Syurga Yang Hilang

13/07/2017 | miza

Teks & Foto: Dome

big_D8M9934
Nikon D800, ISO 200, f/8, 1/200s

Kesinambungan daripada pameran dan slot bicara yang akan saya berikan di KLPF 2013, saya catatkan serba sedikit perkongsian pengalaman saya bersama-sama Orang Asal daripada suku Bateq di Kuala Koh, Kelantan untuk tatapan pembaca Fotografika. ‘Syurga yang hilang’ merujuk kepada hutan sebagai syurga bagi Orang Asal di sini yang kian berkurangan akibat daripada sektor peladangan kelapa sawit dan pembalakan. Hutan, tempat mereka mencari makan atau boleh dianggap sebagai ‘hyper market’ dengan konsep ‘petik dan pulang’. Sebahagian daripada mereka masih lagi menetap di hutan dan keluar sekali sekala untuk menjual hasilnya seperti gaharu dan rotan. Saya tidak mahu menulis atau mengulas lanjut mengenai permasalahan berkenaan hutan kerana ianya sering dibicarakan di pelbagai medium dan sedia maklum. Di sini ingin saya berkongsi kisah sisa hutan yang masih wujud untuk mereka nikmati sebelum syurga alam ini menghilang.

_D8M9702
Nikon D800, ISO 640, f/2.8, 1/640s

Perjalanan kami daripada kampung utama ke hutan dibuat pada awal pagi, bagi yang masih kecil mereka di gendong oleh ibubapa masing-masing. Kami berjalan kaki beberapa jam melalui denai hutan sebelum sampai di hulu sungai dan kemudian meneruskan perjalanan melalui jalan sungai. Sepanjang perjalanan melalui sungai, mereka akan berhenti di kawasan tertentu untuk memancing dengan menggunakan umpan cacing.

_D8M0032
Nikon D800, ISO 200, f/2.8, 1/125s

Menjelang tengah hari, kami berhenti rehat, kanak-kanak mengambil peluang bermain manakala bagi kaum lelaki dewasa mereka mula mencari dan menebang buluh, manakala kaum wanita mencari rotan yang digunakan sebagai tali bagi tujuan membuat rakit. Oleh kerana paras air sungai utama semakin dalam jadi rakit terpaksa digunapakai untuk mudik ke hilir sungai.

_D8M9922
Nikon D800, ISO 200, f/8, 1/100s

Sukar juga untuk mengambarkan bagaimana perasaan saya ketika berada di atas rakit bersama-sama mereka dan semua peralatan kamera saya, rakit yang di buat menggunakan 10 batang buluh dan dinaiki oleh 10 orang. Perasaan gementar mula bersarang terutama ketika melalui kawasan jeram dan kawasan paras air yang sangat dalam. Walau bagaimanapun boleh saya katakan pengalaman ini sangat hebat, apatah lagi pada sebelah petang hujan turun dengan lebat. Apabila hujan mulai reda mereka memulakan kembali aktiviti memancing dan kami meneruskan perjalanan balik dengan rakit.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 15 (Okt/Nov 2013)

fg15-cover