Temuramah: Ashraf Saharudin Foto: Aqmal Hadi Shapee

Bagaimana segalanya bermula?
Saya dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian di New Zealand dalam bidang komunikasi pemasaran. Tetapi daripada segi bidang kerjaya, saya menghabiskan lebih daripada sepuluh berada dalam bidang teknologi maklumat untuk bidang produksi dan penyiaran. Pada ketika itu saya banyak melihat data-data digital yang musnah dan yang kekal lama kebanyakannya hanyalah medium-medium analog seperti pita-pita rakaman dan sebagainya. Daripada itu saya membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam fotografi analog.
Pada ketika itu agak sukar bagi saya untuk belajar dan mendapatkan lebih maklumat dalam bidang fotografi, apatah lagi mendapatkan bahan-bahan atau peralatan tanpa medium atas talian seperti eBay dan sebagainya. Hanya beberapa kedai di sekitar Kuala Lumpur dan kadang-kala saya perlu ke Singapura untuk mendapatkan sesuatu bahan. Saya pernah mengikuti kursus fotografi di Institut Fotografi New York, AS sebelum menyambung pengajian saya dalam bidang proses alternatif ini di United Kingdom. Selain itu saya juga turut berkerjasama dengan beberapa jurugambar lain sebagai pembantu dan pada masa yang sama saya belajar.

Apabila bercakap mengenai proses fotografi alternatif, bagaimana segala bermula?
Segalanya bermula daripada fotografi analog. Setelah beberapa lama berkecimpung dalam bidang fotografi analog, saya bertemu dengan proses alternatif fotografi. Kemudian saya mula mengkaji dan mencari karya-karya proses alternatif seperti yang saya lakukan sekarang, ‘wet plate’, ‘dry plate’ dan sebagainya di tanah air tetapi tiada. Samada tiada atau tidak dijumpai saya tidak pasti.
Kita boleh dapatkan karya-karya proses alternatif daripada luar negara daripada era 90-an dengan mudah, tetapi tidak bagi karya-karya tempatan. Mungkin tiada sesiapa yang mengamalkan proses alternatif ini dan mungkin tiada orang tempatan yang melakukannya di negara ini pada zaman dahulu. Proses ‘wet plate’ telah terbukti berkesan dan tahan selama lebih daripada dua dekad dan kebanyakan koleksi atau pameran seperti yang terdapat di Arkib Negara hanyalah salinan daripada gambar asal. Karya-karya asal kebanyakannya berada di luar negara. Maka saya fikirkan bahawa sesuatu harus dilakukan, kita sendiri harus merakam pembikinan sejarah negara ini.
Bermula daripada itu saya memutuskan untuk meneroka bidang fotografi alternatif ini sebagai satu matlamat besar sekitar empat tahun lepas dan masih berterusan sehingga kini. Selepas saya mula berkarya menggunakan proses aternatif ‘wet plate’ ini, saya turut mencuba beberapa lagi proses alternatif lain seperti ‘dry plate’, ‘cynotype’ dan beberapa lagi proses traditional yang telah berusia lebih seratus tahun.
Bagaimana saudara melihat pergerakan proses alternatif fotografi ini di Malaysia?
Saya lihat sesuatu yang bagus meskipun kita memiliki hanya sebilangan kecil jurugambar yang bergiat menggunakan proses alternatif ini. Ada seorang lagi jurugambar yang kini bereksperimentasi dengan ‘dry plate’ dan saya fikir beliau juga tampil dengan resepi campuran bahan kimia tersendiri, saya juga perlu membuat resepi sendiri kerana faktor cuaca kita yang berbeza dengan cuaca di eropah dan sebagainya. Saya rasa ada perkembangan yang bagus meskipun pada skala kecil, ada individu-individu yang sudah mula menunjukkan minat. Rakan saya sendiri ada melakukan proses ‘lunartype’, sebuahproses alternatyif yang bergantung kepada cahaya bulan atau matahari dalam penghasilan imej.
Malah terdapat institusi pendidikan yang memiliki jurusan fotografi mula mendedahkan pelajar mereka kepada proses-proses seperti ‘cynotype’ contohnya. Kerana tahun lepas sahaja saya ada menjual sebilangan besar kit ‘cynotype’ kepada sebuah universiti di Melaka. Ada juga pensyarah yang datang bertemu bertanyakan mengenai kaedah proses-proses ini kepada saya dan mereka berminat untuk mendedahkan pelajar mereka kepada proses alternatif seperti ini. Itu saya kira sebagai suatu perkembangan yang positif.

Bercakap soal bahan kimia yang diperlukan dalam proses alternatif, sejauh mana kemudahan untuk mendapatkan sumber bekalan bahan-bahan ini di Malaysia?
Bergantung, ada beberapa bahan yang mudah untuk diperoleh, tetapi ada juga yang sangat payah dan tidak boleh dibeli oleh orang perseorangan. Tetapi saya beranggapan bahan-bahan ini masih mudah untuk diperoleh kerana kebanyakan bahan-bahan kimia yang terlibat ini tidak bertoksik atau bukanlah bahan kimia berbahaya. Ya ada yang berpendapat bahan-bahan ini berbahaya. Betul sememangnya bahan-bahan ini berbahaya, tetapi hanya jika tidak diuruskan dengan baik, dengan suasana ruang kerja yang tidak terurus dan dengan prosedur pengendalian yang tidak betul.
Kini faktor harga sangat memberi impak dalam mendapatkan bahan-bahan kimia ini kerana urusan jual beli adalah berdasarkan matawang Dolar AS. Contohnya jika saya ingin membeli Silver Nitrat, untuk 100g harganya sekitar USD100, tetapi dengan kejatuhan matawang, kos kini menjadi semakin tinggi.
Satu lagi cabaran yang ada adalah kerana kebanyakan pembekal bahan makmal di Malaysia tidak menyimpan stok yang begitu banyak. Jadi saya perlu membuat pesanan dan mengambil masa sekitar seminggu untuk sampai.
Cabaran lain?
Cabaran utama lain adalah cuaca. Ramai berpendapat untuk melakukan proses alternatif di Malaysia adalah lebih mudah kerana kita memiliki cahaya matahari hampir sepanjang tahun, tetapi sebenarnya tidak. Lokasi terbaik saya temui adalah Queensland di Australia, cahaya matahari di sana semamangnya jauh lebih konsisten berbanding Malaysia.
Cabaran kedua adalah untuk meyakinkan pembeli akan karya anak-anak tempatan. Mereka lebih berminat kepada karya-karya oleh orang asing dan mereka tidak meletakkan nilai karya tempatan separas nilai karya masyarakat luar. Meraka tawarkan harga yang jauh lebih murah kepada pengkarya tempatan meskipun karya berada pada standard yang sama.

Bagaimana dengan penggiat-penggiat lain di rantau ini?
Setakat yang saya tahu, di Malaysia saya sendiri, di Thailand ada dua orang jurugambar, Hongkong ada seorang dan Singapura seorang. Manakala kebanyakan orang luar yang ingin lakukan proses alternatif ini di Malaysia pada kebiasaannya akan menghubungi saya untuk dijadikan sumber rujukan, baik dari segi sumber bahan mentah, formula dan sebagainya. Untuk memahami cuaca di negara ini adalah sangat komplek kerana suhu yang terlalu panas atau terlalu lembap akan merosakkan dedahan.
Bagaimana dengan pameran, ada merangcang sebarang pameran?
Belum, kerana pameran bukan matlamat utama saya, kerana matlamat utama saya pada ketika ini adalah untuk menghasilkan sebanyak mungkin karya bernilai melalui proses alternatif ini. Lagipun saya masih belum mendapat citarasa atau spesifikasi imej yang saya inginkan dan saya masih berusaha ke arah itu. Kos dan tenaga kerja menjadi cabaran utama dalam hal ini. Matlamat saya adalah untuk menghasilkan karya pada skala besar, sekitar saiz 2×3 kaki.
Subjek rakaman?
Setakat ini banyak berkisar sekitar subjek potret tetapi saya turut melihat ke arah subjek landskap dan sebagainya.
Dalam koleksi saya setakat ini ada sekitar 50 imej, tetapi yang saya betul-betul suka rasanya kurang daripada 5. Saya menyasarkan bilangan minima sebanyak 20 yang terbaik sebelum saya berfikir ke arah mengadakan pameran.
Kamera?
Saya menggunakan kamera yang ditempah khas daripada Texas, Amerika Syarikat. Kamera tersebut bercirikan rekaan baharu tetapi mengekalkan sistem atau medium kamera traditional berbeza dengan kebanyakan kamera yang dibina sebelum ini yang pada kebiasaannya daripada struktur kotak dan ‘bellow’.
Kini saya terbatas dengan imej bersaiz 8x10inci, tetapi baru-baru ini saya ada membeli sebuah lensa yang agak besar dan berat, sebuah lensa 900mm dan saya perlu membina kamera untuk lensa tersebut. Lensa tersebut terlalu besar, lebih besar daripada kepala saya sebenarnya. Di sini timbul satu lagi cabaran dalam menempah sesuatu mengikut spesifikasi individu. Tidak banyak kedai logam atau berteraskan industri yang ingin melakukannya.

Bagaimana saudara melihat pergerakan ini 5 hingga 10 tahun daripada sekarang?
Saya melihatnya sebagai trend, sama seperti yang berlaku di negara-negara seperti Amerika Syarikat atau Eropah. Akan ada naik turun dan hanya beberapa individu sahaja yang betul-betul akan kekal dalam bidang ini.
Apa nasihat saudara Akmal kepada mereka yang terdetik untuk mencuba proses alternatif ini?
Nasihat saya bagi mereka yang ingin terlibat dalam alternatif proses seperti ini, jika anda betul-betul mahu lakukannya, dipersilakan tetapi realiti sebenar adalah anda bakal berhadapan dengan cabaran yang sangat tinggi. Sehingga hadir seseorang daripada luar negara kepada anda dan menghargai anda, jangan berharap apa-apa. Lakukannya hanya jika anda benar-benar ingin lakukannya, jangan sekali-kali berharap pada ‘Like’ atau menjadi terkenal, saya juga sentiasa mengingatkan diri saya sendiri akan perkara-perkara seperti ini. Sentiasa kekal teguh pada prinsip diri sendiri.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 24 (Apr/ Mei 2015)
