Teks & Foto: Dome

Sejuk, kering, gersang dan sangat berangin itu adalah antara suasana yang saya tempuhi sepanjang kembara ke daerah Mustang yang terletak di kawasan utara-tengah Nepal pada awal bulan November 2012. Namun begitu, kepuasan dan nikmat fotografi yang boleh didapati di kawasan ini sukar digambarkan dengan kata-kata. Keadaan mukabumi di kebanyakan tempat dalam daerah ini boleh dikatakan kering dan gersang sepanjang tahun dan menerima hujan yang sangat minima. Mustang boleh diibaratkan sebagai sebuah padang pasir yang sejuk.

Laluan di Mustang terbahagi kepada dua bahagian iaitu ‘Lower Mustang’ dan ‘Upper Mustang’ dimana ianya memerlukan kebenaran khas berbeza yang dikenali sebagai TIMS (“Trekking Information Management System”). Bahagian ‘Upper Mustang’ dikenakan bayaran yang lebih tinggi iaitu USD500/seorang (untuk tempoh 10 hari dan USD50 untuk setiap hari berikutnya) berbanding dengan ‘Lower Mustang’ hanya USD20/seorang. Kad TIMS boleh diibaratkan sebagai lessen kebenaran untuk kita menjelajah kawasan ini dan terdapat ‘check point’ pada lokasi tertentu dimana pihak berwajib akan memeriksa kad TIMS sebagai tanda anda masuk ke kawasan Mustang dengan cara yang sah dan ianya juga untuk tujuan keselamatan pengunjung terutamanya jika berlaku kecemasan. TIMS bukan sahaja disyaratkan untuk ke Mustang tetapi ke kawasan-kawasan lain yang telah di gazetkan oleh kerajaan Nepal. Oleh kerana Mustang terletak di dalam wilayah Annapurna, permit masuk bernilai USD27 yang dikenali sebagai ACAP (Annapurna Conservation Area Project) juga di perlukan. Kita boleh menguruskan sendiri perkara ini melalui Lembaga Pelancongan Nepal (NTB) ataupun melalui agensi pelancongan di Kathmandu.

Untuk ke Mustang, terdapat dua jalan alternatif iaitu melalui jalan darat dan jalan udara. Terdapat kelebihan dan kekurangan pada kedua-dua jalan ini dari segi masa dan keselesaan. Apapun jalan udara bagi saya lebih berisiko kerana penerbangan daripada Pokhara ke Jomsom (pintu masuk udara ke daerah Mustang) boleh dibatal pada bila-bila masa akibat masalah cuaca terutamanya pergerakan angin kencang di kawasan pergunungan yang tidak dapat di tempuh oleh pesawat kecil 16 tempat duduk. Tetapi percayalah, pengalaman melalui jalan udara walaupun hanya 15 minit penerbangan sangat menyeronokkan. Anda juga berpeluang untuk merakam foto dari udara disamping menikmati keindahan banjaran gunung-ganang ‘Annapurna Himalayan’ sepanjang perjalanan dengan lebih dekat. Jalan darat pula mempunyai cabaran tersendiri dimana kenderaan akan melalui jalan-jalan yang dibina sepanjang lereng gunung dan adakalanya laluan ini begitu menyeramkan.
Dari keindahan lanskapnya hinggalah kepada para penghuni yang mendiami kawasan ini, semuanya indah dan mengujakan. Segala kedinginan dan debu-debu yang berterbangan seolah-olah tidak wujud walaupun pada hakikatnya, saya terpaksa menahan kesejukan terutamanya ketika membuat rakaman foto di sebelah malam dan awal pagi, apatah lagi dengan keadaan angin yang boleh datang secara mengejut dengan membawa debu-debu. Jadi adalah dinasihatkan untuk kita tidak membuat pertukaran lensa secara kerap dan sentiasa berwaspada dengan persekitaran. Saya sendiri lebih selesa dengan lensa Nikkor 24-70mm sepanjang berada di Mustang, membenarkan saya untuk merakam foto-foto landskap hinggalah kepada potret. Apapun jua cabarannya, itulah pengalaman yang akan kita kutip apabila mengembara dan ianya memberi kepuasan yang tersendiri.
Bagi anda yang berminat untuk menikmati cabaran pengembaraan fotografi di Mustang, bolehlah menyertai kembara fotografi bersama saya yang dijadualkan pada bulan Oktober 2013. Untuk maklumat lanjut anda boleh hubungi saya melalui facebook dan terdapat lebih banyak foto-foto sekitar Mustang melalui laman web dan facebook DigitalDome.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 11 (Feb/ Mac 2013)
