Temuramah: Miza
Foto: Ku Intan
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Segmen 3 Soalan 3 Jawapan merupakan segmen baharu dalam Fotografika yang diterbitkan dalam website pcp2u.my. Segmen ini mengetengahkan jurugambar-jurugambar yang baharu berjinak-jinak dalam bidang ini sehinggalah jurugambar-jurugambar tahap profesional. Untuk kali pertama ini, bersempena Hari Wanita Sedunia yang baharu sahaja di raikan, kami memperkenalkan seorang jurugambar wanita yang namanya tidak asing lagi dalam genre fotografi jalanan. Beliau juga pernah ditemuramah dalam majalah luar negara. Tahniah kami ucapkan kerana hasil karya beliau diterbitkan dalam majalah Inspired Eye dari Amerika Syarikat.

Ku Intan atau nama sebenar beliau Raja Intan Halimah bt Raja Mohd Jaffar berasal dari Taiping, Perak. Beliau menceburi bidang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (UMCCED) dan Diploma Multimedia Kawalan Mutu UKM (Cosmopoint). Beliau meminati fotografi sejak kecil apabila arwah pakcik beliau (pengiat fotografi) datang ke rumahnya di Taiping. Kini beliau menetap di Petaling Jaya, Selangor.

- Bagaimanakah anda boleh meminati genre fotografi jalanan & apakah subjek pertama anda merakam?Beliau amat meminati bidang fotografi sejak berusia 8 tahun dan menganggapnya sebahagian daripada hobi. Awalnya, beliau tidak mengetahui mengenai fotografi jalanan sehinggalah beliau menyertai kelab Fotografi Jalanan Malaysia (FJM) di Facebook pada tahun 2016. FJM telah mengadakan aktiviti khas untuk mengajar lebih terperinci mengenai fotografi jalanan. Beliau mengikuti program tersebut dan belajar dari jurugambar berpengalaman dalam genre tersebut. Kini beliau dapat memahami dan masih belajar lagi dalam bidang ini. Dari situ beliau mula meminati fotografi jalanan dan berjinak-jinak menyertai facebook kelab fotografi jalanan dari Malaysia dan luar negara untuk lebih berkenalan dengan jurugambar-jurugambar lain. Jurugambar-jurugambar ini berkongsi pengalaman mereka dalam bidang fotografi dan dari situ beliau mempelajari seni fotografi dari hasil karya mereka. Subjek pertama yang beliau rakam adalah rakaman kehidupan di bandaraya yang dikelilingi dengan bangunan yang menarik di samping kepelbagaian gaya manusia yang lalu lalang.
2. Cabaran yang anda tempuhi ketika kali pertama menceburi bidang ini?
Banyak cabaran yang beliau tempuhi apabila cuba merakam subjek. Antaranya keinginan untuk merakam sesuatu yang berlegar-legar di fikiran selalunya tidak dapat tetapi dapat merakam sesuatu yang tidak di jangka pula. Beliau terlalu berhati-hati ketika merakam sebagai contoh Adakah subjek berada dalam kedudukan posisi yang betul? atau Adakah gambar yang dirakam mempunyai nilai penceritaan? atau Adakah gambar yang dirakam ini menarik?

3. Apakah kebaikan yang anda peroleh dari menjadi sebahagian pengumpul gambar?
Kebaikan yang beliau perolehi setelah menjadi sebagian dari pengumpul gambar adalah ilmu pengetahuan yang lebih meluas dalam bidang fotografi di mana bidang ini mempunyai pelbagai cabang genre yang berlainan. Malah, bidang ini membantu beliau dalam terapi diri untuk lebih berkeyakinan. Selain daripada itu beliau berbangga melihat hasil karya seni fotografi beliau di pamerkan di pameran, photobook atau sebagai hiasan di dinding ruang bilik.

Untuk melihat hasil karya beliau selanjutnya, layari laman sosial Instagram @ku_intan_pictures_presents dan Facebook Ku Intan.