‘Milky Way’ – keindahan alam semulajadi

19/09/2017 | miza

Temuramah: Miza             Foto: Liew W.K

 

Profile pic
Weng Keong Liew

 

Berasal dari Teluk Intan, Perak dan kini beliau menetap di Kuala Lumpur. Weng Keong Liew merupakan seorang jurugambar yang meminati alam semulajadi dimana hasil karya beliau lebih tertumpu kepada flora, fauna dan landskap. Beliau sentiasa ingin menikmati keindahan alam dan merakam keindahan alam tersebut. Keindahan alam yang dilihat dikongsikan kepada orang ramai menerusi hasil karya beliau yang boleh dilihat di laman sosial dan laman sesawang. Malah, beliau juga turut menganjurkan lawatan yang dibuka kepada orang ramai yang ingin mendalami bidang fotografi.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Bermulanya perjalanan fotografi
10 tahun lalu ketika saya bekerja di sektor konsultan IT, saya telah dihantar ke luar negara untuk bekerja. Tanpa melepaskan peluang melihat keindahan yang cantik terbentang di depan mata, saya mula merakam. Oleh kerana kamera kompak yang digunakan telah rosak, saya membeli sebuah kamera pada ketika itu juga memandangkan harganya lebih murah berbanding di Malaysia. Secara tidak langsung, saya mula memupuk minat dalam bidang fotografi dengan azam untuk merakam keindahan semulajadi ciptaan Tuhan.

Gaya bersahaja
Menghayati keindahan alam semulajadi tanpa perlu menokok tambah keindahan tersebut, saya cuba untuk merakam momen yang bersahaja tanpa perlu diarah atau disogok dengan makanan atau wang ringgit.

Inspirasi
Keindahan momen yang dirakam boleh dikongsi bersama-sama orang ramai. Disamping memberikan kesan yang menarik pada hasil yang ingin dikecapi. Malah, saya sentiasa muhasabah diri untuk menghayati alam semulajadi dan cintakan keindahan alam semesta agar dapat dikongsikan kepada orang ramai. Selain daripada itu, saya banyakkan melihat hasil karya rakan di laman sesawang seperti Flickr sebagai sumber rujukan saya dalam menambah baik hasil karya saya selama ini. Saya sering kagum dengan keindahan alam semesta yang tersergam indah.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Rakaman Menarik
Cuaca yang baik, alam semulajadi yang menakjubkan dan momen yang tepat dalam sesebuah gambar menjadikan ia rakaman yang menarik! Ini kerana gambar yang menarik memberikan ketenangan dan perasaan gembira kepada orang yang melihatnya.

Bagaimana merakam ‘Milky Way’
Lensa dengan bukaan apertur kecil F/2.8 untuk merakam ‘Milky Way’ yang menarik disamping anda memerlukan tripod dan kesabaran yang tinggi. Dengan menggunakan mod baharu ‘Live Composite’ yang terdapat pada kamera Olympus OMD EM5 Mark II memudahkan saya untuk merakam ‘Milky Way’ kerana anda boleh melihat secara langsung gambar yang dirakam menjadi atau tidak dan dengan adanya lensa fisheye membolehkan saya menghasilkan imej yang berbeza dan kreatif. Kita tidak dapat menjangkakan keadaan cuaca dilokasi tersebut, oleh itu sebagai jurugambar anda harus bertindak kreatif dengan menggunakan pelbagai teknik rakaman yang lain.
Pengalaman Indah
Saya berjaya merakam gambar spesis burung yang agak sukar untuk dijumpai iaitu burung Giant Pitta di Danum Valley Sabah. Bagi peminat fotografi hidupan liar, inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh saya selama ini memandangkan spesis ini hanya boleh dijumpai di Brunei, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Thailand.

_50C8935

Tempat yang diminati
Tempat yang digemari untuk merakam ‘Milky Way’ bagi saya adalah Bali, Indonesia kerana dalam sebuah pulau yang kecil terdapat pelbagai tarikan seperti gunung berapi, pantai dan sawah padi. Tambahan lagi, Bali merupakan pulau yang berdekatan dengan Malaysia dan juga antara pulau yang tercantik di Indonesia. Manakala lokasi yang digemari di Malaysia ialah di Batu Pahat, Johor. Ini kerana kebiasaannya nelayan disana pergi ke laut pada waktu malam. Langit pada waktu malam disana cukup gelap untuk merakam ‘Milky Way’ disamping mempunyai latar hadapan seperti kelung dan latar belakang yang menarik!

Cabaran yang pernah di alami
Pernah saya dan rakan pergi berdua untuk merakam di lokasi yang baharu. Di situ, kami diganggu oleh sekumpulan lelaki bermotosikal yang seolah-olah ingin merompak kami. Oleh itu, saya mencadangkan peminat fotografi yang ingin merakam pada waktu malam dinasihatkan untuk mencari lokasi yang selamat untuk merakam dimana lokasi tersebut mempunyai pengunjung yang lain dan sentiasa menyediakan segala perkakasan untuk berwaspada terhadap kejadian tidak diingini.

 

Flickr: Weng Keong Liew
Facebook: Liewwk Nature Photography
www.liewwkphoto.com

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 26 (Ogos/ Sept 2015)

FG26 Cover