Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

Dunia terus menyaksikan kebanjiran dan lambakan mereka-mereka yang ingin dikenali sebagai seorang jurugambar atau jurufoto (melalui genre atau disiplin masing-masing) dan kita di tanahair yang tercinta ini dimana “Di sini lahirnya sebuah cinta”, juga turut menyaksikan akan arus perubahan ini. Satu perubahan yang cukup menarik untuk diteladani sebenarnya. Teknologi kamera digital telah melahirkan ramai kelompok-kelompok seperti ini. Hasil cakupan dan deruan laman-laman siber dan sosial juga turut memainkan peranan besar dalam skala pergerakan aktiviti dan industri fotografi di tanahair. Umum ada kalanya terlupa bahawa seorang jurugambar dengan kaliber yang tersendiri dan seorang pemilik kamera yang pandai berfalsafah kosong adalah dua perkara yang sangat berbeza, berbeza.
Hasil dari perkembangan penstrukturan akademik, ideologi penjenamaan dan jelmaan identiti yang baru di alaf moden ini sedikit sebanyak telah menyukarkan kita untuk merujuk kepada mana-mana pihak yang ingin kita ketengahkan akan sumbangan sebenar mereka dalam memacu dan menerajui kehendak dan keperluan semasa aktiviti fotografi di kalangan peminatnya. Kita kini mempunyai susuk atau struktur yang dominan tetapi tidak banyak sumbangannya, kita juga turut mempunyai susuk yang tidak dominan tetapi lebih berjaya dan tungkas dalam hasilan karya-karya yang menunjangi kepesatan aliran moden industri fotografi tanahair. Namun kita juga harus menyoal diri kita sendiri siapakah yang kini menjadi perhatian untuk diteladani secara ilmiah dalam skala input yang betul? Ini sesuatu yang menarik sebenarnya kerana ada perimbangan di antara dua kancah yang berbeza ini, baik dan hanyut. Peranan akademik dan halatuju industri sering menjadi satu titik persoalan yang cukup menarik untuk diperbahas secara kritis dan ilmiah namun topik ini tidak akan kita bicarakan di sini.

Seseorang jurugambar tidak dapat lari dari satu lingkungan idea namun di daerah inilah ramai yang terlingkup. Tidak ada kesamarataan antara setiap jurugambar atau pengkarya foto. Masing-masing tampil dengan cermin olahan idea yang tersendiri. Ada kalanya sewaktu kita melihat tunas-tunas idea dari sesuatu karya itu, kita sebenarnya telah dapat mengetahui akan idea dan ekplorasi bernas minda seseorang pengkarya tersebut. Ini sebenarnya sesuatu yang tidak dapat kita nafikan. Hasil karya yang minimalis pun sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri tanpa perlu akan dokongan ayat-ayat penguat sebagai suatu retorik dalam penyampaian. Inilah antara kekuatan sesuatu idea yang jitu. Idea bernas dan hasilan karya umpama satu metafora yang bergerak seiringan dalam satu manifestasi seni fotografi itu sendiri. Masalah terbesar kita hari ini ialah kurangnya idea dek kerana kurangnya skala pemikiran kritis kita kerana semua ingin mencapai jalan mudah dalam setiap gerak kerja yang dilakukan. Idea dan konsep hanya sekadar pemuat cerita sedangkan ia harus menjadi satu plot utama dalam penghasilan sesuatu karya fotografi.
Bagaimana ingin melahir dan menzahirkan sesuatu idea, konsep dan persembahan yang baik ? Jawapan sebenarnya adalah pada pengkarya itu sendiri. Pengkarya harus mempunyai, malahan mengungguli satu nilai falsafah diri yang kuat dalam memahami kehendak realiti dan peradaban semasa. Letakkan satu rasa kewujudan atau keterlibatan kita di dalam sesuatu suasana, konflik atau peristiwa yang sedang berlaku. ‘Rasa’ adalah intipati utama dalam gagasan sesebuah idea ketika berkarya. Rasa adalah sesuatu yang sangat penting kerana setiap kali berkarya, kita sebenarnya berkongsi satu koleksi yang dipenuhi dangan rasa dan perasaan-emosi yang tersendiri. Tidak harus lari dari kepompong kemanusian dan harusnya ada ikatan dengan dunia yang serba luas ini. Kita sering terlupa bahawa ada ritma-ritma yang luas dalam setiap lambakan karya-karya yang di dominasi dengan falsafahnya yang tersendiri tidak kira apa genre sekalipun. Ritma-ritma ini yang akan memberikan jalinan yang lebih meluas apabila dipersembahkan kepada umum untuk dinilai.
Ramai yang masih belum mengerti akan kepentingan karya-karya seminal yang sepatutnya lebih banyak dihasilkan dengan kepesatan teknologi yang serba canggih dan moden yang dapat diaplikasikan oleh kita semua. Kita umpama deretan tentera yang bergerak dengan strategi lapuk dan senang untuk diagak. Hanya ada segelintir pengkarya sahaja yang berani dengan aspek persembahan seminal mereka. Ruang lingkup eksplorasi yang didasari oleh falsafah dalaman sebenarnya sangat luas. Kita yang masih lambat untuk memetik pemicu peluru yang berkesan . Kita masih tertakluk kepada gagasan idea yang tidak cukup kuat untuk meneruskan ekplorasi seni kita .

Satu rangka kerja yang ekstensif dan sentiasa berkembang adalah tunjang kepada kematangan dan proses pendewasaan seseorang pengkarya dalam seni dan industri fotografi ini. Persoalannya di manakah kita meletakkan liga kehebatan karya kita? Kita adakalanya meletakkan satu standard tentang keupayaan kita dalam berkarya tetapi bukan di tempat yang selayaknya. Kita tidak bersaing di dalam liga yang sepatutnya, kita tidak berlumba dalam satu perlumbaan yang sihat, kita tidak memahami maksud persaingan sihat untuk penambah baikan karya-karya foto kita pada masa yang akan datang. Akibatnya kita terus menjadi susuk tepu di daerah statik.
Kita jadi buta dalam mengenal warna-warna kreatif yang sebenar. Kita jadi buta dalam mendalami corak-corak sebenar konsep dan idea yang terbaik untuk setiap hidangan visual dan imejan kita. Buta dalam satu daerah seni foto yang yang sepatutnya cerah dalam segenap aspek lingkungan intipatinya. Mungkin ramai yang tidak sedar tetapi bagi penulis sendiri, ini adalah apa-apa yang penulis belajar melalui pengamatan sepanjang berlegar di sudut-sudut jemaah fotografi kita. Banyak yang mahu berkarya tetapi tidak memahami kehendak proses berfikir secara komprehensif dan kritis. Hasil akhiran yang diperlihatkan nanti pasti menampakkan lubang-lubang ketepuan dari segi skala berfikir. Kerana apa? Kerana satu proses terpenting dalam penghasilan karya telah ditinggalkan.
Jenis fikir, cara berfikir, gaya berfikir dan metadologi berfikir seseorang pengkarya fotografi adalah penguat kepada sesuatu karya. Ini adalah satu proses yang tidak boleh diketepikan. Namun, ramai di antara kita yang tidak mengetahui proses ini. Kita lebih selesa menjadi seorang pemilik kamera yang terus dihujani jutaan ‘like’ setiap kali kita berkarya melalui omongan kosong dan falsafah songsang di dada laman sosial kita. Maksud dan kehendak seni itu sendiri telah kita cemari dengan gelagat kita yang menyesakkan dada sang pemerhati. Semua manusia mempunyai satu titik buta secara kiasan (bahasa) atau secara perlambangan (metaforik), namun janganlah kita menampakkan kebutaan kita itu dalam setiap aspek perbuatan kita. Satu proses pembangunan sahsiah dan mentality dalam berkarya harus bergerak seiringan dengan fasa kematangan kita. Malang apabila ada yang masih meluncuri usia kedewasaan (atau penuaan) dengan gelagat seumpama kanak-kanak yang kurang kasih sayang. Sedih dan cukup memilukan.

Apa-apa yang kita lihat bukanlah sesuatu yang sentiasa kena pada standard rasa dan penerimaan kita. Namun itu bukan alasan untuk kita terus tidak menjelajahi ruang-ruang pengamatan dari sudut estetika yang lain. Ruang sentiasa tersedia cuma kita yang sering alpa dalam memahami tentang alternatif yang perlu kita lakukan. Rasa dan lihat tidak sama dengan lihat dan cuba merasa. Begitu juga lihat dan rasa tidak sama dengan rasa dan cuba melihat. Inilah yang kita panggil sebagai ‘taste’ atau citarasa seseorang pengkarya fotografi sebagai satu jalinan seni visual. Satu disiplin yang nampak mudah tetapi sebenarnya harus melalui satu fasa pembelajaran dan pengenalpastian yang sangat terperinci sebenarnya. Tanpa citarasa yang tinggi seseorang akan hanya menzahir dan melahirkan karya-karya yang kering dan tepu. Sukar untuk mereka mencapai satu pemaknaan intipati dari segi konteks dan maksud serta emosi yang kuat dalam setiap representasi meraka. Emosi yang gagal tidak akan melahirkan ‘form’ dan atmosfera yang kuat dalam setiap perincian sesebuah karya.
Karakter, dedikasi, praktikal seseorang pengkarya bukan suatu perkara yang jatuh dari langit begitu sahaja. Semua perkara ini harus dicari dan digali dalam fasa-fasa kehidupan. Dari situ kita belajar mengenai pelbagai perkara. Ada yang masih berangan-angan dan bermimpi untuk menjadi pengkarya dalam satu masa yang singkat. Kepekaan mengenai apa-apa yang berlaku di sekeliling juga turut melambangkan reaksi intelektual seseorang pengkarya. Seni adalah satu ledakan kreativiti dan intelektualiti seseorang pengkarya. Seni sangat sinonim dengan wacana keilmuan dan bukannya satu medan taruhan untuk menunjuk lagak. Seni juga merupakan satu bahasa bukan bentuk perkataan yang global yang dapat difahami oleh ramai pemerhati. Jangan kita ‘bakul sampahkan’ seni fotografi kita hanya untuk pautan yang langsung tidak menyumbang kepada pergerakan fotografi di tanahair kita. Seni harus terus kekal halus, indah, baik dan berguna untuk setiap aspek kemanusian. Jangan kita lacurkan seni kita hanya untuk suatu nama. Nama yang tidak akan kekal sama sekali.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 21 (Okt/ Nov 2014)
