Temuramah: Miza
Foto: Hafiz Shah

Sejak beliau belajar dalam jurusan Diploma Kejuruteraan lagi beliau berjinak-jinak mengenali fotografi yang dianggap hanya sebagai hobi. Dengan minat yang mendalam dalam bidang fotografi, beliau telah menyambung ijazah dalam bidang fotografi di UiTM Puncak Alam. Kini, beliau meneruskan minatnya dalam bidang fotografi dengan bekerja sebagai jurugambar acara dan konsert sepenuh masa.

Mengapakah saudara berminat untuk menceburi bidang fotografi?
Salah satu saya berminat dalam bidang fotografi apabila saya melihat gambar yang saya pernah rakam dahulu. Gambar tersebut memberi kenangan yang bermakna pada waktu itu. Dunia dan masa kita bergerak akan tetapi gambar tersebut dapat menghentikan masa tersebut untuk kita mengenang kembali apa yang kita lakukan buat selamanya walaupun 50 tahun yang akan datang. Dengan gambar sahaja boleh membuatkan seseorang gembira mengenangkan kenangan lalu.
Ada sesiapakah jurugambar profesional yang memberi inspirasi pada saudara untuk berkarya?
Ada beberapa orang jurugambar yang memberi inspirasi kepada saya dalam pelbagai genre berlainan. Salah satunya adalah Adam Elmakias. Saya sukakan kreativiti yang beliau sampaikan dalam setiap gambar acara dan konsert. Setiap gambar yang dihasilkan oleh beliau membuatkan saya teruja. Setiap kumpulan muzik yang beliau rakamkan mempunyai ciri kelainan dan saya memang bercita-cita untuk menjadi jurugambar kumpulan muzik seperti beliau. Buat masa sekarang, saya banyak membuat rakaman liputan untuk kumpulan muzik Hujan.

Cabaran yang saudara hadapi ketika merakam gambar konsert?
Banyak cabaran yang saya hadapi antaranya dari segi pencahayaan. Bagi saya ia merupakan cabaran terbesar kerana pencahayaan pentas atau konsert tersebut memberi impak pada penghasilan gambar. Melalui pencahayaan konsert itu juga boleh kita terapkan dalam gambar kerana ini membantu kita mempelbagaikan gambar konsert tersebut. Cabaran kedua merupakan dari segi ruang dan orang yang berkerumun. Ruang yang kecil menyukarkan saya untuk mendapatkan momen yang diperlukan. Cabaran terakhir ialah saya harus mendapatkan kesemua ahli anggota kumpulan muzik di atas pentas dalam masa persembahan 30 minit ke 45 minit. Ada persembahan hanya 15 minit dan saya perlu memastikan kesemua ahli anggota kumpulan muzik dalam gambar yang sama.
Apakah alatan dan kamera yang selalu digunakan?
Canon EOS 5D Mark III, Canon EOS 6D, Fish Eye 15mm, Sigma 50mm, Canon 70 – 200mm, Canon 300mm dan Canon 20mm.

Antara semua gambar, manakah yang meninggalkan memori yang tidak dapat dilupakan? Kenapa?
Gambar ini memberikan impak besar bagi saya. Ini merupakan kali pertama saya dilantik oleh kumpulan muzik untuk rakaman konsert. Ia merupakan konsert besar kumpulan muzik bagi menyambut ulangtahun ke-10. Dalam masa persembahan selama 3 jam, 40 buah lagu dimainkan. Rakaman ini disertai sekali dengan kumpulan saya thelalalaproject.
Apakah yang ingin saudara sampaikan dalam setiap hasil karya?
Saya nak sampaikan cerita yang berlaku pada hari kejadian melalui gambar dan bagaimana gambar tersebut dihasilkan menerusi penggunaan kamera aksi gopro yang saya letakkan di atas kamera dslr. Hasil rakaman gopro tersebut hanya untuk simpanan saya sendiri sebagai latihan bagi saya memahami perwatakan persembahan tersebut. Malah, video hasil gopro tersebut dapat merakam momen saya ketika merakam gambar.

Apakah tip yang boleh saudara kongsikan untuk jurugambar lain yang berminat untuk merakam gambar konsert seperti saudara?
Tip pertama yang perlu ada adalah mencari rujukan sebelum keluar merakam. Tip kedua ialah pentingnya komunikasi dengan setiap ahli kumpulan muzik tersebut. Cuba dekati dan dalami dunia mereka. Sentiasa membuat latihan untuk menghasilkan rakaman yang terbaik dengan menyertai konsert kerana dari situ anda boleh memahami pencahayaan pentas semasa konsert dijalankan. Tip ketiga yang perlu ada dalam diri jurugambar itu sendiri ialah sentiasa senyum kerana menerusi senyum membuatkan orang lain selesa apabila kita berada di tempat kejadian.
Untuk melihat lebih lanjut mengenai hasil karya beliau, layari laman sosial Instagram
@ehhafishah atau laman sesawang https://ehhafishah.wordpress.com.