Temuramah: Miza Foto: MinMohd Photography

Bermula dari minat yang mendalam dalam bidang fotografi, kak Min dan abang Azlan bergabung dengan mempelajari sendiri menerusi uji kaji, pengalaman dan bahan bacaan yang dapat membantu mereka dalam merakam dengan lebih menarik. Perjalanan mereka dalam bidang ini selama 7 tahun yang lalu bermula dengan menceburi bidang fotografi perkahwinan diikuti fotografi dokumentari dan gaya hidup.

Fotografi merupakan sesebuah memori yang boleh dibekukan kerana memori tersebut tidak akan datang semula. Ia merupakan rakaman yang penuh bermakna dan memberikan nilai nostalgia dalam kehidupan masa hadapan seseorang itu. Bagaimana gambar tersebut disampaikan kepada orang lain secara rakaman spontan mahupun semulajadi dan apa yang berlaku pada saat tersebut tidak dapat diulang semula.
Pada mulanya kami merakam mengikut keinginan dengan hanya ‘Point and Shoot’ pada subjek tersebut. Selain daripada itu juga, kak Min banyak terpengaruh daripada bapa yang meminati bidang fotografi sejak dari dahulu lagi. Beliau banyak menggunakan kamera analog dan apabila saya mempelajari kamera tersebut serta mendapat pujian daripadanya, ia membuatkan hati saya melonjak untuk meneruskan minat dalam bidang ini. Di samping itu juga, minat yang mendalam terhadap fotografi turut menyumbang pada keinginan saya untuk belajar lebih mendalam dan berkongsikan hasil rakaman tersebut kepada orang lain. Sesuatu yang penting bagi saya ialah saya ingin sampaikan mesej dan nilai yang ada pada hasil karya tersebut agar kami dapat kongsikan kegembiraan dan pengalaman indah kepada penonton.

Kami lebih gemarkan merakam gambar keluarga, perjalanan kehidupan seorang ibu sebelum melahirkan anak ‘Fresh 48’ dan perkahwinan. Malah, kami juga mengikuti perkembangan semasa dengan mempelajari Lomography yang diambil dalam bentuk RAW dan kemudiannya, kami hanya menyunting secara ringkas sahaja. Sejujurnya dalam menghasilkan karya seni, setiap orang mempraktikkan teknik merujuk pada yang pakar dalam sesuatu bidang dan kami banyak melihat hasil karya daripada Jonas Peterson dan Max Wanger sebagai sumber inspirasi dalam berkarya. Hasil karya mereka mempunyai ciri-ciri tersendiri dan mengagumkan di samping pengayaan yang dirakam memang selaras dengan citarasa kami dalam penghasilan karya.
Perkara paling penting dalam merakam gambar seseorang adalah mengenali lebih dekat perwatakan mereka. Ini bagi memastikan klien tersebut tidak terasa kekok apabila berada di hadapan kamera dan dengan orang yang tidak dikenali. Saya mempunyai pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan apabila saya dikehendaki merakam kehidupan anak tiri keluarga bekas suami. Walaupun kami tidak berhubung lagi, anak-anaknya masih menganggap kami sebahagian daripada keluarga tersebut. Daripada pengalaman pahit yang lepas, saya dapat memahami kekuatan emosi betapa eratnya perhubungan kekeluargaan yang terjalin.

Setiap pekerjaan yang dilakukan mempunyai pelbagai cabaran yang melanda. Begitu juga di dalam bidang fotografi ini. Cabaran yang kami tempuhi selalunya datang daripada diri sendiri. Oleh itu, kami sentiasa menghadkan rakaman yang perlu diambil untuk sebulan bagi memberi masa kepada kami untuk menghasilkan imej berlainan konsep dalam setiap rakaman. Malah, kami juga bermotivasi sesama sendiri dengan berkongsi hasil karya tersebut kepada penonton dalam blog amazingyouproject52.blogspot.my. Blog ini merupakan perkongsian gambar seharian beberapa jurugambar wanita yang meminati bidang fotografi.
Bagi peminat fotografi yang ingin menceburi dalam bidang ini anda perlu percaya pada diri sendiri, jangan cepat mengalah dan putus asa kerana kejayaan tidak datang dalam sekelip mata. Banyakkan mengkaji, cuba jaya serta tidak perlu risau mengenai teknik fotografi semata-mata kerana gambar yang menarik merupakan gambar yang boleh menimbulkan perasaan suka duka kepada orang yang melihatnya.
www.minmohd.com
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 27 (Okt/ Nov 2015)
