Potret: Kuasa Pesona Wanita

18/10/2017 | miza

Teks & Foto: Shuhada Hasim

 

DOROTA_feel good at 50
Dorota – feel good at 50

 

“Seperkara yang anda dapat perhatikan di dalam imej-imej saya adalah, saya tidak takut untuk jatuh cinta dengan mereka.” – Annie Leibovitz

Baru lepas meraikan Hari Ibu dan sebelumnya adalah Hari Wanita Sedunia. Kita cuba selami apakah yang sebenarnya yang wujud di dalam hati dan minda setiap wanita.

Saat seorang wanita menitiskan air mata bila ditunjukkan kepadanya potret beliau yang dihasilkan, hati mana yang tidak cemas apabila memikirkan apakah kita telah mengguris hati wanita itu?

Emily_shy girl
Emily – Shy girl

Sangkaan meleset bila tahu kebenarannya, air mata tadi adalah kerana, dirinya tak pernah dibilang cantik. Dia tidak pernah terfikir akan dirinya cantik malah mempunya masalah bergelut dengan berat badan yang berlebihan beberapa lama dulu. Suatu yang pastinya berubah mulai saat itu, ialah potret yang tadi merupakan lambang kecantikan wanita, wanita yang bukan daripada golongan selebriti atau pragawati, bukan daripada kalangan mereka yang menghiasi kulit majalah atau yang sentiasa dihiasi dengan lapisan kosmetik. Wanita ini adalah seorang ibu kepada 3 orang anak dan nenek kepada 2 orang cucu. Beliau adalah golongan yang mewakili majoriti populasi wanita. Mereka adalah wanita biasa.

Apa hubung kait siapa mereka dan potret, kuasa dan pesona wanita? Hubungan wanita dan elemen tersebut adalah sangat rapat yang tak mungkin mampu dipisahkan.

Saat seorang wanita sentiasa mendahului keperluan keluarga, sering mengabaikan keperluan diri sendiri. Lama kelamaan, inisiatif untuk mencantikkan diri hampir tinggal di tempat paling bawah dalam senarai.
Tiada wanita yang tidak sukakan kecantikan. Untuk wanita biasa, majoriti akan mengatakan mereka tidak cantik untuk dibandingkan dengan para model yang dipaparkan di dada-dada media. Mereka tidak fotogenik. Mereka tidak cukup kurus untuk berada di depan kamera. Hampir setiap wanita akan menyenaraikan segala elemen negatif yang pada hakikatnya tidak wujud, tetapi diadakan pada diri mereka. Hukum alam, apabila segala elemen negatif diperbesarkan dan ditanam ke dalam minda, itulah yang akan diperolehi. Potensi, kekuatan dan kecantikan diri yang ada menenggelamkan diri. Hingga apa-apa yang disedari adalah kita tidak punya semua itu.

EMPOWERING WOMEN_shy girl

Potret adalah satu medium alternatif yang ada untuk mengenal diri. Kecantikan setiap wanita bukanlah untuk dipertandingkan. Wanita hanya ingin menjadi versi terbaik diri mereka sendiri.

Bila meneyedari betapa berkuasanya potret seorang wanita, saat bersama-sama wanita ini untuk dipotret adalah sangat berharga untuk tidak mengenali mereka. Saat mereka melepaskan segala yang dirasa dan merobohkan dinding menguasai ketakutan berhadapan dengan kamera apatah lagi untuk bergaya anggun seperti seorang model, kepercayaan yang diberi kepada jurugambar potret adalah senjata kekuatan dalam menghasilkan potret wanita.

Apabila wanita ini memberi peluang kepada diri mereka untuk dirias cantik secukupnya dan memperoleh koleksi potret peribadi, kesedaran wujud dalam diri mereka betapa mereka sebenarnya cukup cantik untuk berhadapan dengan dunia luar. Daripada kesedaran itu, lahirlah kekuatan dan motivasi diri yang selama ini duduk di dalam diri mereka. Seluruh proses ini adalah pengalaman yang tak mampu ditukar dengan kata-kata atau tulisan ayat-ayat inspirasi. Kekuatan wanita adalah kekuatan keluarga. Betapa besarnya pengaruh potret dalam melahirkan motivasi dan kekuatan daripada setiap wanita.

Kerana potret itu, wanita yang menangis tadi bangkit dan menakluk dunianya. Berkongsi suara hati yang mengakui bahawa setiap wanita punyai kecantikan dan kekuatan dalaman. Setiap wanita adalah cukup bagus dan cukup cantik dalam dunia mereka.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 19 (Jun/ Julai 2014)

fg19