Teks & Foto: Dr Sharkawi Che Din

Putrajaya bukan sahaja sebagai tempat pentadbiran utama kerajaan malah di sini juga merupakan lokasi yang menyaksikan pelbagai acara tahunan yang tidak diajurkan di lokasi-lokasi lain di Malaysia. Antara acara yang menjadi tumpuan pengunjung pada saban tahun adalah Pesta Belon Udara Panas Dunia, Pesta Flora, Pertunjukan Bot Berhias (Magic of the Night), Pertandingan Bot Naga, Pertandingan Sukan Air dan beberapa acara bertaraf dunia lain yang baharu dan akan diperkenalkan dari masa ke semasa. Yang terkini adalah acara RedBull Air Race yang memperlihatkan sejumlah pesawat ringan yang memenuhi ruang udara Putrajaya.

Sebagai jurugambar terutamanya jurugambar pelancongan, acara-acara ini perlu dirakamkan supaya hasil rakaman itu menjadi rujukan untuk generasi akan datang. Untuk menghasilkan gambar-gambar yang sarat dengan maklumat maka rakaman perlu dilakukan dengan mengambil kira aspek-aspek penataan seni dan disulami dengan kekuatan teknikal yang mantap. Contohnya, gambar kapal terbang yang melalui mercu tanda Putrajaya adalah lebih ‘kuat’ berbanding dengan gambar jarak dekat yang hanya memperlihatkan pesawat bersama-sama kepulan awan. Ini kerana gambar yang kedua tidak menghidangkan kepada penonton dengan maklumat lokasi yang penting sebagai pelangkap kepada cerita sebuah gambar tersebut.
Teknik seperti tolehan atau ‘panning’ boleh digunakan untuk menghasilkan kesan dinamik pada komposisi gambar. Namun begitu ia perlulah dihasilkan dengan berhati-hati supaya maklumat (seperti objek mercu tanda) masih dapat dikenal pasti. Ini dapat dilakukan dengan mengawal kelajuan pengatup yang sesuai dengan kelajuan objek utama.
Ringkasnya, gambar-gambar pelancongan yang baik akan berupaya menarik minat orang untuk berkunjung ke lokasi yang digambarkan dalam sesebuah foto. Sehubungan dengan ini kita perlulah sentiasa peka dengan setiap elemen yang wujud di dalam komposisi yang dirakam.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 20 (Ogos/Sept 2014)
