Pemenang Photo Creator of the Year 2018 – Zanariah Salam

12/12/2018 | miza

Temuramah: Miza

Foto: Zanariah Salam

 

zanariah (1)

 

Anak kelahiran Johor ini mempunyai ijazah dalam Kejuruteraan Awam, UTM dan mula meminati fotografi sejak akhir tahun 2009. Beliau juga mempunyai Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Fotografi. Mulanya beliau mengganggap fotografi sebagai hobi dan beliau komited meneroka sehingga setiap usaha beliau dianggap berjaya apabila pernah memenangi beberapa pertandingan fotografi di dalam dan luar negara antaranya ialah Iskandar Malaysia IMKlik, 2017 (tempat ketiga) dan 2016 (saguhati), Kulim Retreat Photo Contest 2016 (tempat pertama), Top 50 Travel Photography Asia (TPA) 2015 dan Social Media Award TPA 2015, Fotografi Pelancongan Sungai Melaka, 2014 dan 2015 (tempat ketiga), Top 200 Garuda Photo Contest 2014, FJM Batu Pahat, 2013 (tempat pertama) dan terbaharu pemenang KLPF Photo Creator of the Year 2018. Genre fotografi beliau lebih terarah kepada pengkhususan dalam pelancongan, ‘human interest’, jalanan dan landskap. Beliau juga pernah menerbit sendiri 2 buah buku berkaitan fotografi pada 2017 iaitu RASE dalam Fotografi dan WoWStockFoto: Jana pendapatan pasif secara online. Beliau pernah menulis beberapa artikel berkaitan fotografi telefon pintar di surat khabar tempatan NST dan artikel pelancongan di majalah Libur.

zanariah (12)

Bagaimana saudari boleh terlibat untuk menyertai pertandingan Photo Creator of the Year 2018? Ada dorongan dari sesiapakah?

Saya sentiasa mengikuti perkembangan Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF) dimana ia bakal berlangsung dan bila akan diadakan setiap tahun. Beberapa gambar saya juga pernah terpilih untuk ruangan pameran tahunan pada tahun 2015. Saya tergerak hati untuk menghantar gambar untuk pertandingan Photo Creator of the Year 2018 apabila melihat tema yang dipertandingkan. Tema ‘The Callenges’ membuatkan saya terkenang kembali gambar yang telah di ambil di Kuala Sepetang, Perak. Saya merasakan seakan ada satu tarikan untuk menghantar gambar siri tersebut. Dorongan semestinya daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat yang sentiasa menyokong apa yang saya lakukan.

zanariah (10)

Tarikan dari segi apa untuk menyertai pertandingan ini? Apakah yang ingin disampaikan menerusi karya yang dipamerkan?

Tarikan dari tema ‘The Challenges’ itu sendiri. Pada saya ianya berkaitan cabaran sebagai seorang pekerja buruh di kilang arang. Bergelumang dengan debu, asap dan haba saban waktu sebagai punca rezeki. Mereka perlu bekerja kuat setiap hari mengangkat, memunggah kayu dan arang kerana semuanya dilakukan menggunakan tenaga manusia. Cabaran ini juga turut dirasai saya sendiri apabila perlu berada di dalam relau untuk merasai sendiri pengalaman seperti mereka ketika proses memunggah keluar arang. Kepanasan yang dirasai bagaikan berada dalam sauna. Walaupun begitu, ia tetap memberi pengalaman indah kepada saya kerana daripada pengalaman tersebut saya belajar untuk bersyukur dengan apa yang ada dan berkongsi dengan orang lain.

zanariah (6)

Ada sesiapakah yang memberikan saudari inspirasi untuk berkarya?

Saya banyak merujuk kepada gambar para pemenang pertandingan fotografi luar dan dalam negara. Dari situ saya mempelajari kekuatan yang ada pada gambar pemenang dan bagaimana jurugambar tersebut mencipta karya mereka. Saya kaitkan dengan tema pertandingan yang diberi. Ramai ikon fotografi di Malaysia yang saya kagumi akan hasil karya mereka. Hasil karya mereka saya jadikan panduan dan rujukan terutama dari segi komposisi, pencahayaan dan penceritaan dalam gambar sebelum saya menekan butang pengatup.

Apakah yang saudari pelajari sepanjang menceburi bidang fotografi?

Saya belajar erti kesabaran. Sabar dalam mencari, membuat dan merakam gambar.

zanariah (3)

Kalau dilihatkan dalam koleksi gambar saudari lebih menjurus kepada genre lanskap. Kenapakah saudari meminati genre ini?

Saya menyukai gambar-gambar pelancongan yang mempunyai elemen ‘human interest’, landskap dan jalanan. Bagi saya, ia saling melengkapi penceritaan dalam setiap gambar yang diambil. Mempunyai unsur penceritaan mengenai budaya, sosial ekonomi dan landskap kehidupan dalam sesebuah gambar.

Halatuju saudari seterusnya dalam bidang fotografi ini.

Saya berminat untuk mengadakan pameran fotografi solo dan mengembara satu dunia. Buat masa ini, saya mengendalikan beberapa kelas fotografi yang dianjurkan bersama-sama kawan saya untuk mereka yang ingin mengenali fotografi dan bagaimana merakam gambar yang mempunyai maksud penceritaan. Kelas fotografi ini telah diadakan sejak tahun 2014 di Johor Bahru dan Lembah Klang. Malah, saya juga mempunyai beberapa perancangan yang masih lagi dalam bentuk plan untuk dilaksanakan, InsyaAllah.

Nasihat saudari untuk jurugambar baharu yang ingin menceburi bidang fotografi

Dalam bidang fotografi, tiada jalan pintas untuk merakam gambar menarik dan mempunyai ‘wow’ faktor walaupun anda telah menggunakan telefon pintar terbaik di dunia sekalipun. Saya sendiri pun masih belajar dan terus belajar. Bagi saya, kita perlu selalu merakam gambar, praktis mata dan belajar dari jurugambar yang berpengalaman. Seni melihat perlu sentiasa diasah dan buka mata serta minda untuk melihat hasil karya orang lain untuk mendapatkan inspirasi serta rujukan kerana pada akhirnya, hanya diri anda sendiri mengetahui apakah genre fotografi yang anda minati.

 

zs-03  

zs-05  zs-04

 

Untuk melihat secara lebih lanjut mengenai hasil karya saudari Zanariah Salam, layari laman sesawang https://zanariahsalam.com/ atau ikuti beliau dalam laman sosial Instagram www.instagram.com/zasazana/ dan Facebook www.facebook.com/zanariah.salam.