Teks & Foto: Jidin

Teori berkenaan emosi oleh ahli psikologi James-Lange mengatakan bahawa badan kita mula bertindak balas kepada rangsangan, manakala minda kita selepas itu merasionalkan tindak balas fisiologi ini sebagai perasaan.
Sebagai contoh, kita melompat apabila kita terpijak sesuatu yang kurang selesa di kaki dan merasa terkejut. Begitu juga bahawa warna memberi kesan kepada kedua-dua minda dan badan kita. Cahaya adalah tenaga elektromagnet, penampilan visual warna adalah hanya tafsiran kita tentang gelombang yang berbeza.

Gelombang yang berbeza memberi kesan yang berbeza kepada kita dalam pelbagai cara. Perubahan ini adalah perbezaan dari segi fizikal serta emosi. Sebagai contoh kita akan merasakan cahaya matahari infra merah lebih panas ketika matahari terik. Tenaga cahaya memberi kesan kepada badan kita, gelombang yang lebih pendek cahaya UV mengaktifkan vitamin D dalam kulit kita.
Fotografi perlu dilihat secara holistik, kita faham bahawa kita bukannya hanya merakam gambar dalam kotak kecil. Gambar yang dirakam hendaklah dilihat secara holistik ataupun keseluruhan. Gambar yang dirakam boleh mewujudkan reaksi di kalangan penonton. Reaksi penonton yang melihat gambar berdasarkan subjek dalam gambar dan warna juga memainkan peranan yang sama penting.
Jika gambar anda kurang memberi impak daripada sudut subjek yang ingin dikongsi, warna dalam gambar masih boleh memberi kesan tindak balas fisiologi dan penonton akan merasionalkan reaksi mereka dengan perasaan.
Psikologi warna berbeza di antara masyarakat setempat, bangsa dan kepercayaan. Walaubagaimanapun terdapat juga beberapa perkara berkaitan psikolgi warna yang mempunyai impak dan persamaan dari segi psikologi. Warna hitam dipercayai warna yang memberi kesan menunjukkan kekuasaan, amat popular di dalam dunia fesyen. Warna hitam juga dikatakan akan memperlihatkan pemakainya kelihatan lebih kurus. Ianya menyerlahkan keanggunan dan tidak luput.

Pengantin biasanya memakai warna putih untuk melambangkan kesucian. Warna putih juga menjadi warna pilihan yang popular dalam hiasan dalaman dan fesyen. Ini kerana putih memperlihatkan sesuatu yang neutral, senang dari segi pencahayaan dan mudah disesuaikan dalam semua keadaan.
Warna merah ialah warna yang paling memberi kesan dari segi emosi. Merah boleh merangsang dan mempercepatkan degupan jantung dan juga pernafasan. Merah juga warna yang popular dalam dunia kasih sayang dan percintaan. Pemakaian pakaian yang berwarna merah akan mudah menarik perhatian dan menampakkan pemakai lagi gemuk. Merah juga dikatakan warna yang kurang sesuai dipakai untuk berurusan tawar menawar dan perbincangan selain warna merah juga merangsang selera makan.
Warna biru ialah antara warna yang popular. Biru memberi impak ketenangan dan rasa senang. Biru yang lembut boleh membuatkan kita rasa selamat dan terkawal. Biru juga memberi inspirasi dan meningkatkan kreativiti. Ianya juga boleh meransang tubuh badan manusia untuk memproses bahan kimia yang memberi kesan ketenangan, ianya juga menjadi warna pilihan di dalam bilik tidur. Warna biru juga menjadi banyak pilihan syarikat-syarikat dalam membuat logo dan juga warna korporat syarikat. Warna biru ini juga dikaitkan dengan kepercayaan klien kepada syarikat.

Warna kuning pula akan menarik perhatian. Sebagai contoh kita melihat banyak papan tanda jalan yang menggunakan warna kuning. Ianya juga dikategorikan dalam warna yang optimis. Kuning juga warna yang boleh menyebabkan bayi lebih kuat menangis. Kuning juga boleh meningkatkan lagi kadar metabolisma badan.
Warna hijau warna alam semulajadi, kehidupan dan keseimbangan. Hijau juga boleh menenangkan pandangan mata dan dikatakan boleh membantu meningkatkan tahap penglihatan. Hospital biasanya banyak menggunakan warna hijau kerana ia membantu menenangkan pesakit. Hijau juga dikatakan warna yang selamat dan membantu memberikan rasa selesa, selamat dan tenang.
Warna oren ialah warna yang menyeronokkan. Ianya memperlihatkan keceriaan dan membangkitkan semangat. Ianya juga boleh membantu melepaskan emosi dan memberi kelegaan kepada perasaan rasa bersalah dan kekurangan diri selain boleh menambahkan selera makan.
Warna terbukti banyak memainkan peranan dalam kehidupan manusia dan juga dalam dunia fotografi. Tona dan warna yang berlainan boleh memberikan kesan impak emosi dan mesej yang berbeza. Warna juga boleh memberi kesan terhadap keseimbangan, kestabilan perasaan dan emosi. Banyak lagi warna-warna lain yang belum dibincangkan dalam penulisan ini. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak memberi maklumat yang berguna kepada peminat-peminat fotografi.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 14 (Ogos/ Sept 2013)
