Teks & Foto: Sharkawi Che Din
Teknik pengambaran digital adalah luas dan bergantung sepenuhnya kepada kreativiti setiap individu mengenai kaedah betul untuk memanfaatkannya. Teknologi digital memudahkan pelbagai lapisan pengguna untuk menghasilkan gambar digital yang luar biasa. Contohnya, sejumlah gambar foto digital yang dirakam secara bersiri boleh disambung untuk menghasilkan sebuah gambar panoramik.
Gambar panoramik merupakan teknik yang telah lama digunakan oleh pengkarya profesional yang terdiri daripada jurufoto komersial, animator, dan sebagainya untuk menghasilkan gambar yang dapat digunakan untuk pelbagai aplikasi kreatif seperti latar belakang animasi dua dan tiga dimensi serta pelbagai kegunaan penggambaran digital yang lain.
Proses Penyediaan Gambar
Untuk menghasilkan gambar panoramik, sejumlah gambar yang dirakam secara berturutan dari sebuah lokasi sama diperlukan. Sebuah gambar panoramik separuh pusingan atau 180 darjah memerlukan sekurang-kurangnya 8 keping foto. Jumlah gambar yang diperlukan juga turut bergantung kepada jenis lensa kamera yang digunakan. Semakin lebar sudut pandangan lensa yang digunakan maka semakin kurang jumlah gambar yang diperlukan. Contohnya lensa 17mm memerlukan gabungan jumlah gambar yang lebih sedikit berbanding lensa 50mm. Daripada segi dedahan (exposure), jurufoto hendaklah menggunakan mod manual supaya setiap rentetan gambar adalah sama daripada segi pencahayaan. Ini perlu diberikan perhatian supaya apabila semua gambar yang disambung akan kelihatan setara seolah-olah gambar ini adalah terhasil daripada satu gambar sebenar dan bukannya disambung dengan menggunakan sejumlah gambar yang berasingan.
Gabungan Gambar (Stitching)
Gabungan sejumlah gambar yang dihasilkan secara berurutan ini boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah digital secara manual atau menerusi perisian Adobe Photoshop dan perisian khusus panoramik seperti Panorama Maker Pro. Pengeluar kamera digital juga ada menyediakan perisian ini sebagai ciri yang diberikan secara percuma kepada pelanggan menerusi CD-ROM yang dibekalkan bersama-sama produk pengimejan seperti kamera khususnya. Menerusi perisian yang khusus, proses gabungan gambar asal untuk dijadikan gambar panoramik adalah lebih mudah dan boleh disiapkan dalam masa yang singkat.
Aplikasi gambar panoramik boleh dikembangkan kepada format QuickTime Virtual Reality (QTVR). Fail QTVR kebiasaanya diaplikasikan dalam aplikasi multimedia interaktif, laman sesawang e-dagang, realiti maya (immersive imaging) dan pelbagai kegunaan lain. Proses penghasilan gambar panoramik boleh dilaksanakan menerusi beberapa langkah mudah.
Setelah sejumlah gambar dirakam, proses cantuman boleh dilakukan dengan mudah dengan menggunakan arahan ‘Photomerge’ dalam perisian Adobe Photoshop.
Langkah 1
Buka Adobe Bridge. Pilih gambar untuk diaplikasikan dengan Photomerge.

Langkah 2
Pilih menu Tools > Photoshop > Photomerge.

Langkah 3
Dalam Layout, pilih Cylindrical > OK

Langkah 4
Rajah ini menunjukkan gambar yang berjumlah 5 keping telah digabungkan menjadi gambar panorama. Gunakan ‘Crop tool’ untuk memotong bahagian gambar yang tidak diperlukan.

Atau
Langkah 1
Buka Perisian Adobe Photoshop
Langkah 2
Klik File > Automate > Photomerge dan pilih ‘Layout’ yang dikehendaki.
Langkah 3
Klik pada ‘Browse’ dan pilih kumpulan gambar untuk dicantumkan, klik ‘Open’ dan diikuti ‘OK’. Proses cantuman akan dijalankan secara automatik
Langkah 4
Gunakan ‘Crop tool’ untuk memotong bahagian gambar yang tidak diperlukan

Gambar 1
Gambar panoramik yang dihasilkan dengan menggunakan arahan Photomerge.

Gambar 2A
Gambar asal yang dirakam secara berurutan.

Gambar 2B
Gambar panoramik.

Gambar 3
Contoh lain gambar berformat panoramik yang dihasilkan daripada sejumlah gambar yang digabungkan atau dirujuk sebagai teknik ‘stitchting’.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 07 (Jun/ Julai 2012)
