep kesinambungan akan membawa mata anda dari belakang dan bergerak ke hadapan dan mewujudkan impak yang mendalam. Garisan yang ada boleh gunakan terdiri samada satu garisan sahaja atau juga berbentuk garisan kesinambungan yang berganda .

unta (1)Sebagai contoh gambar subjek di dalam perahu. Gambar ini menggunakan elemen landskap sekeliling dan bunga yang sedang mengalir dalam air sebagai pelengkap konsep kesinambunagan. Tiada garisan yang jelas, tetapi kelihatan bunga yang sedang mengalir dalam air yang bermula dari sudut kiri gambar. Secara automatik bunga yang mengalir ini menarik minat mata untuk melihat gambar tesebut dengan lebih mendalam dengan mengarahkan mata kearah subjek yang sedang berada di dalam perahu. Konsep kesinambungan ini menghasilkan fokus kepada titik tumpuan utama.

Antara contoh lain ialah mata memandang gambar landskap pemandangan di pantai. Gambar ini secara tidak langsung telah menarik minat penonton untuk lebih menghayati kawasan sekeliling dan melihat pemandangan dan orang ramai yang berjalan menghayati keindahan pantai. Secara tidak sedar, jurugambar telah berjaya menarik minat secara psikologi untuk penonton lebih menghayati gambar dan pada masa yang sama memberi idea kepada penonton untuk mengenal pasti kawasan yang menarik untuk bercuti.

152e

Bagaimana anda boleh menggunakan konsep kesinambungan untuk membantu penghasilan karya foto anda? Beri perhatian kepada unsur-unsur semula jadi yang menarik perhatian anda. Tinjau keadaan sekelililng sebelum merakam gambar. Cuba perhatikan keadaan sekeliling yang boleh dijadikan elemen menarik untuk mempraktik konsep kesinambungan dalam menghasilkan gambar yang menarik. Setelah dikenal pasti unsur dan elemen yang boleh digunakan, kenal pasti komposisi dan perletakan subjek utama dengan mengambil kira konsep kesinambungan dalam menghasilkan gambar yang menarik.

Jika anda mengambil gambar landskap, pastikan ada garisan atau elemen yang boleh membawa mata anda kepada unsur-unsur yang indah atau menarik. Garisan harus menjadi bahagian utama dalam komposisi, tetapi ingat, ia adalah alat untuk membantu penonton anda mencari ciri-ciri yang anda benar-benar mahu tekankan di dalam sesebuah gambar.

Jika anda mengambil gambar potret, letakkan subjek anda dengan garisan yang membawa kepada subjek. Ianya menguatkan komposisi anda dengan menyerlahkan subjek. Semoga pemahaman tentang konsep kesinambungan ini akan memberi lebih kefahaman tentang impak psikologi yang boleh dihasilkan dalam sesebuah foto yang baik dan boleh menarik minat penonton untuk menghayati gambar yang anda dihasilkan.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 05 (Feb/Mac 2012)

fg-05-cover