Teks & Foto: Arep Kulal

Salam hormat dan bertemu lagi dalam keluaran kali ini untuk saya berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu fotografi bersama-sama anda pembaca setia majalah Fotografika.
Kesibukan tugas dan kesuntukan masa menghalang saya untuk menulis dalam keluaran yang lalu. Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana memberi sokongan kepada saya untuk terus berkarya dan berkongsi pengalaman perjalanan dunia fotografi sukan saya.
Jika dalam penulisan saya yang terdahulu, saya mengajukan persoalan kepada para pembaca, adakah anda jurugambar yang profesional? Sudah pasti jawapan yang diterima berbeza-beza. Kepada anda yang merasakan sudah mencapai tahap seorang jurugambar yang profesional, maka tahniah saya ucapkan. Jika anda merasakan bahawa anda masih lagi di tahap semi profesional, jangan bimbang kerana masih banyak ruang yang boleh anda cuba untuk menjadi seorang yang profesional.
Di sini yang pasti, perjalanan seorang jurugambar untuk menjadi seorang jurugambar profesional itu sudah pasti berbeza-beza. Ada yang melalui perjalanan yang singkat dan ada pula yang melalui perjalanan yang berliku-liku. Perjalanan inilah yang menjadi pengalaman pahit dan manis dalam kehidupan seorang jurugambar sukan.
Saya pernah didatangi oleh seorang jurugambar suatu ketika dahulu. Beliau dengan selamba berkata “Saya hanya mempunyai lens 70-200mm, jika saya mampu memiliki lens 400mm seperti awak, gambar saya pasti lebih cantik dari gambar awak dan saya mesti lebih hebat dari awak”.
Sehingga kini kata-kata itu masih segar di minda saya. Saban hari saya terfikir, jika benarlah apa yang dikatakan, maka saya yang mempunyai peralatan kamera yang sama digunakan oleh Khalid Redza, pasti mampu menjadi lebih hebat dari beliau, atau setidak-tidaknya mampu menjadi lebih hebat dari Kanesan Saudian atau lebih dikenali dengan panggilan SSK jurugambar senior akhbar The Star. Tapi mengapa sehingga ke hari ini saya masih dibayangi mereka, malahan hasil kerja mereka semakin hari semakin jauh lebih baik dari saya.
Akhirnya saya sedar, peralatan sahaja tidak mencukupi. Dalam seni fotografi sukan, seorang jurugambar itu perlu ada elemen yang jauh lebih penting iaitu pengalaman.
Seorang jurugambar yang berpengalaman pasti dapat mengadaptasikan pengalaman beliau untuk tegar menjadi seorang profesional kerana pasti pengalaman itu dapat mengatasi segalanya.

Pengalaman yang berharga
Jika disingkap pengalaman jurugambar-jurugambar sukan terdahulu, kita pasti teruja mendengar ceritera mereka. Bagaimana mereka satu ketika dulu bertarung di zaman filem, bertarung mengejar ‘dateline’, bertarung untuk menggunakan kamera analog, bertarung untuk menentukan tetapan kamera secara manual dan yang paling sering kita dengar bagaimana kesukaran mereka terpaksa membawa bergulung-gulung filem pelbagai jenis ASA dalam jaket kamera mereka untuk merakam sesuatu aksi sukan.
Apabila mereka ini merentas sempadan memasuki zaman digital, mereka melihat perjalanan yang mereka lalui itu sebuah pengalaman yang sungguh berharga. Dalam dunia yang semakin moden, peralatan digital yang semakin moden, mereka sekadar tersenyum sinis sekiranya melihat ada di kalangan jurugambar sukan yang panik dalam menjalankan tugas mereka.
Mereka yang berpengalaman ini ternyata lebih tenang dalam menghadapi saat-saat sukar ketika bertugas dan dilihat tidak hilang fokus apabila berada dalam keadaan tertekan.
Faktor pengalaman ini terlalu berharga dan menjadikan mereka tegar dalam profesion fotografi sukan yang mereka lakukan.

Pengalaman mematangkan diri
Pengalaman menjadikan akal seseorang itu lebih matang dari usianya. Ini hakikat yang kita perlu tahu dalam kehidupan. Seorang jurugambar sukan yang matang dan berpengalaman sentiasa berjaya mengawal dirinya dan sabar dalam menghadapi apa jua jenis cabaran.
Saya akui, saya bukanlah seorang yang penyabar. Saya dikenali di kalangan anggota keluarga sebagai seorang yang panas baran. Sikap buruk ini banyak mempengaruhi hasil kerja saya. Beberapa kali dalam beberapa kejohanan sukan, saya sering meninggikan suara dengan petugas-petugas dan pengawal yang mengawal acara sukan yang dijalankan apabila mereka cuba menghalang tugas saya sebagai seorang jurugambar.
Dalam satu kejadian di Kejohanan Golf Barclays Terbuka Singapura beberapa tahun lalu, saya hampir menumbuk seorang pengawal keselamatan akibat sikap beliau yang tidak menghormati tugas saya.
Kejadian berlaku apabila pengawal keselamatan tersebut cuba menghalang ‘buggy’ yang dipandu oleh saudara Khalid Redza dari melalui jalan yang sering kami gunakan untuk ke pusat media. Pada waktu itu, Khalid Redza ingin menghantar saya ke pusat media bagi membolehkan saya menyunting dan memuat turun gambar yang saya rakamkan. Setelah hampir 10minit bertegang leher dengan pengawal keselamatan tersebut, kami berjaya juga ‘menceroboh’ laluan tersebut tanpa mempedulikan arahan pengawal tersebut yang tidak mengetahui arahan dan melakukan kesilapan. Apabila tiba di pusat media, saya mengatakan kepada saudara Khalid, saya ingin mencari pengawal keselamatan tersebut kerana masih tidak berpuas hati. Dengan tegas Khalid Redza mengarahkan saya supaya melupakan apa yang telah berlaku dan fokus kepada kerja saya. Beliau menasihatkan saya dengan nada yang keras bahawa sekiranya saya terus mengingati peristiwa tersebut maka seharian saya akan dibelenggu masalah yang sama.
Akhirnya saya sedar, apa yang dikatakan oleh saudara Khalid itu ada benarnya. Sikap panas baran saya sebenarnya boleh menjerat diri saya sendiri. Dari detik tersebut, saya belajar mengawal diri bagi membolehkan saya melakukan kerja saya dengan lebih baik.
Ternyata pengalaman di Barclays mematangkan saya.

Pengalaman menginsafkan diri
Sepanjang berkecimpung dalam dunia fotografi sukan ini, saya sering berjumpa dengan jurugambar-jurugambar sukan yang berpengalaman. Satu persamaan yang nyata pada jurugambar-jurugambar ini, mereka sering merendah diri dan tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman apabila diajak bercerita. Pengalaman pahit dan manis yang diperolehi semasa berkerjaya dalam dunia fotografi sukan menginsafkan diri dan menyedarkan mereka bertapa sukarnya untuk mencapai apa-apa yang telah mereka capai hari ini.
Ibarat peribahasa Melayu ‘ikut resmi padi, makin tunduk, makin berisi’, jurugambar-jurugambar berpengalaman ini tidak akan mendabik dada dengan hasil kerja mereka. Mereka juga tidak akan menjadikan laman sosial seperti Facebook tempat untuk mempamerkan hasil kerja mereka semata-mata untuk meraih ‘1000like’ seperti yang sering kita lakukan. Golongan ini sedar, hasil kreativiti mereka perlu dijaga sebaik mungkin dan mempunyai nilai yang tinggi untuk dipertontonkan.
Berbeza dengan apa yang terjadi dewasa ini. Jurugambar kini lebih gemar memuat naik gambar hasil kerja mereka di Facebook untuk dinilai oleh rakan-rakan jurugambar yang lain. Setelah dimuat naik gambar tersebut, juri-juri yang tidak diundang akan memberi komen dan kritikan terhadap gambar tersebut. Apabila seseorang itu memberi komen, secara sponton gelaran ‘sifu’, ‘masta’, ‘cikgu’, atau ‘otai’ akan diberikan kepada mereka.
Cuba lihat, adakah jurugambar-jurugambar yang berpengalaman memberi komen kepada gambar yang anda paparkan ? Atau adakah mereka selesa apabila anda memanggil mereka dengan gelaran seperti di atas ?
Saya pasti anda punya jawapan sendiri. Apa yang saya sedar, jurugambar-jurugambar yang berpengalaman jarang atau sukar sekali untuk memberi komen mereka terhadap sesuatu gambar secara terbuka dan mereka ini tidak selesa dengan apa jua gelaran yang diberikan pada mereka.
Sikap mereka yang merendah diri, menginsafkan saya.

Rakan berpengalaman bantu lancarkan tugasan
Pengalaman bertugas dengan mereka yang berpengalaman seharusnya banyak membantu memudahkan tugasan yang diberi. Semasa bertugas sebagai jurugambar rasmi di Kejohanan Golf ‘The Royale Trophy’ Asia vs Europe di Empire Golf & Country Resort Brunei, saya ditugaskan bersama saudara Aswad Yahya, salah seorang jurugambar sukan yang cukup berpengalaman di Malaysia. Aswad telah diberi mandat untuk mengetuai kumpulan jurugambar untuk merakamkan gambar semasa kejohanan berlangsung.
Beliau telah menggunakan segala pengalaman beliau untuk memimpin dan mengetuai kumpulan. Tugasan diatur dengan teliti, kemahuan pelanggan dituruti, setiap sudut terbaik berjaya dikenal pasti bagi memudahkan jurugambar menjalankan tugas yang diberi.
Saya yakin, pengalaman beliau ketika ditugaskan dibeberapa kejohanan sukan besar seperti sukan Olimpik dan Sukan Asia telah menjadikan Aswad Yahya seorang ketua yang berjaya memimpin pasukannya.
Semasa di kejohanan Badminton Axiata Cup bulan lalu, saya mengambil gambar dari sudut sisi gelanggang. Kedudukkan saya betul-betul berada di sebelah tempat jurulatih pemain yang sedang bermain. Melihat pada hasil gambar dari sudut tersebut, saya amat teruja. Seperti biasa, saya menunjukkan hasil kerja saya kepada Khalid Redza. Dengan selamba beliau berkata, sudut gambar yang saya lakukan telah beliau lakukan pada tahun 1980 lagi. Beliau menambah seharusnya beliau mahu ‘orang baru’ seperti saya menghasilkan idea yang lebih segar dan bukannya gambar seperti yang sedia ada.
Adakah Khalid Redza ketika itu cemburu dengan gambar yang saya ambil ? Jika saya berfikiran negatif maka sudah pasti negatif hasil kerja saya. Lantas saya membersihkan minda dengan mengatakan mengapa mesti Khalid Redza cemburukan saya sedangkan pada waktu itu beliau ingin mengajar saya untuk menjadi yang lebih baik. Saya mencuba dan terus mencuba pelbagai sudut.
Hasilnya, saya berjaya menghasilkan gambar yang lebih baik dan menarik.
Saya tidak berkongsi pengalaman ini untuk memperlihatkan kelemahan saya, tapi dari pengalaman-pengalaman inilah saya belajar untuk mendewasakan lagi ilmu yang saya ada dalam fotografi sukan. Tanpa melalui pengalaman seperti ini saya mungkin tidak berada di mana saya berada ketika ini.
Kini saya sedar, sekelumit pengalaman yang saya ada ini masih belum mampu untuk menandingi kehebatan mereka. Saya harus lagi berusaha dan terus berusaha untuk melalui perjalanan yang masih panjang bagi membolehkan saya memperolehi pengalaman yang mampu mengatasi segalanya buat saya di masa hadapan.
Sehingga kita bertemu lagi dalam keluaran akan datang. Bersama-sama kita memartabatkan bidang fotografi di negara kita. Salam hormat.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 13 (Jun/Julai 2013)
