Teks & Foto: Shuhada Hasim

Merakam potret sebenarnya hampir sama dengan genre fotografi lain seperti landskap, dan komersial dimana ia memerlukan kemahiran teknikal dan estetik dalam menghasilkan sesuatu gambar yang diinginkan. Secara amnya, jika seseorang pandai menggunakan kamera dengan apa-apa sahaja pengetahuan serta elemen dalam aplikasi teknikal yang beliau tahu, sekeping gambar yang cantik pasti akan terhasil. Yang dimaksudkan dengan elemen di dalam aplikasi teknikal di sini adalah teknik pencahayaan, komposisi, elemen fizikal subjek, dan parameter kawalan cahaya atau dikenali sebagai ‘exposure triangle’.
Sekiranya setiap jurufoto menggunakan tetapan dedahan yang sama, menggunakan teknik pencahayaan yang sama, ditambah pula dengan lokasi dan subjek gadis jelita yang sama, pasti setiap jurufoto akan dapat menghasilkan gambar yang sama cantik dan sama hebat. Namun begitu, faktor kehebatan teknikal bukanlah penentu dalam membuatkan jurufoto mahupun gambar tersebut tampil hebat.

Dalam artikel kali ini, saya ingin membawa para pembaca sekalian meneliti secara dekat dan lebih mendalam mengenai penghasilan sesebuah potret dimana seseorang yang bukan artis, model, mahupun selebriti dipilih untuk menghasilkan sebuah potret yang menarik dengan setiap jalan cerita yang tersendiri. Dalam bidang pekerjaan saya sebagai seorang jurufoto potret, buat masa ini, 95% pelanggan atau subjek adalah mereka yang tidak begitu dikenali, golongan ibu atau bapa, remaja atau dewasa, dan juga golongan profesional yang tidak tahu mengenai penggayaan serta tidak mempunyai pengalaman bergaya seperti model di hadapan lensa.
Kebiasaannya, pelanggan atau subjek ini tidak akan menggayakan pakaian pereka fesyen atau mengenakan solekan tebal persis model di dada-dada majalah, juga gaya rambut yang hebat daripada penata rias rambut yang terkenal. Mereka hanya perlu datang bersama-sama pakaian kegemaran beserta aksesori yang minimal dan selesa untuk mereka gayakan.
Sebagai seorang jurufoto, apakah caranya untuk memastikan penghasilan imej yang ‘hebat’ dengan hanya subjek yang dinyatakan di atas? Perlu untuk diingatkan, dalam merakam setiap gambar potret, beberapa elemen-elemen penting harus diambil kira. Hal ini kerana, elemen-elemen inilah yang akan menjadikan setiap potret yang dirakam mempunyai karakter, cerita, dan kekuatannya yang tersendiri. senang untuk dikatakan, objektif dalam merakam setiap potret wajah seseorang adalah bukan hanya pada faktor pemakaian yang menarik, solekan yang cantik, ataupun penggayaannya dalam memperagakan kecantikan wajahnya. Potret adalah lebih daripada itu. Potret adalah merakam ‘jiwa’ seseorang.

Berbalik kepada elemen-elemen yang saya katakan di atas, elemen pertama yang perlu ada dalam proses merakam potret seseorang adalah ‘percaya’ atau kepercayaan. Kepercayaan yang diberikan subjek kepada jurugambar. Hal ini kerana, untuk menghasilkan sesebuah potret yang mempunyai karakter, cerita, dan kekuatannya yang tersendiri seperti yang tersebut di atas, jurufoto haruslah mempunyai akses terhadap subjek itu sendiri menerusi kepercayaaan yang diberi. Apabila jurufoto telah mendapat kepercayaan tersebut, subjek akan mula berkomunikasi secara telus tanpa ragu-ragu melalui lenggok bahasa tubuh subjek.
Oleh kerana majoriti subjek bukan daripada kalangan model profesional, maka subjek memerlukan keyakinan diri yang tinggi serta perlu mempercayai setiap arahan yang datang daripada jurufoto yang terlibat. Apabila hubungan kepercayaan ini telah wujud di antara jurufoto dan subjek, subjek akan mengikut arahan serta membuka pintu seterusnya untuk beraksi tanpa sebarang kawalan. Saat itulah seorang jurufoto potret harus tahu jangka waktu tepat butang pengatup perlu ditekan dalam merakam personality dan jiwa subjek itu. Seorang jurufoto potret akan tahu apabila dia sedang berkomunikasi dengan subjeknya dan menggunakan kepercayaan yang diperoleh untuk ‘mengeluarkan’ tenaga subjeknya dalam menghasilkan gambar yang penuh tenaga serta berkarakter.
Dapatkan kepercayaan sepenuhnya daripada subjek anda, dan yakinlah akan terhasil satu potret hebat yang mempunyai ‘jiwa’.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 23 (Feb/Mac 2015)
