Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

Beberapa tahun yang lalu, ketika menghabiskan sisa–sisa cuti di sebuah lokasi yang di beri nama Emocratic Republic, terpandang saya akan sebuah bingkai tingkap di dinding bilik istirehat. Bingkainya menerjah jauh meneropong ke luar mempersembahkan sebuah cerita besar tentang sebuah kehidupan umpama suatu lakaran yang cukup jelas jalan ceritanya. Padanya saya bertanya, apa erti bingkai itu pada kehidupan? Saya amati sekali lagi, sebuah bingkai yang kecil dengan satu kisah yang cukup besar: kehidupan.
sebuah bingkai yang kecil dengan satu kisah yang cukup besar
Antara cabaran terbesar dalam kancah seni fotografi ialah had atau limit. Perkara ini jarang sekali difikirkan kerana industrialisasi dunia kamera dan fotografi menyaksikan akan pembaharuan dan pengkaedahan yang cuba mengatasi had dan limit secara tidak langsung melalui penciptaan alatan–alatan terbaru dalam Dunia Kamera. Fotografi adalah antara cabang seni visual yang mengajar kita tentang apakah itu had dan limit dalam berkarya. Had dan limit inilah sebenarnya bunga dan tatabahasa kepada nahu dan lenggok bahasa visual kita. Fotografi adalah satu proses seni ketika berkarya dan satu proses karya yang berseni yang mana seseorang itu harus mengambil cuma sedikit daripada apa yang di tawarkan kepadanya. Ia adalah umpama proses tawar dan beli. Tidak mungkin semua unsur alam dan kehidupan (sebagai subjek) yang terpampang di depan mata sang perakam dapat diletakkan di dalam satu bingkai yang kecil. Apakah ini benar? Apakah ini yang dimaksudkan dengan had dan limit? Apakah ini satu proses pengecilan skala visual yang sedang dihadapi oleh ramai tentera–tentera dan rejim fotografi kita. Inilah yang saya nampak dalam bingkai yang kecil itu. Satu Rahsia Bingkai Kecil, satu rahsia yang hanya terungkap dengan helaan nafas ilmu, kajian dan pemerhatian .

Fotografi hadir dalam rentetan peradapan manusia dan sejarah manusia itu sendiri sebagai suatu proses perakaman, pengimejan dan imaginasi. Imaginasi yang baik adalah daripada corak dan skala berfikir yang baik, corak berfikir yang baik adalah hasil daripada lambakan dan limpahan ilmu yang tersimpan di dalam perpustakaan jiwa. Seperti yang dinyatakan, proses imaginasi adalah satu gerak kerja yang menjadikan fotografi itu satu wadah yang berseni. Dengan seni ini kita mengenal dunia, dengan seni ini kita tahu akan keberadaan kita. Inilah aspirasi sebenar kita. Satu aspirasi untuk membawa keratan–keratan visual tentang dunia hampir dengan akal dan pemahaman sang pemerhati atau perakam. Selepas seni melalui imaginasi kini lahir pula seni untuk memerhati dan seni untuk memahami. Maka, harus sedarlah kita bahawa fotografi ini adalah satu jaluran yang bukannya murahan dan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga usang. Fotografi kini makin menghampiri dengan deruan skala berfikir yang harusnya lebih tinggi dari yang sepatutnya. Jangan kita terkeliru dengan peranan sang perakam moden yang hanya mahu menghasilkan gambar yang mengikut kehendak tertentu sedangkan seorang perakam itu adalah pereka mutlak bingkai yang ingin dihasilkan. Kita merakam untuk mendasari maksud cerita yang kita ingin sampaikan kepada masyarakat bukan sekadar hanya untuk melariskan jualan bingkai–bingkai ciptaan kita. Ia umpama maraton yang harus ada akan permulaan dan harus ada akan pengakhirannya .
Namun , adakah kita menterjemahkan maksud fotografi yang sebenar ?

Proses pembingkaian sesuatu gambar atau imej itu sendiri adalah satu proses dua hala yang melibatkan proses komunikasi visual dan proses untuk memahami konteks presentasi atau persembahan dalam skala visual dan komunikasi. Hasilannya ialah satu corak kesinambungan proses pembelajaran dan penghasilan karya. Inilah satu siri terjemahan tentang kehidupan yang sentiasa berleretan dan merupakan satu produksi yang dapat membantu pemahaman masyarakat dalam sesuatu isu. Kita tidak dapat mengubah persekitaran masyarakat tetapi paling tidak kita dapat memberi sedikit cetusan dalam konteks ilmiah dan corak pemikiran mereka hasil daripada karya–karya bermutu yang kita rakamkan dan persembahkan untuk mereka. Di sinilah istimewanya fotografi yang hadir sebagai suatu wadah seni yang menukilkan proses imaginasi dalam bentuk yang agak halus dengan rahsia bingkainya yang tersendiri. Dari bingkai yang kecil inilah kita mula bertatih, kita mula menapak untuk menyantuni aspek–aspek kehidupan dari konteks peradapan moden yang penuh dengan tribulasi dan kekeliruan. Namun, kita jangan terkeliru untuk memilih bingkai kita terlebih dahulu sebelum kita mula untuk berkomunikasi melalui karya–karya kita.
Dengan had dan limitasi pada bingkai–bingkai yang kita perolehi, pilihlah gabungan subjek yang bertepatan. Bingkai yang kita miliki agak berbeza kerana didalamnya kita harus memasukkan yang sedikit dan kita terpaksa meninggalkan yang banyak. Ini adalah berlawanan dengan fitrah manusia yang sentiasa mahukan yang banyak pada kebiasaannya. Ketika kita mengambil yang sedikit maka ambillah yang penting dan perlu untuk kita kuatkan bingkai–bingkai yang kita ada . Di sinilah sebenarnya letak akan keistimewaan rahsia bingkai kecil. Sesuatu yang kecil namun ledakan momentum dan kesannya sangat besar pada sang perakam dan masyarakat khususnya .

Pemilik–pemilik bingkai (jurugambar) bagi sesuatu hasil karya yang menarik sememangnya mempunyai mata yang berseni. Mata yang berseni memandang sesuatu subjek atau kejadian dengan corak visualisasi yang berilmiah dan sentiasa berkoordinasi dengan tujuan merakam iaitu menyampaikan maklumat dalam ertikata yang ikhlas dan jujur tanpa sebarang prejudis. Inilah toleransi di antara pemahaman dan pemerhatian dan bukannya berapa banyak junjungan kamera dan lensa yang kita ada. Sedikit kebolehan artistik akan menambah rencah kepada resepi bingkai yang ingin kita cipta. Bingkai yang lebih ramuan pasti akan menjadi lebih lazat dan enak. Bingkai yang kurang ramuan akan menjadi santapan yang agak hambar dan kurang enak. Maka di sinilah letaknya kepentingan visualisasi yang terbit dari dua mata: mata penglihatan dan mata minda. Dalam konteks fotografi, apa-apa yang lahir dari mata akan turun ke bingkai. Secara halusnya proses pembingkaian itu sendiri menggambarkan tahap kreativiti seseorang perakam atau pemilik kamera.
Kreativiti lahir dari skala berfikir yang sangat berbeza dari seorang individu berbanding individu yang lain dan di dalam kancah fotografi itu sendiri kita tidak dapat lari dari pembawaan dan dilema tentang isu ini. Manifestasi awalan dan akhiran seseorang yang kreatif akan menjana satu corak perakaman imej yang sangat authoritatif dan eksklusif yang secara ringkasnya akan menghasilkan suatu gambar atau karya yang memiliki semua ciri–ciri yang diperlukan untuk dinobatkan sebagai suatu fotograf. Inilah antara aspek penting dalam fotografi yang kurang dimengertikan kerana tentera fotografi kini lebih terdedah kepada cirian teknikal dan penggunaan alatan teknologi yang mendambakan penghasilan gambar yang cantik dan bukannya fotograf yang bernilai dari segi penceritaannya. Kita cubalah untuk bergerak sebagai satu wadah yang terkawal dan melunasi idea–idea dan santunan corak berfikir yang dapat diterima masyarakat dalam membawa maksud sebenar proses perakaman imej yang ingin kita lakukan. Inilah sebenarnya Rahsia Bingkai Kecil. Satu rahsia yang sukar untuk dimengertikan.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 09 (Okt/Nov 2012)
