“Memilih Jalan Yang Betul” – Che’ Ahmad Azhar

16/10/2017 | miza

Temuramah: Ashraf Saharudin          Foto: Che’ Ahmad Azhar

 

CheAhmad

 

Perkongsian pandangan jurugambar dokumentari jalanan, Che Ahmad Azhar.

Terkenal dengan projek ‘Walk of Life’, baru-baru ini Che Ahmad Azhar atau lebih dikenali panggilan Che Mad telah tersenarai di dalam 30 jurugambar paling berpengaruh di benua Asia oleh Invincible Photographer Asia (IPA) di samping nama-nama besar lain seperti Rinko Kawauchi(Jepun), Daido Moriyama(Jepun), Dayanita Singh(India), Rongrong&Inri(China), Raghubir Singh(India), Pablo Bartholomew(India), Hiroshi Sugitomo(Jepun), Shahidul Alam(Bangladesh), Chien-Chi Chang(Taiwan), Tay Kay Chin(Singapura), Nick Ut(Vietnam),Ho Fan(Hong kong) Oscar Motuloh(Indonesia) dan banyak lagi. Biar sehebat manapun nama, Pensyarah Fakulti Multimedia, Universiti Multimedia, Cyberjaya ini tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu dan pandangan mengenai bidang fotografi.
Karya beliau lebih daripada sekadar koleksi imej-imej foto yang hebat, ‘Walk of Life’ merupakan salah satu sumber rujukan sejarah corak kehidupan masyarakat ibukota Kuala Lumpur yang dirakam dalam suatu siri imej intim pernah dilihat di antara Si Perakam dan yang dirakam.
Dalam kesibukan jadual harian sebagai seorang pensyarah, Fotografika sempat mencuri masa beliau untuk ditemubual dan mendapatkan serba sedikit pandangan daripada beliau untuk dikongsikan di ruangan Inspirasi Fotografika kali ini.

 

cm_kl_20100626

 

Melihat cara Che Ahmad membina nama sebagai seorang jurugambar, adalah perjalanan itu dirancang atau hadir satu persatu merentas masa?
Pada awalnya tidak, saya lebih kepada melakukannya sebagai sesuatu yang peribadi, tiada sebarang matlamat selain daripada mendokumentasi. Di pertengahan jalan setelah hampir dua hingga tiga tahun saya merakam, saya mula melihat pembentukan halatuju siri imej yang sedang saya lakukan ketika itu. Kemudian setelah lebih empat tahun, baru saya mempamerkan karya saya kepada individu-individu tertentu dan umum. Pada saya adalah penting pemilihan platform untuk berkongsi karya atau mempamerkan sesebuah karya. Di peringkat ini kita memerlukan dua atau lebih pandangan terhadap karya kita atas sebab-sebab tertentu seperti faktor pengalaman dan pengetahuan individu yang dirujuk. Berdasarkan pandangan-pandangan ini, kita dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan.

Sangat penting untuk kita memaparkan koleksi karya kita pada individu yang betul kerana itu bakal menentukan halatuju kita yang seterusnya. Pamerkan pada individu yang betul ini menyumbang kepada maklum balas dan panduan yang berguna untuk kita terus maju. Individu yang saya maksudkan adalah rujukan yang kuat. Kita boleh bermula dengan rakan yang kita percaya mampu memberikan maklum balas dengan baik, maklum balas yang baik tidak semestinya bermaksud puji-pujian, tetapi komen atau input yang bermanfaat dan membina akan karya yang dipertontonkan. Selain rakan-rakan, sudah tentu mereka yang benar-benar memiliki kredabiliti atau latar belakang yang betul dengan arah tuju yang sebenar. Apapun pandangan yang diberikan, keputusan tetap di tangan kita tetapi haruslah bersandarkan pada pendapat dan fakta yang bernas.

Sejauh mana sistem pendidikan dan bengkel-bengkel fotografi dapat membantu dalam pembinaan kerjaya atau karya seseorang individu jurugambar?
Saluran atau platform pembelajaran di Malaysia banyak berkisar soal teknikal dan kurang seimbang dalam pembentukan seseorang jurugambar yang bertaraf antarabangsa yang berfikir secara global. Kita melanjutkan pelajaran ke universiti dan kolej kebanyakannya adalah kerana asas atau fundamental tadi, selebihnya adalah bergantung kepada inisiatif diri sendiri. Jika dilihat pula latar belakang mereka yang berjaya dalam kejaya sebagai jurugambar, tidak semestinya seseorang itu perlu hadir dari latar belakang fotografi semata-mata. Mengambil contoh Sebastião Salgado, beliau berlatar belakangkan pendidikan ekonomi daripada Universiti Sao Paolo Brazil, menjadikan beliau berjaya dengan karya-karya beliau yang berkisar soal situasi ekonomi dunia. Beliau arif akan subjek dan idea yang cuba disampaikan, cuma beliau memilih fotografi sebagai medium penyampaian. Itu menjadikan karyanya kuat dari sudut pengisian selain bahasa visual yang memainkan peranan mengadunkan penceritaan yang ada di dalam sesebuah karya imej.

cm_kl_20101016

Di bengkel-bengkel fotografi bertaraf tinggi pula tidak diajar sudut teknikal, jangan tersilap. Menyertai bengkel-bengkel besar bukan untuk kita belajar soal teknikal fotografi. Kita menghadirkan diri ke festival-festival foto bukan untuk belajar, tetapi untuk dijadikan sebagai inspirasi. Kita kena faham soal itu, untuk sesebuah bengkel yang berjalan selama tiga ke empat hari, tidak banyak yang kita belajar berkenaan fotografi, tetapi berada di sana berdepan dengan mereka yang sudah diiktiraf dunia, tenaga pengajar yang sudah berada di tahap yang tinggi, kita sebenarnya lebih kepada mendapatkan inspirasi daripada maklum balas dua hala daripada perkongsian mereka. Saya pernah menghadiri bengkel fotografi oleh Alex Webb, bukan untuk saya belajar fotografi, tetapi lebih kepada mendapatkan inspirasi dan ilham daripada perkongsian dua hala yang berlaku. Saya ke festival fotografi di Angkor bukan untuk belajar, tetapi untuk mendapatkan inspirasi dan ilham daripada perkongsian yang hadir dari segenap kelompok dunia.

Pemilihan bengkel fotografi harus tepat dalam membina diri kita sebagai jurugambar. Bengkel fotografi teknikal sememangnya terkenal di negara ini dan cerita teknikal ini tidak pernah habis. Dengan teknikal, tahap pemikiran kita akan terbatas tanpa penyudah, sesuatu yang terlalu cetek. Jika kita memerlukan bengkel teknikal sebagai permulaan, silakan dan selepas itu kita harus bergerak ke arah sesuatu yang lebih penting dalam pembinaan kerjaya atau peribadi kita sebagai jurugambar yang matang dan berkebolehan. Bengkel-bengkel yang membuka pemikiran kita terhadap aspek-aspek penting seperti suntingan gambar (bukan proses suntingan perisian ‘Photoshop’), kaedah-kaedah membina seni dalam melihat, merangka penceritaan dalam imej seperti beberapa bengkel-bengkel yang dijalankan di Penang oleh Zhung Wubin dan juga festival seperti Obscura Festival. Mengajar soal teknikal boleh dilakukan dalam beberapa minit, tetapi mengajar untuk membina seorang jurugambar yang hebat memakan masa bertahun lamanya.

Mengambil contoh bengkel fotografi seperti bengkel di Obscura Festival dimana ramai jurugambar-jurugambar antarabangsa hadir untuk turut serta. Bukan soal kita membanggakan jurugambar-jurugambar antarabangsa, tetapi lebih kepada mempelajari daripada perkongsian yang mereka bawa untuk melangkau lebih jauh seperti yang telah mereka buktikan. Mereka diiktiraf dengan pencapaian mereka kerana kita masih kekurangan soal itu. Maka kita perlu garap peluang yang ada untuk turut maju keperingkat yang lebih tinggi. Mungkin dilihat kos perbelanjaan untuk bengkel-bengkel antarabangsa ini agak mahal, tetapi berbaloi. Dan masih murah jika dibanding dengan bengkel-bengkel yang diadakan di Eropah atau Amerika Syarikat.

Selain pendidikan
Pendedahan yang betul dan kesungguhan. Selain daripada mendapat manfaat-manfaat daripada bengkel-bengkel fotografi yang disebutkan, di bengkel-bengkel inilah sebenarnya kita dapat pendedahan yang meluas, mengenali lebih ramai individu-individu daripada pelbagai sudut dunia dengan latar belakang berbeza. Mempelajari dan berkongsi selain dijadikan pendorong dengan sokongan-sokongan yang diberikan untuk kita bergerak maju ke hadapan.
Daripada apa-apa yang kita ada sekarang, sangat sedikit saya lihat jurugambar yang betul-betul melakukan atau berkarya secara serius, selebihnya banyak kepada sekadar mengikut-ikut. Mungkin dalam masa lima tahun, akan ada peningkatan, untuk itu kita haruslah ada pendedahan yang betul bersama-sama matlamat dan arah tuju yang betul.

cm_kl_20101113b

Kesungguhan yang persisten dalam berkarya itu sangat penting. Sepanjang pengalaman dan pengamatan saya ketika saya di festival fotografi di festival-festival fotografi dimana bengkel-bengkel fotografi dijalankan, satu perkara yang dapat dilihat adalah kesungguhan, itu jarang ada pada jurugambar kita. Bukan tiada, tetapi tidak ramai.

Di Malaysia banyak perkara penting yang boleh digunakan sebagai subjek, samada politik, isu ekonomi, landskap sosial dan banyak lagi jika diteroka sebagai topik atau subjek fotografi yang bernilai. Cuba untuk berfikir secara global dan rakam secara lokal. Selain daripada itu, banyak di antara jurugambar-jurugambar kita bermasalah dari sudut asas fundamental. Kita boleh mencari dan membaca, tetapi jika tidak betul-betul memahami asas bahasa visual, kita tidak dapat menzahirkannya di dalam penyampaian visual kita. Kita perlu faham asas fotografi sebagai permulaan, susur galur pecahan fotografi yang ada. Kita perlu faham sesuatu visual berdasarkan asas yang kukuh. Pemahaman sejarah itu sendiri penting, pemahaman sosio budaya itu penting, memahami situasi dunia semasa itu penting dan bukan sekadar terjumud dalam satu kelompok kecil terbatas tanpa arah.

Harus difahami bahawa contoh-contoh yang saya berikan adalah berdasarkan genre yang saya berada sekarang ini iaitu kewartawanan foto dokumentari. Mungkin konsep yang sama boleh diterapkan kepada genre-genre fotografi lain jika bersesuaian. Kita harus mengenali individu yang bakal mengajar kita, kenali portfolio mereka dan kenal pasti pilihan-pilihan lain yang ada bagi genre yang dimaksudkan. Selain itu kita juga boleh menggunakan konsep mentor jika ada rakan atau kenalan kita yang dilihat sudah pergi jauh dalam bidang ini. Mentor yang dimaksudkan di sini adalah mentor yang boleh membimbing kita dalam apa-apa yang kita hendak lakukan dan bukannya mentor yang membuatkan kita untuk ikut apa-apa yang mereka sedang lakukan.

Komuniti fotografi
Kebanyakan yang saya perhatikan, mereka yang berjaya dengan karya dan kerjaya sebagai jurugambar, mereka sememangnya bergerak secara individu. Mereka bergerak dengan inisiatif mereka tersendiri dan seni itu sendiri bersifat peribadi. Segalanya adalah mengenai kita, kamera dan dunia. Komuniti-komuniti fotografi kita kebanyakan lebih kepada soal bersosial, pemasaran atau perniagaan.
Tetapi berbeza pula dengan kumpulan atau komuniti mengambil contoh Magnum, ya mereka adalah sebuah kumpulan jurugambar tetapi di dalam berkarya, mereka semuanya bergerak secara individu, berkarya dengan kaedah dan pendekatan masing.

cm_kl_20100226

Memiliki citarasa yang baik dalam berkarya dan memilih individu yang tepat sebagai sumber rujukan sering menjadi masalah buat mereka yang masih baru, apa pandangan Che Ahmad?
Citarasa yang baik bagi saya harus dibentuk daripada bawah, saya akui untuk mendapatkan citarasa yang baik itu bukan sesuatu yang mudah, tetapi tidak mustahil untuk dibentuk dengan bantuan asas-asas atau fundamental fotografi yang kukuh. Memilih individu rujukan yang tepat pula bagi saya tidak begitu sukar, dalam apa-apa jua genre yang kita ceburi pasti ada rujukan yang betul tidak kira di dalam atau di luar negara berdasarkan pencapaian-pencapaian kerier fotografi mereka. Tetapi berbalik pula kepada citarasa itu tadi, memang banyak yang perlu dilakukan dan perlu ada, seperti yang saya katakan, asas seni itu harus difahami selain memahami sejarah seni dan juga pendedahan terhadap citarasa yang betul. pendedahan kepada bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh mereka yang betul-betul arif dalam bidang masing-masing, baru kita akan memahami dan dapat mengenal pasti citarasa yang baik. Jika tidak, kita tidak akan tahu samada imej yang kita rakam itu sudah mencapai tahap yang tinggi atau sekadar jaguh kampung. Fahami tahap-tahap kekuatan yang ada dalam penghasilan sesebuah imej. Imej adalah imej, tetapi sejauh mana kekuatan imej kita itu hanya kita ketahui jika kita tahu tahap kekuatan sudah sedia ada.

Jika ada seseorang berhasrat ingin menjadi seperti Che Ahmad, apa komen Che Ahmad?
Jadi diri anda sendiri, bukan saya, berkarya adalah sesuatu yang tidak boleh dibuat-buat. Jika anda tidak selesa atau arif mengenai subjek yang anda rakam seperti di lorong-lorong atau di jalan-jalan, anda sebenarnya gagal. Saya membesar dengan subjek-subjek yang saya rakam, saya sentiasa berasa dekat dan memahami subjek-subjek saya. Jika anda tidak mengenali subjek anda, anda tidak akan mendapat sesuatu yang mendalam, tiada jalinan atau perhubungan yang mendalam di antara subjek dan perakam. Bagi saya, kita dan karya kita perlu ada satu jalinan yang intim, jalinan ini yang sebenarnya menjadi kekuatan pada imej yang kita pertontonkan. Terima kasih.

Fakta-fakta lain mengenai Che Ahmad Azhar:
Tersenarai dalam 30 jurugambar paling berpengaruh di benua Asia oleh IPA
http://invisiblephotographer.asia/2014/01/17/30influentialasiaphotographers/

A Street-Level View of Kuala Lumpur by Maggie Steber
http://lens.blogs.nytimes.com

PM praises Che’ Ahmad Azhar for his beautiful street photography by Bernama
http://www.nst.com.my

Walk of Life with Malaysian Street Photographer Che’ Ahmad Azhar by Kevin WY Lee
http://invisiblephotographer.asia

Folk tales through the lens by Izwan Ismail
http://www.nst.com.my

Che Mat – a passion for street photography by Tashny Sukumaran
http://www.thestar.com.my

Top 10 IPA Photography Posts 2012
http://invisiblephotographer.asia

Photo Essay: Street Photography, Kuala Lumpur, by Che’ Ahmad Azhar
http://invisiblephotographer.asia
Pameran terpilih, Panel Juri dan Bengkel:
Pameran Solo “Walk of Life, Kuala Lumpur” Galeri Leica Starhill Kuala Lumpur 2013
http://snappicture.wordpress.com

Pameran Solo “Walk of Life, Kuala Lumpur” Obscura Photography Festival 2013
Panel Juri IPA Street Photography Asia Awards 2013
http://invisiblephotographer.asia

Panel Juri 8th Angkor Photo Festival 2012 http://www.angkor-photo.com

Bengkel IPA Street Photography Kuala Lumpur 2013
http://invisiblephotographer.asia

Bengkel IPA Street Photography Kuala Lumpur 2012
http://invisiblephotographer.asia

Order and Gesture in Street Photography

 

www.cheahmadazhar.com

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 17 (Feb/ Mac 2014)

fg17-cover-rgb