Teks & Foto: Miza

Pingxi
Pingxi terletak di daerah pendalaman utara Taiwan yang pada suatu masa dahulu merupakan pekan arang batu terpenting pada awal abad ke-20. Di Pingxi, terkenal dengan tradisi tanglung dimana orang ramai menulis hajat mereka pada tanglung tersebut dan dilepaskan ke langit. Setiap tahun, Pingxi mengadakan Festival Tanglung Antarabangsa Pingxi dan pada tahun 2009, festival ini dihadiri oleh pelancong antarabangsa Jepun, Mexico dan China.
Daerah Pingxi boleh dilawati dengan menggunakan Aliran Pingxi yang disediakan oleh Pentadbiran Keretapi Taiwan. Aliran keretapi Pingxi sepanjang 12.9km merentasi daerah Ruifang dan Pingxi utara Taiwan. Landasan keretapi yang terbina, merupakan landasan asal yang dibina untuk pengangkutan arang batu yang telah siap di bina pada bulan Julai 1921. Aliran Pingxi ini merentasi beberapa pekan lama yang mempunyai sejarah dan keunikkan tersendiri yang menjadi tarikan pelancong.

Houtong
Houtong juga dikenali sebagai Perkampungan Kucing Houtong yang terletak dalam daerah Ruifang dan popular dengan populasi kucing yang banyak. Dahulunya Houtong merupakan pekan kecil perlombongan semasa pemeritahan Jepun di Taiwan. Ketika zaman kegemilangannya, kawasan ini menghasilkan 220,000 tan arang batu setiap tahun menjadikannya pengeluar arang batu terbesar di Taiwan. Tidak hairanlah apabila anda pergi ke Houtong pada masa sekarang dan anda akan terlihat beberapa kesan peninggalan kilang arang batu di sini. Peninggalan kilang arang batu ini menjadikannya suatu kawasan unik dan tempat berteduh untuk kucing-kucing bermain di sekitarnya.
Setelah industri pelombongan arang batu ditutup pada tahun 1990, ramai penduduk berhijrah ke kawasan lain. Pada 2008, sukarelawan pencinta kucing telah menganjurkan kehidupan yang lebih baik untuk kucing-kucing terbiar. Mereka menyebarkan gambar kucing-kucing tersebut dalam talian dan mereka menerima respon yang menggalakkan dari seluruh dunia. Houtong kemudiannya menjadi pusat pencinta kucing dan jumlah populasi kucing di sini meningkat serta menjadi destinasi tarikan pelancong.

Jingtong
Perkampungan Jingtong merupakan stesen terakhir untuk aliran Pingxi yang dahulunya dikenali sebagai pekan kecil perlombongan arang batu. Sekarang ini, Jingtong merupakan salah satu pekan yang menjadi tarikan pelancong. Anda yang datang sini boleh melihat pengangkutan untuk membawa arang batu, bangunan-bangunan lama, rumah kayu zaman pemerintahan Jepun dan jejak pendakian bukit yang sedia ada. Selain itu juga, Jingtong pernah menjadi lokasi pengembaraan untuk drama televisyen tempatan.

Shifen
Pekan Shifen merupakan pekan yang paling ramai pengunjung dalam aliran Pingxi ini. Pekan Shifen terbahagi oleh landasan keretapi dan di sini, rata-rata kedai menjual barangan cenderamata dan tanglung yang utamanya dimana pelancong boleh melepaskan tanglung di tengah-tengah landasan keretapi tersebut. Di samping itu juga, Shifen terkenal dengan air terjun yang popular terletak dalam 15 minit daripada pekan kecil tersebut. Air terjun ini merupakan air terjun terbesar di Taiwan dengan ketinggian 20 meter dan 40 meter lebar. Kawasan air terjun ini dikelilingi tumbuh-tumbuhan yang menghijau dan anda juga boleh menyewa basikal untuk ke sini di stesen keretapi Shifen.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 28 (Disember 2015/ Januari 2016)
