Kembara Fotografi : Upper Mustang, Nepal

09/04/2018 | miza

Teks & Foto: Dome

2_D8M1482

 

Dalam beberapa isu Fotografika yang lepas, saya ada menulis tentang ‘Mustang’ secara am dan juga menyentuh mengenai bahagian ‘Lower Mustang’. Untuk isu ini saya akan menceritakan catatan perjalanan ke bahagian “Upper Mustang” baru-baru ini dan mungkin ada pembaca yang berminat untuk ke sana suatu hari nanti.

4_D8M1746

Perjalanan ke “Upper Mustang” atau lebih tepat dengan tujuan ke sebuah penempatan bernama “Lo Manthang” bermula di ‘check point’ masuk yang terletak di Kagbeni. Terdapat dua cara untuk sampai ke sana iaitu dengan menggunakan kenderaan pancuan empat roda ataupun berjalan kaki (trekking). Di Nepal, hanya ada satu agensi sahaja yang menyediakan perkhidmatan pancuan empat roda ke “Upper Mustang” iaitu Yeti Travel. Perjalanan saya baru-baru ini lebih berbentuk kepada expedisi pancuan empat roda yang bermula daripada Kathmandu hingga ke Lo Manthang yang mengambil masa kira-kira empat hari perjalanan dan sebanyak 105 kali merentasi sungai. Ada kalanya air menerjah masuk kedalam kenderaan kami. Satu cabaran mental dan fizikal dari segi keadaan jalan serta cuaca yang sejuk, tambahan lagi kami terpaksa berpatah balik di pertengahan perjalanan akibat jalan utama dilitupi salji tebal dan terpaksa mengambil jalan alternatif. Akan tetapi panorama yang dapat kita saksikan sepanjang perjalanan membuatkan segala kepenatan itu hilang.

3_D8M1609Dengan keadaan muka bumi yang kurang menerima hujan, struktur batuannya begitu unik dan mempesonakan, malah laluan sungai terbentuk di celah-celah batuan tak ubah seperti ‘grand canyon’. Bagi mereka yang gemar kepada foto landskap, sudah tentu anda tidak akan tenteram tanpa merakam keindahannya. Semakin jauh perjalanan kami, semakin tinggi altitud, semakin banyak salji kelihatan dan semakin berbeza pula pemandangan. Saya membawa dua buah kamera yang dipalam bersama-sama lensa sudut lebar dan lensa zum bagi mengelakkan habuk masuk ke dalam kamera kerana faktor angin di sini yang begitu kuat dengan membawa segala debu. Jadi sesiapa yang ingin ke Mustang, perlu berhati-hati dengan masalah ini, terutama ketika membuat pertukaran lensa, sebaiknya cuba elak menukar lensa dan membawa dua kamera adalah penyelesaian terbaik.
Lo Manthang, dari segi budaya, bahasa, cuaca dan muka bumi hampir menyamai Tibet tetapi dari segi geografinya , masih tetap di dalam wilayah Nepal. Malah dari segi pakaian pula, suku kaum Loba yang mendiami tempat ini menyerupai pakaian orang Tibet. Mereka masih mempunyai raja yang menetap di dalam kota, akan tetapi sudah tidak mempunyai kuasa. Ketika saya sampai di kota ini, masih banyak timbunan salji di sana-sini. Dengan ketinggian lebih daripada 12 ribu kaki dari aras laut, dikatakan wilayah ini menjadi tempat paling tinggi di dunia yang didiami oleh manusia. Lonely Planet telah menyenaraikannya sebagai ‘Top 10” wilayah yang perlu dilawati untuk tahun 2013. Sebelum saya mengakhiri artikel ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Yeti Travels Pvt. Ltd (Nepal) yang menaja perjalanan saya ke Upper Mustang.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 13 (Jun/ Julai 2013)

fg13-cover_updated