Seni fotografi alam semulajadi

22/09/2017 | miza

Temuramah: Miza           Foto: Mohd Samsi Sumairi

 

Profile
Mohd Samsi Bin Sumairi

 

Nama beliau tidak asing lagi apabila sering menjadi sebutan sebagai pemenang pertandingan fotografi yang diadakan di Malaysia. Anak kelahiran Kuala Selangor ini mula menceburi bidang fotografi sejak awal tahun 1979. Pada permulaannya, beliau hanya merakam potret keluarga dan kawan-kawan menggunakan kamera kompak filem.

Grand Prize_ Wonderfull People Pahang_ Anjuran TOURISM Pahang 2014
Hadiah Utama – ‘Wonderfull People Pahang’ Anjuran Tourism Pahang 2014

Beliau berminat dalam bidang fotografi kerana baginya fotografi merupakan wadah bahasa ‘Universal’ yang mudah bagi seseorang mengeluarkan inspirasi jiwa. Semasa di alam pengajian, beliau banyak menggunakan fotografi untuk merakam maklumat pembelajaran dan menjadi sumber pendapatan pada waktu tersebut.

Genre fotografi alam semulajadi menjadi pilihan beliau kerana terdapat pelbagai seni yang ada di dalamnya. Seni tersebut sukar diperjelaskan secara umum kerana setiap individu mempunyai imaginasi yang berbeza.

Bagi beliau memasuki pertandingan fotografi yang dianjurkan di Malaysia merupakan satu platform untuk karya-karya fotografi beliau dinilai oleh juri yang terdiri daripada jurugambar profesional dalam bidang fotografi. Ia merupakan satu motivasi bagi beliau untuk terus berkarya dan merupakan platform yang sihat untuk bersaing di antara jurugambar lain di luar sana bagi mendapatkan sebuah rakaman yang lebih mantap. Melalui pertandingan fotografi, beliau dapat mengasah diri untuk berfikir diluar kotak pemikiran bagi mendapatkan momen yang mematuhi tema pertandingan. Selain daripada itu, beliau juga sukakan sesuatu yang baharu, lain dari lain dan juga cabaran.

Grand Prize_Life At KTM2_FujiFilm & KTM
Hadiah Utama Pertandingan fotografi Fujifilm & KTM ‘Life At KTM’

Fotografi bagi beliau merupakan rakaman momen penceritaan yang jelas dan tepat dari sumber yang sahih tanpa sebarang elemen penambahan. Malah, fotografi juga merupakan medium untuk mempamerkan keindahan artistik alam semesta. Setiap hasil karya beliau merupakan momen yang telah dikaji terlebih dahulu dengan perbandingan kelainan-kelainan yang perlu ada pada sesuatu gambar agar hasilnya menusuk jiwa pada mata pemerhati. Hasil karya beliau lebih menekankan teknik pergerakkan agar subjek dilihat lebih nyata. Selain daripada itu, komposisi subjek memainkan peranan penting di samping pencahayaan yang terdapat pada subjek. Warna pada hasil karya beliau diolah agar menjadi kontra pada tarikan mata pemerhati di samping faktor ‘WOW’ yang menjadi penentu kepada saat-saat akhir berkarya. Setiap hasil karya yang dihasilkan adalah untuk menjadikan subjek biasa menjadi imej yang luarbiasa.

Sudah tentunya setiap jurugambar memerlukan seorang atau lebih jurugambar profesional sebagai inspirasi hasil karya mereka. Jurugambar yang beliau minati ialah Mate Bence berasal dari Hungary dan merupakan jurugambar muda yang banyak memenangi pertandingan diperingkat dunia. Hasil karya beliau begitu mengujakan baik dari sudut seni, kreativiti dan komposisi. Beliau juga menggunakan sudut kreatif dalam mendokumenkan foto hidupan liar dan aspek yang paling digemari menerusi foto Mate Bence ialah pergerakkan dalam komposisi.

Ke2_ Sehati Sejiwa_BERNAMA 2015
Hadiah Tempat Ke-2 – ‘Sehati Sejiwa’ anjuran BERNAMA 2015

Kini, media sosial memainkan peranan penting dalam industri fotografi secara global. Jurugambar secara mudah dapat melihat karya-karya secara maya ataupun secara cetakan. Ilmu fotografi dapat dipertingkatkan oleh setiap pengkarya foto sebagai tempat merujuk karya-karya foto yang hebat seperti dalam flickr, 500px, laman sosial Facebook, Instagram, majalah, akhbar dan sebagainya. Dengan adanya laman sosial, jurugambar juga mudah mendapat maklumat untuk menghasilkan karya dengan melihat lokasi menarik di dunia. Media sosial juga merupakan platform untuk pengkarya mengetahui maklumat pertandingan fotografi yang dijalankan di Malaysia mahupun di serata dunia.

Karya-karya fotografi yang beliau hasilkan lahir dari ilham semangat atau jiwa diri sendiri disamping sokongan isteri, anak-anak dan juga kawan-kawan. Karya-karya yang ditonjolkan kepada khalayak ramai adalah berkaitan keindahan ciptaan Tuhan dalam apa jua genre fotografi dari sudut yang jarang ditatapi oleh orang lain. Setiap kali berkarya beliau cuba mencari momen dan sudut-sudut artistik agar setiap karya tidak sama. Selalunya sebelum berkarya beliau akan berinspirasi untuk mendapatkan momen yang menakjubkan.

Best Theme_ Canonphotomarathon 2013
Best Theme – Canonphotomarathon 2013

Jika ada masa terluang, beliau selalunya akan keluar merakam gambar bersama-sama rakan jurugambar yang lain. Melalui ini persahabatan ukhwah terjalin disamping berkongsi idea, pengalaman dan sebagainya. Walaupun begitu, untuk berkarya beliau selalunya bergerak secara solo kerana beliau agak cerewet sedikit bagi mendapatkan momen yang diimpikan.

“Practice makes perfect” merupakan moto beliau yang ingin dikongsikan kepada jurugambar yang baru berjinak dalam bidang ini. Gunakanlah media sosial atau cetak untuk meningkatkan mutu karya masing-masing di samping mencabar diri sendiri untuk hasilkan apa jua genre fotografi yang berlainan daripada orang lain.

 

Facebook: Samsi Mohd
Instagram: Shamsi’_Photography

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 29 (Feb/ Mac 2016)

FG29 Cover