Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08
Dalam satu siri temuramah seni (art interview) dengan satu laman sesawang daripada Sepanyol baru-baru ini, beberapa soalan menarik telah dikemukakan kepada saya oleh pengendali laman sesawang tersebut. Antara yang paling menarik untuk dikongsi di sini adalah satu soalan mudah tetapi tidaklah terlalu stereotaip, namun masih tetap menjadi satu perkara dasar dan penting bagi seseorang pengkarya fotografi. Kita terlebih dahulu harus faham bahawa setiap ‘art interview’ dalam bahasa mudahnya adalah untuk memahami isi hati dan objektif si pengkarya supaya penerimaan dan pemahaman visual menjadi lebih interaktif dalam sirkulasi komunikasi visual yang semakin sarat dengan bebanan corak dan halatuju yang memeningkan.

“Kenapa anda merakam gambar A (sekadar contoh) dan apakah kepentingan gambar A kepada saudara?“
Satu soalan yang mudah namun legasinya sangat tinggi dalam memaknai akan maksud yang ingin kita terjemah dan sampaikan. Maksud daripada segi visual, maksud daripada segi komunikasi, maksud daripada nilai persepsi, maksud daripada segi nilai tatasusila kemanusiaan dan peradabannya, maksud daripada segi kerohanian, semua yang kita resipikan akan termaktub dalam kawah visual persepsi yang akan menjadi santapan penghuni kotak realiti iaitu kita sendiri sebenarnya. Secara jujurnya, pernahkah kita sendiri memahami akan kepentingan sesuatu ‘lencana’ foto yang kita rakam dari muncung lensa kita. Bibir kita mungkin boleh menipu namun muncung lensa tetap merakam apa-apa yang terhidang dalam bentuk olahan idea yang original daripada sang perakam. Inilah disiplin yang kita lilinkan menyaluti tubuh kita sebenarnya. Tanpa disiplin ini susah untuk kita bergerak mengemudi haluan fotografi kita.
Bagi saya, setiap rakaman haruslah ada satu konotasi visual yang tersendiri. Paling mencemaskan saya ialah lingkup ruang dan skala subjek yang akan saya titipkan dalam bingkai olahan saya (dibaca: bingkai idea). Inilah yang mengajar saya agar tidak terlalu rakus dan tamak dalam setiap aspek perakaman yang saya lakukan. Saya sendiri hampir 90% menzahirkan karya saya daripada kamera-kamera analog dan berformat 120mm dimana kos penggunaannya adalah sangat tinggi dan harus ada satu etika unggul dalam memastikan karya-karya yang terhasil tidak menjadi umpama roti canai yang tidak cukup adunan dan tebarannya. Bagi pengkarya seperti saya, melunasi reseptor deria dan kepompong persepsi dan pemahaman pemerhati visual adalah cabaran terbesar. Temboknya masih lagi tebal untuk ditembusi, disaluti tirai-tirai penerimaan yang berbagai warna dan corak.

Dunia dan segala isi makhluknya mempunyai 2 unjuran adab yang berbeza, yang baik dan yang kurang baik. Begitulah juga dengan ‘Dunia Fotografi’ dan ‘Pentas Kamera’ di tanahair kita, kita memang mempunyai 2 unjuran yang sangat berbeza. Satunya berdiri atas norma-norma kebaikan untuk kesinambungan dan pemartabatan seni fotografi dalam melingkari peradaban kemanusiaan, yang satu lagi adalah kerosakan yang menodai kesuburan perkembangan intelektualiti dan pembawaan hasilan fotografi itu sendiri. Saya tidak mahu menyentuh tentang isu mual ini kerana isu ini sering saya bangkitkan dalam penulisan terdahulu saya. Namun perkara yang saya ingin kaitkan di sini ialah keperluan kita untuk merakam dan kepentingan proses dan hasilan rakaman tersebut kepada kita dengan tidak melupakan unjuran akhir kepada siapa ia akan dipersembahkan. Interpretasi awalan kita dan akhirnya interpretasi sekunder (atau peringkat yang berikutnya) yang akan berlaku selepas sesuatu karya itu selesai. Semua ini harus mula dirumuskan sebelum jari mula memetik butang pengatup agar nanti ia tidak menjadi satu butang pemusnah buat kita sebagai sang perakam.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa soal ini adalah tidak penting kerana lebih menjurus kepada persoalan rantingan dan tidak menggambarkan corak sebenar seseorang pengkarya. Baiklah, saya akan letakkannya seperti begini, andai kita terus bergerak tanpa satu haluan atau landasan yang kukuh dan malar, maka pasti pergerakan kita dalam perjalanan ini tidak akan menemui satu destinasi yang kita mahukan. Seseorang pengkarya foto itu harus ada satu stigma bawaan masing-masing. Harus ada satu disiplin ilmu dan praktikal yang mampan dan seiring dengan usia kematangan mereka di dalam jurusan fotografi ini sebagai satu unjuran fasa kehidupan mereka. Kita hanya membuang masa andai kita terus sesat dalam pembawaan fotografi kita. Sesat yang tidak bias kembali.

Tidak salah dalam menemu pakai hasil-hasil gambar yang dirakam secara rambang untuk manifestasi atau proses awalan kita dalam mencari siapa kita sebenarnya kerana mengenal diri adalah perkara asas untuk seseorang pengkarya fotografi. Cuma, jangan sampai kita dilabel seorang yang mabuk daun ketum hanya kerana simpang-siurnya corak persembahan atau genre yang cuba kita bawa dalam satu masa yang singkat, sedangkan kita sebenarnya belum melunasi teras yang betul untuk kita terus berkarya. Ubi belum empuk direbus sudah diangkat untuk dihidangkan kepada tetamu.
Dalam projek (jangka panjang) terbaru saya bersama seorang sahabat baik saya, banyak yang dapat kami belajar dari episod penjelajahan visual kami dalam memahami konteks sebenar perakaman dan kepentingan dokumentasi sesuatu gambar yang dihasilkan. Realiti susur galur kehidupan manusia dalam siasahnya yang sebenar. Betapa banyaknya rentas ruang dan masa kehidupan manusia yang ada di sekeliling kita. Betapa banyaknya tirai-tirai realiti yang perlu kita selak sebelum mulakan perakaman. Saya sendiri menganggap karya-karya terbaru saya ini adalah satu projek yang didasari keikhlasan dan hasrat murni yang mulus dan tulus hasil dari luahan subjek-subjek yang saya rakamkan. Sudah tentulah projek seperti ini akan menjadi satu wacana dan gerak kerja yang penting bagi saya. Secara halusnya ini telah menjawab persoalan yang dibangkitkan dalam sesi temubual yang saya nyatakan tadi. Media-media visual khususnya fotografi adalah medium untuk menyampaikan kepercayaan, idea, konsep, rasa atau perasaan kita dan himpunan luahan ini haruslah dapat diterjemahkan oleh penerima dengan baik.

Seni visual dan komunikasi visual (secara perhubungan-komunikasi) khususnya adalah satu bentuk luahan kreativiti manusia yang paling dikenali yang lahir dari keunggulan daya cipta dan rakam (bagi seni fotografi) seseorang pengkarya itu. Semua yang kita zahirkan sebenarnya adalah satu cermin biologi tentang siapa kita sebenarnya. Andai olahan gambar–gambar kita lebih menjurus kepada satu olahan eksploitasi, maka itulah kita dalam mendasari ungkapan dan peradaban seni visual kita. Saya mungkin salah tetapi legasi gambar yang kita rakam akan terus berbicara untuk kita. Gambar yang kita rakam menggambarkan siapa kita sebenarnya. Kerana itulah setiap gambar dan karya itu adalah sangat penting bagi kita sebagai sang perakam.
Mencari maksud, nilai-nilai estetika dan perincian makna bukanlah sesuatu yang mudah yang hanya dapat diperolehi dengan penggunaan teknikal dan manipulasi alatan semata-mata. Ia sebenarnya jauh lebih luas ruang cakupannya. Banyak yang harus kita belajar tentang mengenal siasah peribadi dan identiti dalaman diri kita sendiri. Itu yang sering saya dengar dari rakan artis yang lebih berpengalaman dan berjaya. Kita harus mengerti bahawa gambar kita adalah wajah (identiti) kita maka barulah ada kesinambungan dalam struktur penyampaian kita. Inilah yang telah saya amalkan selama ini. Pesan terakhir saya untuk artikel kali ini ialah dalam setiap perincian proses kreativiti kita untuk menghasilkan sesuatu karya itu, kita harus tahu dan sedar di manakah letaknya tahap karya kita. Bersedia untuk dikritik, ditegur dan tahu apa yang harus ditambah baikkan, barulah kita akan bergolek dalam arena fotografi dengan lancar dan teratur. Gambar kita adalah identiti kita.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 19 (Jun/ Julai 2014)
