Kepelbagaian Rupa Bentuk – Datin Dr Azlifah Hj Bahari

13/11/2019 | miza

Temuramah: Miza          Foto: Datin Dr Azlifah Hj Bahari

 

Azlifah Bahari_7

Datin Dr Azlifah Hj Bahari

 

Perkenalkan latar belakang saudari.
Nama saya Datin Dr Azlifah Hj Bahari. Dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan. Sekarang menetap di Shah Alam, Selangor. Bekerja sebagai doktor di salah sebuah klinik swasta di Petaling Jaya. Saya mula berkecimpung dalam bidang fotografi sejak berkuliah di universiti beberapa tahun yang lalu.

Dari manakah saudari mendapat sumber inspirasi untuk menghasilkan sesebuah karya?
Sumber-sumber inspirasi saya untuk menghasilkan sesebuah karya adalah majalah fotografi tanahair dan luar negara, gambar-gambar yang terdapat di dalam majalah dapat memberikan pelbagai idea di dalam rakaman sesuatu gambar. Majalah bukan hanya membekalkan ilmu tentang teknik mengambil gambar tetapi ia juga menerangkan tentang cara pemprosesan sesuatu gambar. Variasi dari ilmu ini dapat meningkatkan dan memperdalam ilmu fotografi saya.

Azlifah Bahari_6Selain itu melayari internet berkenaan topik fotografi merupakan salah satu kaedah terpantas di dalam memberikan maklumat mengenai apa-apa sahaja yang kita kehendaki. Kebanyakan persoalan yang timbul di minda kita berkenaan dengan fotografi dapat kita peroleh melalui pencarian maklumat di internet. Maklumat-maklumat yang diberikan adalah terkini dan lebih meluas yang sumbernya adalah dari seluruh pelosok dunia.

Saya juga ada melihat laman sesawang dan blog-blog jurugambar terkenal. Di sini kita berpeluang untuk lebih fokus kepada jurugambar profesional yang kebiasaannya mempunyai pengkhususan genre tersendiri. Selain kita dapat mengetahui biografi mereka kita juga berpeluang melihat foto-foto terbaik mereka yang mengujakan di samping mempelajari teknik rakaman gambar yang disediakan yang sememangnya berbeza dari seorang jurugambar ke seorang jurugambar yang lain.

Tidak ketinggalan melayari laman sosial seperti Facebook juga merupakan salah satu sumber fotografi dimana di sini terdapat banyak kumpulan dan laman fotografi dari seluruh dunia. Di sini kita berpeluang untuk menjadi ahli kumpulan fotografi yang bersesuaian dengan pilihan kita. Sesetengah kumpulan ada mengadakan pertandingan yang membolehkan kita turut serta disamping dapat memahirkan diri kita sebagai jurugambar.

Siapakah yang memberi dorongan kepada saudari untuk berkarya?
Ahli keluarga terdekat iaitu suami dan anak-anak banyak memberi dorongan kepada saya di dalam berkarya. Mereka sangat memahami minat saya sehingga mereka sering membantu memberikan maklumat tentang tempat-tempat atau subjek-subjek yang membolehkan saya untuk merakam gambar.

Azlifah Bahari_5Apakah subjek yang saudari paling minati ketika berkarya? Mengapakah?
Subjek yang paling saya minati sewaktu berkarya adalah flora dan fauna. Flora mahupun fauna adalah hasil ciptaan tuhan yang mempunyai keindahannya tersendiri. Terdapat pelbagai rupabentuk flora dan fauna di sekitar kita di mana kewujudannya bergantung pada perbezaan tempat, iklim dan negara. Kepelbagaian rupabentuk subjek-subjek ini membuatkan saya berusaha sebaik mungkin untuk menghasilkan imej yang terbaik. Hal ini banyak menguji kemahiran saya dalam proses rakaman gambar dan ianya adalah suatu cabaran yang sentiasa saya nantikan. Kebiasaannya untuk merakamkan gambar-gambar flora dan fauna memerlukan kita berkunjung ke habitat kehidupan mereka iaitu alam semesta. Di sini selain menikmati keindahan alam semulajadi, kita dapat belajar menghargai setiap kehidupan di muka bumi ini. Ianya juga dapat membantu menenangkan minda dan sudah pasti ianya suatu anugerah kehidupan yang cukup indah yang perlu disyukuri.

Ada sesiapakah jurugambar professional yang saudari minati dan memberi inspirasi dalam penghasilan karya?
Di antara jurugambar profesional yang saya minati dan memberi inspirasi kepada saya adalah Frans Lanting, Steve McCurry, Ross Hoddinott dan Chris McLennan.

Pada pandangan saudari, apakah maksud fotografi?
Bagi saya fotografi adalah suatu seni di dalam menghasilkan suatu imej yang cantik dan menarik hasil olahan penglihatan, minda dan penghayatan dari seorang jurugambar. Bagi saya suatu gambar yang dapat mengekalkan keaslian dari rupabentuk subjek merupakan hasil fotografi yang cukup baik.

Azlifah Bahari_3Hasil karya saudari bertajuk “Pitcher Orchid” menarik perhatian saya. Bagaimanakah saudari menghasilkan karya tersebut dari sudut berbeza dan apakah konsep yang saudari ingin sampaikan melalui karya tersebut?
Pitcher Orchid” yang seperti kita ketahui adalah merupakan suatu jenis flora langka di negara kita. Di sini saya ingin menonjolkan keunikan dari struktur bunga tersebut yang dapat dilihat secara jelas apabila dirakam secara simetris dan makro. Rakaman diambil daripada bahagian hadapan dan secara simetris untuk memperlihatkan secara jelas bahagian bunga ini yang berfungsi untuk memerangkap serangga. Saya menggunakan sumber cahaya alami di sekitar untuk mengekalkan gambaran semulajadi bunga tersebut.

Saudari telah menghasilkan pelbagai imej yang menarik, manakah satu hasil karya yang saudari paling minati? Mengapa?
Di antara karya-karya yang telah saya rakamkan, karya lebah yang sedang terbang menuju ke arah bunga adalah merupakan gambar yang sangat saya minati. Di sini saya merakamkan struktur lebah secara jelas, di samping memperlihatkan arah pergerakannya ke arah bunga yang dituju. Karya ini menguatkan lagi pemahaman kita bahawa flora dan fauna saling memerlukan di antara satu dengan yang lain.

Apakah kamera dan peralatan fotografi yang saudari gunakan ketika berkarya?
Kamera yang saya gunakan ialah Canon EOS 500D sementara Canon EF 100mm f/2.8, Sigma 10-20mm, Sigma 70-300mm, Canon EF-S 18-55mm merupakan lensa-lensa yang sering saya gunakan bersesuaian dengan subjek dan genre yang dirakamkan.

 

http://500px.com/AZLIFAH

http://azlifahbahariphotography.blogspot.com/

 

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 15 (Okt/ Nov 2013)

fg15-cover