Sang Perakam dan Sang Pemerhati

16/05/2018 | miza

eks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

 

Mitos Buat Bangsaku

 

Walter Benjamin di dalam “ A Small History of Photography “ , 1931 menukilkan bahawa di dalam sejarah peradaban visual manusia , ada satu pecahan seni yang mempunyai pertalian dan kaitan yang sangat rapat skala keintimannya dengan manusia itu sendiri sebagai sang pemerhati. Karya-karya seni yang dimaksudkan oleh Walter Benjamin itu tidak lain dan tidak bukan ialah karya-karya fotografi. Satu penulisan yang cukup fundamental, kritis, berintensiti tinggi, lembut dan halus pada permaknaannya dan sangat hebat pada waktu itu sehingga menjadi sumber inspirasi, rujukan dan kajian semula oleh kebanyakan penulis-penulis dan ahli akademik tersohor yang banyak menghasilkan esei berkaitan fotografi seperti Roland Barthes, Susan Sontag dan John Berger (sekadar menyebut beberapa nama).

Fotografi bukan sekadar tatapan visual pada yang mahu mencari maksudnya yang paling dalam yang boleh dicapai oleh minda dan kapasiti mental dan intelektualiti seseorang pemerhati, jauh lebih penting sebelum itu ialah kebolehan sang perakam yang terlebih dahulu merupakan pemerhati primer sebelum sesuatu keadaan atau situasi dirakam. Selepas itu barulah karya fotografi hadir kepada pemerhati (pihak sekunder) untuk dicernakan. Kebolehan utuk menyampaikan maksud sebenar dan naratif cerita yang menarik adalah sesuatu yang tidak boleh dibuat-buat, ia haruslah hadir terlebih dahulu di dalam kotak sanubari dan pemikiran sang perakam.

Emocratic Republic ii

Harus ada kritik-kritik halus dalam minda sang perakam untuk dipulangkan semula kepada sang pemerhati sebagai suatu nuansa visual seni mahupun dokumentari untuk kemaslahatan masyarakat dan sumbangan kepada penjernihan dan pemahaman sosial dan budaya. Ini sesuatu yang berat sebenarnya dan sebab itulah kita lihat ramai sang perakam yang tersasar dari landasan sebenar fotografi itu sendiri. masih ramai yang berlegar, bermain di sekitaran pasca suntingan hanya untuk menguatkan kosmetik dan penampilan gambar tanpa mengubah sedikit pun aspek kekuatan gambar dari segi naratif, pengisian dan mesej yang sebenar. Di sinilah letaknya keupayaan sebenar seseorang perakam dan bukannya terletak pada lautan alatan mega yang mereka gunakan.

Namun, dunia fotografi kini telah menjalani proses perkembangan dan asimilasi yang sangat hebat. Hebat yang patutnya disebat dengan kritikan yang berterusan kerana perjalanan fotografi bukanlah untuk dogma-dogma yang tidak berguna dan pulangan hampas kepada masyarakat. Seni dan dokumentari saling tidah ubah umpama guru visual yang terus memanifestasikan unsur spiritual dan mental untuk kesinambungannya yang berterusan demi untuk kemaslahatan semua.

Tidak kira dari siapa dan kepada siapa ia harus berlegar.
Tidak harus ada diskriminasi dalam penyampaiannya.

Emocratic Republic i

Seseorang manusia (yang berakal mahupun tidak) suka untuk memerhati akan karya-karya seni dan fotografi itu sendiri kerana memang menjadi lumrah dan keperluan manusia untuk berkongsi pengalaman visual, kreativiti dan imaginasi individu lain. Dalam konteks pancaindera inilah yang kita panggil “perkongsiaan deria”. Maka harusnya kita kongsi karya-karya yang sepatutnya mengungguli zaman dengan perlambangan dan simbolism kemasyarakatan yang tidak terikat kepada dogma-dogma merapu seperti picisan-picisan murahan dan negatif yang terbit dari suatu ngauman kamera dan lampu denyar yang serba mahal dan canggih. Maka kita ‘bakul sampahkan’ karya-karya (kalau bisa kita panggil karya) murahan yang memperlekehkan anak-anak gadis yang kita separa bogelkan di studio lewat malam lesu. Begitu juga karya-karya gadis pingitan (yang sebenarnya bukanlah gadis pingitan) yang dikembankan tanpa halatuju dalam sungai yang juga mengalir lesu. Sudah sampai masanya kita lakukan sesuatu yang berfaedah untuk masyarakat. Kita buang diskriminasi dan doktrin songsang ini. Kita jana semula laungan fotografi yang lebih bersih aturannya, untuk kemaslahatan semua: sang perakam dan sang pemerhati.

Lewat kerakusan kita dalam menggauli aspek yang sering kita pandang ringan ini, maka kelak akan lahirlah sang pengikut dan proksi-proksi yang turut mahu menjadi ‘champion’ dalam alunan permainan ini. Kita harus ingat bahawa dalam apa keadaan sekalipun, yang benar tetap benar dan yang hak tetap berdiri tanpa sebarang kebatilan di sisinya. Mesej yang kesampaian ialah mesej yang terbit dari suatu pemahaman dan skala berfikir yang betul acuannya. Olahan dan bingkai idea yang memerlukan eksplorasi yang relatif kepada peradaban manusia itulah sebenarnya karya-karya yang jujur, jujur yang bukan dibuat-buat. Kita jangan jadikan gambar kita umpama bingkai-bingkai yang bersepah tanpa sebarang makna yang dapat dicernakan.

Emocratic Republic iii

Sejarah telah membuktikan bahawa semua karya-karya fotografi baik dari kelompok seni mahupun dokumentari beserta dengan penulisan yang sangat baik sebagai modul sokongan telah merubah visi, pemahaman dan peradaban visual manusia selama-lamanya . Kerana apa? Karya-karya ini tampil sebagai satu alunan pemikiran dalam bentuk visual yang mahu membangunkan masyarakat dan bukannya mahu memundurkan. Karya-karya ini mempunyai nilai-nilai hubungkait, intensiti dan kehalusannya yang tersendiri. Serangan ke atas pemikiran terus berlaku dalam acuan propaganda yang berterusan termasuklah fotografi itu sendiri yang menjadi alat propaganda. Ini membuktikan bahawa setiap hasil karya fotografi itu mempunyai kekuatan untuk menjelajahi mental dan pemikiran sang pemerhati. Kejayaan sang perakam adalah apabila berjaya menerbitkan fragmentasi mesej samada mesej yang berat mahupun mesej yang ringan kepada khalayak.

Hukum alam (bukannya hukum manusia) menyatakan bahawa semua manusia itu sama tidak kira pangkat, darjat dan harta. Maka dengan hukum inilah kita lihat kesejagatan dalam pemahaman manusia tentang sesuatu projeksi kemanusiaan di dalam sesuatu representasi fotografi pada suatu cerminan realiti. Gambar yang dirakam di mana-mana lokasi di atas mukabumi ini dapat difahami oleh manusia sejagat selagi mana mereka berpijak di alam ini. Maksud-maksudnya yang tersurat atau tersirat dapat difahami kerana kita sebenarnya berkongsi realiti pada suatu fasa-fasa kehidupan yang dapat diertikan walaupun kita berada di benua dan lokasi yang tidak sama. Berbalik kita kepada Walter Benjamin di dalam “A Small History of Photography”, 1931 tadi, inilah sebenarnya kekuatan fotografi dalam lingkungan serta kelompok projeksi visual.

Kita harus tahu bahawa penghasilan imejan daripada apa-apa yang kita kenal sebagai fotografi ini ialah sebenarnya hasil daripada dua juzuk primer yang utama : cahaya dan masa. Cahaya adalah kurniaan tuhan dan masa adalah suatu yang termaktub dalam setiap lipatan memori dan sejarah. Kita yang memilih untuk pensejarahan itu, baik atau buruk. Noktah.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 18 (April/ Mei 2014)

fg18-rgb