Teks & Foto: Shuhada Hasim

Misi untuk merakam potret wanita berketurunan Afrika telah membawa kepada perkenalan saya dengan wanita hebat bernama Rhonda. Beliau adalah warga Amerika berketurunan Afrika, atau lebih dikenali sebagai African-American. Saya telah diberitahu yang beliau mempunyai koleksi pakaian wanita Afrika dan lengkap dengan pelbagai hiasan kepala! Maklumat itu sudah cukup membuat saya teruja.

Sewaktu sesi memilih pakaian, saya berkesempatan untuk bertanya serba sedikit mengenai koleksi pakaian yang pastinya jarang-jarang wanita lain memilikinya. Rhonda sangat bangga dengan koleksi pakaian wanita Afrika yang dimilikinya. Menurut beliau, walaupun beliau warga Amerika, tetapi beliau sangat menghargai sejarah keluarganya yang datang dari Afrika. Lebih-lebih lagi, suaminya adalah berbangsa Afrika sendiri. Dengan rasa penuh bangga akan sejarah asal usul dirinya dan suaminya, Rhonda mengambil inisiatif untuk mula mengumpul koleksi pakaian wanita Afrika. Dalam dirinya, beliau amat bangga setiap kali dapat mengenakan pakaian yang melambangkan keturunan dan asal usul keluarganya.

Bukan setiap hari wanita seperti Rhonda akan mengenakan pakaian yang melambangkan asal usulnya. Hanya, melalui potret, Rhonda dapat meluahkan apa-apa yang dirasai dalam dirinya, dan berbagai gaya wajah yang dirakamkan akan menjadi bahan rujukan generasi akan datang untuk terus mengingati dan menghargai sejarah diri mereka.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 22 (Dis 2014/Jan 2015)
