
Satu-satunya acara pengimejan terbesar di Malaysia, Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF) telah diadakan di White Box & Black Box MAPKL serta ruang terbuka The Square di Publika, Kuala Lumpur pada 24-26 November yang lalu telah dihadiri seramai 30,000 pengunjung. KLPF dianjurkan oleh PCP Publications dengan rakan taja OPPO Malaysia serta rakan acara Hands Percussion, Pangkor Island Festival 2017 dan Molido Coffee. Majlis pembukaan telah diserikan dengan persembahan gendang oleh kumpulan Hands Percussion dan di ikuti dengan kata aluan oleh pengasas KLPF; Kim Teoh, jurugambar profesional antarabangsa; Jamason Chen, pengarah festival; Jessica Chan dan tetamu kehormat Datuk Yew Teong Look; Penasihat Komuniti 1Malaysia Parlimen Wangsa Maju.

Pameran tahunan yang bertemakan “Something Black Something White” diambil bersempena lokasi ruang pameran White Box dan Black Box ini telah membuka peluang kepada jurugambar serta peminat fotografi untuk mencungkil bakat mereka dalam berimaginasi secara artistik menerusi hasil karya mereka sebagai tatapan para pengunjung. Lebih daripada 1,700 penyertaan diterima daripada seluruh negara termasuklah Malaysia, Bangladesh, Belgium, Perancis, India, Indonesia, Iran, Iraq, Mauritius, Pakistan, Filipina, Poland, Rusia, Singapura, Tanzania dan Amerika Syarikat. Akan tetapi, hanya 175 hasil karya terpilih dipamerkan semasa KLPF berlangsung.

Selain daripada pameran tahunan, KLPF juga memaparkan pameran foto kembara pilihan editor dengan tajuk “The 30 Most Scenic Train Journeys”. Pameran ini mempamerkan rakaman indah yang boleh dilihat sepanjang perjalanan laluan keretapi sehingga destinasi yang dituju. Hasil karya pameran ini merupakan pilihan editor majalah Travelution dan Travelmate.

Malah apa yang menarik perhatian pengunjung, pameran foto antarabangsa oleh 3 pempamer jemputan iaitu Jeonju International Photo Festival (Korea) yang mempamerkan hasil karya daripada 9 orang jurugambar dan diketuai oleh pengarah festival Seung-Hwan Park, Eyes on Main Street, Wilson Outdoor Photo Festival telah mempamerkan hasil karya jurugambar Steve McCurry dan 14 orang jurugambar yang lain dan pempamer jemputan dari The Photographic Society of Singapore juga mempamerkan hasil karya 20 orang ahli dengan diketuai oleh pengerusi, Goh Kim Hui.

Selain daripada pameran umum, KLPF juga mengetengahkan pameran profil bagi jurugambar yang ingin meluaskan lagi kenalan mereka dalam bidang fotografi. Tahun ini terdapat 2 jurugambar turut serta dalam pameran profil iaitu Shuhada Hasim; jurugambar potret yang memfokuskan subjek fotografinya pada kekuatan wanita. Manakala, Sharaf Alhothi dari Yemen pula merupakan seorang jurugambar seni halus yang sentiasa mencari kaedah serta konsep baharu dalam seni fotografi.

Acara paling dinantikan oleh pengunjung yang hadir merupakan seminar oleh jurucakap Photomania dan Travelmania. Tahun ini KLPF menjemput jurucakap antarabangsa untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dalam bidang masing-masing. Barisan jemputan jurucakap antarabangsa merupakan Jamason Chen (Amerika Syarikat), Jerome De Perlinghi (Amerika Syarikat), Alex Ng (Hong Kong), Dr. Oh Soon-Hwa (Korea), Päivi Maria Wells (Finland), Jong Soo Kwon (Korea), Seunghwan Park (Korea), Vincent Liew (Singapura), Lim Leong Kiat (Singapura), R. Haryanto (Indonesia), Dr. Kah-Wai Lin (Malaysia/Amerika Syarikat), Sharaf Alhothi (Yemen), Hsiao-Ling Tseng (Taiwan) dan Subhrajit Mukherjee (India). Selain daripada jurucakap antarabangsa, KLPF juga menjemput barisan jurucakap tempatan yang terdiri daripada jurugambar berpengalaman dalam genre fotografi masing-masing seperti Jen Siow, Steve Chong, Azam Neurmaya, Mohd Azlan Mam dan ramai lagi dalam memeriahkan acara seminar kali ini. Malah, turut serta memeriahkan lagi perkongsian ilmu ini juga diadakan forum fotografi yang terdiri daripada panel ahli kumpulan FJM iaitu Hanafi Alias, Raz Rozzfaisal, Hammam Mustafar dan Marvin Buhian Mamerto dengan tajuk pembentangan “Senario Fotografi Jalanan di Malaysia”.

Terdapat 50 pempamer yang menawarkan produk, alatan, aksesori, perkhidmatan dan pengajian sementara 10 lagi pempamer merupakan persatuan dan kumpulan fotografi yang mempamerkan hasil karya mereka serta aktiviti yang diadakan sepanjang tahun. Barisan persatuan dan kumpulan fotografi yang turut serta dalam KLPF kali ini merupakan Malaysian Nature Society (MNS – cawangan Selangor), Photographic Society of Petaling Jaya (PSPJ), Kelab GoPro Malaysia, Fotografi Jalanan Malaysia (FJM), Angkatan Senifoto Wilyah Persekutuan (ASFON), Kampong Love dan kumpulan kebudayaan Look Port Weld, Hands Percussion serta A New Journey 8TV.

Pelbagai aktiviti telah disusun untuk disajikan kepada para pengunjung yang hadir antaranya bengkel fotografi oleh jurugambar profesional antarabangsa Jerome De Perlinghi, Alex Ng dan Jamason Chen dengan tajuk mengikut kepakaran masing-masing. Malah, para pengunjung berpeluang bersua secara perseorangan dengan jurugambar profesional antarabangsa dalam program ‘Portfolio Review 1-on-1’ dengan Jamason Chen, Alex Ng, Jerome De Perlinghi dan Dr. Oh Soon-Hwa. Program ini diadakan untuk memberi peluang kepada jurugambar baharu memperbaiki hasil karya mereka dengan adanya pendapat yang bernas daripada jurugambar yang berpengalaman.

Sepanjang 3 hari acara KLPF, pertandingan fotografi telah diadakan untuk para pengunjung meluangkan masa di samping memantapkan lagi bakat mereka diikuti untuk menjana kreativiti mereka dengan menyertai 4 pertandingan yang telah disediakan iaitu ‘KLPF 2017 Model Shoot Contest’, ‘KLPF 2017 Selfie/Wefie Contest’, ‘Hands in Action @KLPF2017’ dan ‘KLPF 2017 Video Clip Contest’. Kesemua pertandingan perlulah diposkan dalam laman sosial Facebook peserta disertai dengan tanda pagar mengikut pertandingan yang disertai dan tetapan Facebook dibuka kepada umum. Pemenang bagi kesemua pertandingan bakal diumumkan kepada orang ramai pada 15 Disember nanti.
Selain daripada agenda fotografi yang diketengahkan, KLPF juga mempelawa pengusaha makanan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung di sudut ruang pameran yang dikenali sebagai ‘Taste of Malaysia’. Ianya bertujuan untuk mempromosikan kebudayaan serta keenakkan makanan tempatan kepada pengunjung terutama pelancong asing. Terdapat 10 kiosk makanan tempatan memperkenalkan produk mereka iaitu roti planta, the halia, kuih ‘ang ku’, nasi daun teratai, kopi dan sebagainya.

Acara tahunan ini dibuka kepada orang ramai dan pengunjung memperoleh banyak ilmu pengetahuan di samping mengenali rakan seperjuangan yang baharu dalam bidang fotografi. Ilmu pengetahuan dan pengalaman yang disampaikan oleh para jurucakap Photomania dan Travelmania diharap dapat dicerapkan pada minda dan memberi inspirasi kepada pengunjung untuk berkarya secara lebih kreatif dan berdaya saing secara sihat dalam bidang ini.


Tidak ketinggalan, kami warga editorial majalah Fotografika selaku salah satu majalah bagi penganjur KLPF selama 21 tahun ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pempamer, jurucakap Photomania dan Travelmania serta pengunjung yang telah hadir secara langsung mahupun tidak langsung dalam memberi sokongan padu pada setiap acara kami. Kita jumpa lagi dimasa hadapan Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF) 26-28 Oktober di ruang pameran Mid Valley.
