Menghargai keindahan ciptaan Ilahi – Ali Shamsul Bahar

19/10/2017 | miza

Temuramah: Miza            Foto: Ali Shamsul Bahar

 

DSC_0221_b

 

Secara ringkasnya, saya dilahirkan di Kuantan, Pahang Darul Makmur. Sudah berkeluarga dan bekerja sendiri di bidang Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSH).

Saya seorang yang “simple”. Suka menikmati hasil seni, khususnya seni visual samada lukisan mahupun senifoto. Sekiranya ke Kuala Lumpur, saya akan singgah di Balai Seni Visual Negara untuk menikmati karya-karya hebat yang dipamerkan di sana. Di Kuantan, saya menyertai kumpulan pelukis “Rajawali” yang diketuai oleh pelukis tersohor yang juga sahabat karib saya saudara Abdullah Jones. Mereka ada galeri dan aktif berkarya.

 

Bilakah saudara mula menceburi dalam bidang ini dan kenapa?
Saya meminati fotografi sejak dari sekolah rendah tetapi mula memiliki kamera semasa di tingkatan 1 kira-kira pertengahan 1982. Mula menggunakan kamera SLR semasa di tingkatan 2. Semenjak itu fotografi telah menjadi hobi saya yang serius kerana saya boleh merakamkan keindahan alam ciptaan Allah SWT dan dengan perantaraan foto, saya boleh kongsikan keindahan tersebut dengan orang lain.

Sekarang fotografi juga telah menjadi satu cabang dari asbab pendapatan saya. Alhamdulillah ada sahaja tugasan fotografi alam yang saya lakukan, kebanyakkannya untuk agensi kerajaan dan juga pihak NGO.

DSC_9051_b
Three Layer Waterfall, Jiuzhaigou, Sichuan, China

Apakah genre fotografi yang saudara gemari dan apakah yang membuatkan saudara begitu meminatinya?
Saya sangat menggemari fotografi alam (nature), samaada landskap mahupun fotografi makro. Saya juga gemar mempelbagaikan karya foto-foto alam melalui fotografi infrared (IR).

Seperti yang telah saya nyatakan tadi, fotografi alam akan dapat merakamkan keindahan alam ciptaan Allah SWT daripada keindahan pemandangan di pergunungan, gua, air terjun, jeram, sungai hinggalah ke lautan yang luas terbentang. Keindahan flora dan fauna yang mengagumkan. Di samping menikmati segala keindahan tersebut kita dapat merakamkannya dan mendekatkan diri kepada pencipta alam semesta ini.

Adakah saudara merakam genre fotografi yang lain selain fotografi alam semulajadi?
Oleh kerana untuk merakamkan foto-foto alam memerlukan saya mengembara ke banyak tempat samada di dalam mahupun keluar negara, maka secara tidak langsung saya meminati genre fotografi kembara (travel photography) termasuk foto jalanan (street) mahupun foto-foto kemanusiaan (human interest).

Saya juga meminati genre fotografi sukan. Minat ini wujud secara tidak langsung kerana minat saya pada bolasepak di samping menjadi salah seorang “admin” TOKGAJAH.COM. Saya juga minat merakam sukan berbasikal kerana sahabat baik saya seorang pengayuh basikal yang serius. Beliau mengasaskan acara kayuhan “KUANTAN160”. Saya juga berpeluang untuk merakamkan acara kayuhan yang beliau anjurkan. Atas sebab tugasan, saya juga merakam sukan drag, drift dan motocross.

 

Manakah hasil karya saudara yang digemari dan kenapa?
Sukar untuk menjawab soalan ini, kerana setiap karya mempunyai keistimewaan tersendiri. Biasanya dari suatu kembara foto ada beberapa foto yang menjadi kegemaran saya dan setiap siri kembara foto itu ada kelainan di antara satu sama lain.

DSC_1368_b
Bandar Kuantan di kala fajar menyingkap tabir siang

Adakah saudara pernah mengalami pengalaman yang saudara tidak dapat lupakan samada menarik atau berbahaya ketika di tempat kerja?
Sewaktu kembara foto, ada banyak pengalaman menarik dan juga berbahaya. Ianya berbeza di antara satu lokasi dengan lokasi yang lain.

Contohnya sewaktu pertama kali mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia pada 2009. Gunung Baru Jari sedang meletus. Waktu mendaki ke Pelawangan Senaru, jelas kedengaran letupan yang berterusan gegak gempita membuatkan kita rasa takut dan mendebarkan. Apabila sampai di Pelawangan (crater rim), gunung yang meletup itu rupanya jauh di hujung Tasik Segara Anak tidak henti-henti memuntahkan laharnya. Peluang merakamkan gunung berapi meletup memuntahkan lahar memang tidak akan dilupakan.

Terbaru, saya mengalami batuk teruk kerana terhidu asap sulfur sewaktu merakamkan api biru di dalam Kawah Ijen. Alhamdulillah, sekarang sudah sihat.

Untuk mendapatkan foto-foto alam yang menarik, kita memang tidak boleh mengelak untuk tidak mendaki gunung, masuk keluar hutan, menyusuri sungai dan jeram, masuk gua beraneka rupa bahkan mengharungi laut bergelora. Paling penting kita mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya dan bertawakkal kepada Allah SWT.

Kenapakah saudara memilih bidang fotografi sebagai medium untuk menyampaikan perhubungan?
Kita biasa dengar “A picture is worth a thousand words”. Dengan sekeping foto kita boleh sampaikan bermacam mesej kepada orang ramai yang melihat foto tersebut.

Ada sesiapakah jurugambar profesional yang menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan karya saudara?
Ada ramai, kebanyakannya adalah “photojournalist” tetapi saya suka melihat dan mempelajari foto-foto yang mereka hasilkan, antaranya ialah Steve Mc Curry, John Stanmeyer, Ami Vitale, Peter Sanders, Eric Lafforgue, Anthony Spencer, Ben Heine dan ramai lagi.

Setiap hari saya meluangkan masa untuk melihat foto-foto alam yang menarik di flickr, 500px dan juga dari FB teman-teman pemfoto alam. Dari situ kita akan terus mendapat inspirasi untuk terus berkarya.

DSC_9084
Bukit Charah – Pemandangan pagi yang berkabus dari atas Bukit Panorama, Sg Lembing, Kuantan, Pahang

Manakah tempat atau subjek yang menjadi kegemaran saudara untuk merakam dan kenapa?
Sukar untuk menjawab soalan ini kerana setiap tempat mempunyai keistimewaan tersendiri dan saya mengemari setiap tempat yang saya lawati, bahkan saya akan kembali ke tempat-tempat tersebut lagi dan lagi. Ini kerana setiap kali kita ke sesuatu tempat, karya yang terhasil tidak sama, sentiasa ada kelainan dan perkara baharu yang akan kita hasilkan di setiap tempat tersebut.

Tidak ada masalah untuk mengulangi lokasi-lokasi di dalam negara untuk berkarya samada di pantai, hutan atau gunung kerana kosnya tidaklah semahal jika dibanding dengan luar negara dan tempoh kembara tidaklah memakan masa yang lama.

Secara umum saya amat menggemari pemandangan daripada atas gunung. Sukar untuk menggambarkan perasaan dan kenikmatan di puncak gunung, apatah lagi di puncak gunung berapi yang mengeluarkan asap. Ada pergunungan yang telah 3 kali atau lebih saya kunjungi dan daki bersama-sama teman jurufoto lain, antaranya Gunung Rinjani, Gunung Bromo, Gunung Merapi, Gunung Merbabu, Gunung Ijen dan insyallah tahun depan saya akan mengulangi pendakian Gunung Salji (Xue Shan) di Taiwan.

Bagi fotografi makro pula, subjek kegemaran saya ialah daun. Setiap tempat atau gunung punya daun yang berlainan. Paling saya gemari ialah merakamkan pencahayaan belakang atau “backlight” pada daun.

Apakah yang saudara dapat pelajari daripada subjek-subjek sebegini?
Ada banyak perkara, antaranya ialah betapa pentingnya menghargai, menyayangi dan memelihara alam sekitar anugerah ilahi ini.

 

Selain dijadikan sebagai hobi atau kerjaya, apakah maksud fotografi pada saudara?
Fotografi mempunyai impak visual yang boleh mendidik manusia agar menghargai, menyayangi dan memelihara alam. Fotografi juga boleh membawa manusia dekat kepada Allah SWT yang Maha Mencipta lagi Maha Memelihara.

DSC_1526_b
Erupted Mount Baru Jari, Rinjani, Lombok, Indonesia

Apakah nasihat yang saudara ingin sampaikan kepada jurugambar yang baru berjinak-jinak dalam bidang fotografi?
Kepada jurufoto yang baru berjinak-jinak di dalam bidang fotografi janganlah segan untuk bertanya kepada jurugambar yang telah lama menceburi bidang ini. Carilah rakan jurufoto yang sesuai dengan anda dan teruskan mendalami bidang ini di samping mengikuti bengkel atau kursus-kursus fotografi. Terus menghasilkan karya-karya yang luarbiasa. Satu lagi, sekarang ini ada banyak kumpulan fotografi di dalam Facebook. Pesanan saya ialah janganlah terlalu “taksub” atau fanatik kepada sesebuah kumpulan sahaja, bukalah minda dan sertailah sebanyak mungkin kumpulan fotografi yang sesuai agar dapat memberi lebih manfaat kepada kita.

Elakkan “budaya mendewa-dewakan” jurufoto yang anda kagumi. Kita boleh belajar dan menjadikan seseorang jurufoto itu sebagai rujukan dan sumber, tetapi jangan sampai “mendewa-dewakan” seseorang jurufoto. Ingatlah bahawa jurufoto tersebut adalah manusia yang diciptakan oleh Allah SWT, maka kagumi dan agungkanlah Allah SWT yang Maha Mencipta lagi Maha Berkuasa. Kepada jurufoto-jurufoto yang mempunyai ramai pengikut atau “followers” jangan sesekali lupa diri atau meninggi diri, carilah jurufoto yang lebih hebat di luar sana untuk anda memantapkan lagi karya anda, takutilah Allah SWT kerana suatu hari nanti kita akan kembali kepadaNYA yang maha esa.

Akhir kata, kepada pembaca yang telah menceburkan diri dalam genre fotografi alam, teruskan berkarya dan kongsikan karya anda dengan cara menyertai pameran fotografi atau memuat naik foto-foto anda di internet. Teruskan berkarya dengan ikhlas dan istiqamah sehingga anda mendapat sentuhan tersendiri atau “signature” pada karya-karya anda.

 

www.2121studio.com
www.flickr.com/photos/2121studio
500px.com/2121studio

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 20 (Ogos/ Sept 2014)

fg-20-cover_m