Teks: Hakimi bin Halim
Dengan mengenal pasti setiap objek dan subjek pada gambar itu membolehkan pengkritik memahami naratif awal dalam memahami sesuatu karya
Pada keluaran yang lepas, telah diceritakan berkenaan pencarian sumber dalam penghuraian gambar. Contoh penghuraian gambar secara kasarnya juga telah diceritakan dengan ringkas di mana penulis telah menerangkan berkenaan Douglas Davis (1985), seorang pengkritik seni dalam menerangkan The American West oleh Richard Avedon. Persepsi-persepsi awal dan sikap biasa manusia dalam menghakimi karya dengan bergantung kepada tangapan pertama juga telah diceritakan.
Pada keluaran ini, penulis akan melanjutkan perbincangan berkenaan aspek penghuraian dengan lebih lanjut lagi. Terdapat beberapa aspek yang boleh menjadi panduan dalam kita menghurai gambar. Aspek atau elemen biasa yang dihurai oleh pengkritik dan ilmuan seni visual adalah :
1. Menghurai Benda Hal (Subject Matter)
2. Menghurai Bentuk (Form)
3. Menghurai Medium (Medium)
4. Menghurai Gaya (Style)
Untuk keluaran ini saya akan menceritakan berkenaan penghuraian dari aspek hal benda atau ‘subject matter’. Kedua-dua perkara ini merupakan perkara umum dalam menghuraikan gambar. Di universiti, dalam pernilaian projek dan tugasan, pensyarah selalunya akan bertanya, ‘kenapa awak guna subject matter ini? Pelajar kebanyakan tidak faham berkenaan dengan hal benda. Kebanyakan pelajar jika faham pun pemahaman berkenaan hal benda terlalu cetek. Jadi, sebagai pencerahan, apakah itu hal benda?
Menghurai Hal Benda
Pernyataan bersifat diskriptif selalunya berkisar mengenai pengenalpastian dan memberi penerangan terhadap orang atau model, objek dan peristiwa di dalam sesebuah gambar (Barret, 2005 : 20). Daripada pendapat ini, dalam aktiviti menghurai hal benda, semua persoalan perlu dijawab dalam membaca sekeping gambar supaya naratif penceritaan dalam karya tersebut dapat diteka dengan baik. Mengenal pasti setiap objek dan subjek dalam karya adalah satu cara yang berkesan bagi seorang pengkritik atau penulis mencari petunjuk-petunjuk tertentu dalam memahami gambar.
Sebagai contoh, karya Dr. Wei Seng Chen, Pemenang World Press Photo Kategori Sport Action, First Prize Single menunjukkan perlumbaan ‘Pacu Jawi’. Perlumbaan ini adalah perlumbaan tradisional di Sumatera yang telah berusia 400 tahun di mana seorang pemacu akan memacu dua ekor kerbau dengan menggunakan pemijak kayu sebagai tempat berdiri. Pemacu akan menarik ekor dua kerbau tersebut dan memastikan kerbau – kerbau tersebut akan dipacu dalam keadaan melurus ke garisan penamat.
Dengan melihat gambar tersebut, kita akan dapat mengenalpasti hal benda yang ada dalam setiap gambar yang dihasilkan oleh Dr. Wei Seng Chen. Perhatikan betul-betul, berapa banyak persoalan objek dan subjek yang terdapat dalam gambar tersebut yang boleh dihurai? Jika dilihat dari aspek luaran. Apa yang kita dapat lihat secara permukaan ialah seorang lelaki, dengan dua ekor kerbau berwarna putih dan bewarna coklat. Jika tanpa penerangan yang diberikan, mungkin kita tidak perasan bahawa kelihatan tangan lelaki tersebut menarik ekor kedua-dua ekor kerbau tersebut. Kelihatan juga lumpur yang terpercik dengan banyaknya sehingga menenggelamkan separuh badan pemacu tersebut. Aspek huraian itu adalah berkenaan objek dan model. Aspek lain yang dapat juga dikenal pasti adalah peristiwa. Maka, setelah diteliti, ini adalah upacara tahunan bagi masyarakat di Sumatera Barat setelah habis musim menuai. Ini merupakan satu pesta wajib setiap kali selesai musim menuai. Perlumbaan Pacu Jawi ini juga diadakan secara tradisi pada setiap tahun.
Maka, dengan mengenal pasti setiap objek dan subjek pada gambar itu membolehkan pengkritik memahami naratif awal dalam memahami sesuatu karya. Petunjuk-petunjuk dan gambaran awal telah mula berada dalam fikiran penulis untuk terus merungkai setiap perkara yang wujud dalam gambar. Sebagai penulis saya mengkategorikan hal benda ini kepada beberapa bahagian supaya mudah saya kenalpasti dan menghuraikan satu persatu.
1. Aspek Objek dan Subjek (Semua perkara yang kita nampak dalam gambar)
2. Aspek Peristiwa (Apakah peristiwa itu)
3.Aspek Sejarah (Sejarah yang berpanjangan terhadap peristiwa itu)
4. Aspek Sosiologi (Kajian sosial, fenomenologi dan ethnografi terhadap subjek dan objek)
5. Aspek Budaya (Aspek budaya setempat yang dipegang dan menjadi adat yang tersemat kemas)
Ini beberapa kategori yang kita boleh pecahkan. Pengkritik-pengkritik dan sarjana-sarjana barat selalunya akan mengkategorikan beberapa hal benda dalam penghuraian terhadap gambar. Ini selalu dilakukan oleh Davis, Wilson, Weily, dan Bolton sebelum mereka membuat rumusan terhadap gambar tersebut.
Dalam kajian dan pemerhatian saya terhadap karya Seng Chen, 5 aspek yang dikategorikan boleh diperkembangkan lagi kepada sub-sub kecil untuk menambah maklumat dalam penghuraian gambar. Jika kita perhatikan sekali lagi, pertama sekali, kita bercerita berkenaan permukaan gambar iaitu apa yang kita nampak secara lahiriah. Dengan dibantu kapsyen gambar, kita dapat tahu cerita kasar tentang gambar tersebut. Kemudian kita mula mengaitkan setiap objek dan subjek dengan aspek nilai yang dibawa oleh objek dan subjek tersebut. Kita di akhirnya akan mengaitkannya dengan peristiwa, sejarah, budaya, sosial, ethnografi, fenomenologi dan sebagainya. Kemudian kita akan bercerita dan mencari fakta yang kuat dan dominan untuk merumuskan gambar tersebut.
Daripada ini, tidak hairanlah seseorang penulis dan pengkritik profesional boleh bercerita berjam-jam dalam menghurai sekeping gambar. Pada kita, itu adalah pelik tetapi tidak pada mereka. Jika kita tidak cuba memahami, kita akan menganggap, gambar hanyalah sekeping gambar dan selama-lamanya sekadar gambar. Melihat sekeping gambar dalam tempoh 5 saat mungkin sudah cukup bagi ramai orang. Tetapi apabila kita mengkaji dengan mendalam, gambar adalah segala-galanya dan apa-apa yang dibawa oleh sekeping gambar sebenarnya mempunyai faktor impak yang tersediri.
Bahagian seterusnya, kita akan berkenal-kenalan dengan cara menghurai bentuk (form). Nantikan pada keluaran mendatang.
JOY AT THE END OF THE RUN, 12 February 2012, West Sumatra, Indonesia oleh Dr Wei Seng Chen. (Diperoleh pada 22 Mei 2013 di http://www.worldpressphoto.org/awards/2013/sports-action/wei-seng-chen)
Rujukan
Barret. T, “Criticizing Photograph: An Introduction to Understand Images” Ohio: The Ohio State University, (Mayfield Publishing Company California: Third Edition, 2000)
Foto hiasan oleh: Dr. Wei Seng Chen, Pemenang World Press Photo Kategori Sport Action
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 13 (Jun/Julai 2013)
