‘Outflow’

12/04/2018 | miza

Temuramah: Miza                         Foto: Andrialis Abdul Rahman

 

profile1

 

Nyatakan serba sedikit mengenai diri saudari.
Saya merupakan lepasan graduan UiTM dan menyambung pengajian sarjana di Kolej Seni Halus, Universiti New South Wales, Australia selama 1 tahun 18 bulan. Saya mendapat biasiswa meneruskan pengajian apabila saya menyertai program Tenaga Pengajar Muda di UiTM. Saya pernah bekerja di Kolej Limkokwing dan kini saya bekerja tetap sebagai pensyarah di UiTM. Pameran Young Malaysian Artist New Object (ION) II yang diadakan di Galeri Petronas merupakan pameran kedua saya.

1Sejak bila saudari menceburi bidang fotografi?
Saya meminati fotografi sejak dari sekolah menengah dan ayah saya mempunyai sebuah kamera SLR Canon EOS 50 dan beliau membelikan saya Nikon FM10 untuk saya belajar dan saya mula merakam gambar rakan-rakan sekolah. Ayah saya seorang jurugambar video kahwin pada ketika itu dan mungkin saya mengikuti jejak langkah beliau.

Apakah yang membuatkan saudari tertarik dengan genre ini?
Saya banyak membuat kajian mengenai apa-apa yang ingin saya rakamkan. Pada mulanya, saya tidak memfokuskan pada genre seni halus. Ini kerana, projek tahun akhir saya ketika belajar lebih menjurus kepada fotografi bawah air. Setelah saya mempelajari dan menguasai bidang seni halus di luar negara, saya mengambil keputusan untuk meneruskan karya dalam bidang yang saya pelajari dengan lebih mendalam.

Makna fotografi pada diri saudari?
Fotografi merupakan keinginan untuk merakam sesuatu subjek. Terpulang kepada individu tersebut untuk merakamnya atau tidak.

7

Apakah yang ingin disampaikan menerusi hasil karya bertajuk “Outflow” ini?
“Do not get trap into something too much”. Saya membuat kajian menerusi daripada kehidupan mak saya yang gemar menonton rancangan yang disiarkan di tv. Saya gambarkan individu yang ingin berubah daripada kegiatan seharian mereka daripada taksub pada program yang disiarkan akan tetapi usaha tersebut tidak berjaya. Ada setengah individu cuba untuk keluar menggunakan kaki, tangan dan kepala serta dari pelbagai cara akan tetapi tidak berjaya. Seperti perumpamaan“Hendak seribu daya tak nak seribu dalih”.

Bagaimanakah saudari menjayakan projek ini?
Yang penting sekali adalah lakaran idea dan mengenal pasti konsep yang ingin disampaikan. Saya mencari tv lama di pusat kitar semula dan sesetengahnya pemberian orang ramai. Kemudian saya perlu bersihkan tv tersebut seperti pecahkan kaca dan keluarkan komponen tv yang tidak diperlukan. Rakaman model diadakan di studio dan seterusnya hasil karya perlu dicetak mengikut saiz skrin tv tersebut. Dari proses lakaran, rakaman dan suntingan mengambil masa selama 2 minggu.

10

Cabaran yang dialami oleh saudari dalam penghasilan karya “Outflow”?
Oleh kerana tugas hakiki sebagai pensyarah, salah satu cabaran yang saya alami ialah kekangan masa. Malah, tugas untuk mencari tv lama, membersihkan tv dan memasukkan hasil karya tersebut mengikut saiz sebenar skrin tv dalam masa yang singkat merupakan cabaran bagi saya.

Adakah hasil karya ini merupakan simbolik kepada perwatakkan diri saudari sebenarnya?
Ya, mungkin boleh jadi ia simbolik kepada perwatakkan diri saya. Kerana saya sendiri pun minat menonton tv dan ia juga boleh terjadi kepada semua orang.

Pandangan saudari mengenai perkembangan industri fotografi di Malaysia.
Pada pendapat saya, industri fotografi di Malaysia kini berkembang dengan pesat. Ini kerana semua orang mampu memiliki kamera dan telefon bimbit pun kini mempunyai kebolehan untuk merakam. Walaupun harga kamera kini tidaklah begitu mahal berbanding harga pada masa lalu, yang penting sekali ialah ‘Man behind the camera’ untuk menghasilkan karya yang lebih menarik.

16

Nasihat saudari kepada jurugambar muda yang ingin menghasilkan karya terbaik.
Saya selalu memberi nasihat kepada pelajar saya, sentiasa rujuk semula kepada asas fotografi. Fotografi merujuk kepada pencahayaan yang betul iaitu elemen asas yang paling penting. Bagaimana anda menguruskan subjek tersebut dan kawalan pencahayaan terletak kepada individu tersebut. Ini kerana pencahayaan memainkan peranan yang penting dalam penghasilan gambar yang menarik.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 16 (Dis 2013/ Jan 2014)

fg16-cover