Teks & Foto: Dome

Negara kita cukup bertuah kerana mempunyai penduduk pribumi yang terdiri daripada 18 suku kaum diserata semenanjung Malaysia dan berpuluh lagi suku kaum di Sabah dan Sarawak. Bagi saya mereka adalah sangat istimewa dengan keadaan kehidupan serta rupa paras yang menyimpan pelbagai cerita. Walaupun kebanyakanya sudah menerima modenisasi tetapi masih terdapat sebahagian daripada mereka yang masih mengekalkan kehidupan tradisi, hutan masih lagi syurga bagi mereka sebagai tempat berteduh serta mencari rezeki.

Saya mula melibatkan diri untuk merakam kehidupan orang asli pada tahun 2009 selepas mendapat ransangan daripada salah seorang pelukis tersohor tanah air iaitu Pak Jaafar Taib, melalui karya-karya beliau yang menjadikan portrait serta kehidupan orang asli di hutan Belum subjek utama melalui medium lukisan. Kemudian melalui sahabat saya kartunis Ujang, yang menyarankan saya untuk pergi ke Kuala Koh, Kelantan kerana disana terdapat satu perkampungan orang asli dari suku Bateq. Bermula daripada saat itu sehingga ke hari ini saya masih lagi keluar masuk Kuala Koh untuk merakam foto-foto kaum Bateq.Pelbagai pengalaman telahsaya kutip sepanjang 4 tahun bersama-sama mereka. Merakam kelahiran, kematian serta bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian adalah sesuatu yang paling indah dan berharga.

Tidak dinafikan bukan sesuatu yang mudah untuk merakam foto-foto mereka kerana sifat pemalu terhadap orang asing yang masih lagi tebal. Seseorang jurugambar juga perlu melakukan kajian serta mempunyai pengetahuan tentang mereka terutamanya dari segi adab serta pantang larang sesuatu kaum orang asli itu. Kebiasaannya syarat paling asas yang wajib anda patuhi sebelum merakam gambar adalah berjumpa dengan ketua atau tok batin untuk meminta keizinan. Di sini memerlukan kebijaksaan budi bicara dan tidak kurang juga psikologi tertentu. Membawa rokok atau pun tembakau untuk di hadiahkan kepada tok batin adalah salah satu perkara biasa yang dilakukan sebagai tanda persahabatan. Akan tetapi di kebanyakan perkampungan orang asli yang sudah biasa menerima pelancong, mereka akan meminta bayaran untuk anda merakam foto-foto mereka.

Menyentuh soal pantang larang pula, daripada pengalaman saya, mereka tidak suka foto mereka dirakam jika mereka sedang sakit, malah ada juga yang melarang untuk merakam foto bayi kerana pada pendapat mereka itu akan mengangu roh bayi terbabit dan bayi tersebut akan mengigau ketika sedang tidur. Sesetengah daripada mereka terutama dari golongan tua juga ada yang beranggapan jika foto mereka atau anak-anak mereka dirakam, ini akan membawa kepada nasib kurang baik malah boleh menyebabkan kematian.Di sinilah seseorang jurugambar perlu menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang ada untuk berkomukasi dengan mereka secara berkesan.

Boleh saya katakan tidak ramai sebenarnya jurugambar yang cukup berdedikasi dalam merakam kehidupan orang asli kerana subjek ini memerlukan masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit, tambahan pula orang asli bukanlah subjek popular seperti model-model cantik jelita, namun adalah difahami bahawa kepuasan setiap orang jurugambar itu berbeda-beda.
Suka saya sebut kata-kata ini, “jangan anda tersesat atau hilang arah didalam dunia fotografi disaat semua orang yang memiliki kamera mengelarkan diri mereka sebagai jurugambar”.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 06 (Apr/Mei 2012)
