Temuramah: Miza Foto: Imran Kadir

Imran bin Kadir berasal dari Lahad Datu dan kini bermastautin di Kota Marudu, Sabah. Beliau merupakan di antara ribuan amatur yang meminati seni fotografi digital di samping bekerja sepenuh masa dengan berniaga. Fotografi merupakan sebahagian daripada kehidupan beliau.

Bagaimanakah perjalanan fotografi suadara bermula?
Saya berjinak dengan kamera digital ketika berada di kolej PTPL Shah Alam dalam bidang grafik pada tahun 2010. Saya semakin teruja apabila melihat portfolio jurugambar seperti Yaman Ibrahim. Sehinggalah saya menyertai bengkel beliau beberapa kali untuk menimba ilmu di peringkat awal. Daripada situ saya mula mengasah minat saya dengan melibatkan diri dalam pelbagai genre serta aktiviti berkumpulan, seperti lawatan foto safari Pulau Semporna oleh jurugambar Muslianshah Masrie. Selepas itu, saya mula meneroka sendiri pelbagai genre dengan mengambil beberapa jurufoto tempatan dan antarabangsa sebagai sumber rujukan. Saya pernah mengikuti bengkel Allahyarham Rabbani untuk mendapatkan ilmu asas jurufoto kewartawanan. Kesemua bengkel dan acara yang saya ikuti merupakan titik permulaan saya dalam bidang fotografi.
Siapakah yang mendorong saudara untuk menceburi bidang fotografi?
Isteri saya merupakan orang yang paling banyak meluangkan masa dengan saya serta banyak memberi sokongan kepada minat saya ini. Beliau banyak membantu dalam segala aspek.

Semua hasil karya saudara mengagumkan, namun kami lebih tertarik kepada hasil karya hitam putih saudara dalam album ‘Monolog’. Darimana saudara mendapat sumber inspirasi untuk merakam imej-imej tersebut?
Inspirasi datang daripada pelbagai sumber rujukan atau ilham dan kemudian kita hasilkan mengikut kreativiti kita menggunakan kamera digital dan gabungan perisian seperti Adobe Photoshop. Saya cuba gambarkan dalam bentuk lukisan digital, ianya subjektif untuk ditafsir jika tidak disertakan tajuk.
Sesetengah orang melahirkan isi hati tersurat mereka menerusi gambar dan gambar yang dihasilkan menggambarkan perwatakan mereka yang sebenar di alam nyata ini. Adakah hasil karya saudara ini merupakan perwatakan saudara yang sebenar?
Ya mungkin(sambil tertawa). Saya suka mencuba dan lebih suka belajar. Saya suka berkawan dan saya punyai ramai kawan. Karya yang saya hasilkan sebenarnya mempegaruhi emosi dan suasana saya pada ketika itu sepertimana kita sebagai manusia tidak lari dari ujian-ujian dalam kehidupan. Jadi itulah perjalanannya yang saya cuba kongsikan kepada penonton.
Antara semua gambar, manakah hasil karya yang saudara paling minati?
‘Believe in yourself!’ adalah sebuah foto tanpa manipulasi berbanding foto yang lain. Kita mesti berada pada tempat yang betul, cahaya yang betul dan tetapan yang betul untuk mendapatkan hasil yang menarik.

Pada pendapat anda, apakah yang dikira sebagai hasil karya yang terbaik?
Karya yang terbaik adalah yang mampu menjana sedikit imbuhan atau pulangan, kerana kita sedang berkerja dengan masa, masa adalah usia.
Apakah cabaran yang saudara alami ketika merakam hasil karya tersebut?
Bercampur dengan pelbagai genre banyak cabarannya kerana banyak ilmu yang berbeza-beza kita peroleh. Antaranya, kekangan kewangan untuk menaik taraf gajet seperti lensa. Pengkhususan pada satu genre adalah lebih jimat dan pantas untuk membina kerjaya dalam bidang ini.
Nasihat saudara kepada jurugambar muda yang ingin menceburi bidang fotografi.
Lapangan fotografi ini sangat luas, jangan takut untuk belajar dan mencuba sesuatu yang baharu. Malah, jangan takut bersaing untuk ketengahkan idea dan karya kita. Cari peluang, gunakan peluang, rebut peluang dan hargai peluang tersebut.
Getty image : http://www.gettyimages.com/search/2/image?artist=imran%20kadir%20photography&family=creative,editorial&excludenudity=false&sort=newest
Shutterstock : http://www.shutterstock.com/cat.mhtml?gallery_id=1894394
Dreamstimes : http://www.dreamstime.com/imrankadir_info
Flickr : https://www.flickr.com/photos/imran_graphics/

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 25 (Jun/ Julai 2015)
