Teks & Foto: Sharkawi Che Din
‘Marhaba’ dalam bahasa Turki atau ‘apa khabar’ dalam bahasa Malaysia kedengaran sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi Turki. Rata-rata penduduknya mesra pengunjung terutamanya apabila dimaklumkan bahawa saya dari Malaysia. Keunikan negara Turki tidak dapat dirungkai dengan hanya membaca buku-buku atau sekadar melihat maklumat di internet semata-mata. Hal ini demikian kerana Turki mewarisi kekayaan khazanahnya yang bukan sahaja luar biasa malah negara ini juga seringkali menjadi impian orang ramai untuk mengambil peluang bagi melihat sendiri lokasi-lokasi yang memiliki nilai sejarah yang amat tinggi ini. Turki terletak di lokasi bersempadan dengan Asia dan Eropah. Sebanyak 70% daripada populasi rakyat Turki menetap di kawasan bandar sementara 30% lagi menetap di kawasan pedalaman. Walaupun Istanbul merupakan bandar terbesar di Turki tetapi ibu negaranya adalah Ankara.

Saya bertuah kerana merupakan salah seorang daripada dua belas peserta yang terpilih mengikuti Klinik Fotografi ke Turki selama lapan hari yang dibiaya sepenuhnya oleh Canon Singapura. Kesemua dua belas peserta yang terdiri daripada warganegara Thailand, Vietnam, Indonesia, Singapura, India dan Malaysia merupakan pemenang Canon PhotoMarathon 2010. Setiap negara diwakili oleh dua orang peserta yang memenangi Canon Photo Marathon 2010 yang dianjurkan di setiap enam negara Asean.
Lapan hari yang padat diperuntukkan untuk tujuan aktiviti fotografi pada mulanya dirasakan suatu jangkamasa yang cukup. Walau bagaimanapun, dengan keindahan dan keunikan subjek menarik yang terlalu banyak untuk dirakam, lapan hari itu sebenarnya terlalu singkat. Keghairahan untuk memenuhi impian yang mungkin hanya diberi sekali seumur hidup menjadikan seseorang jurugambar keliru dan hilang tumpuan kerana terlalu terpesona dengan keindahan khazanah negara Turki yang pelbagai untuk dijadikan subjek rakaman oleh lensa kamera.

Keupayaan Melihat Secara Kreatif
Pada hari pertama, sebaik sahaja semua peserta tiba di Lapangan TerbangAntarabangsa Ataturk di Istanbul, semua peserta dengan penuh semangat mula merakam apa-apa sahaja subjek yang melintas di hadapan mereka. Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar peserta dinasihati oleh fasilitator supaya lebih ‘berhemah’ dalam merakam setiap gambar. Ini kerana ciri-ciri gambar yang baik hanya wujud dengan perancangan yang sesuai dan betul yang diberikan terhadap sesebuah komposisi sebelum sesebuah gambar itu dirakam. Pengajaran daripada peristiwa ini adalah, untuk menghasilkan gambar yang baik sebenarnya tidak ada jalan singkat, ia perlu diadun dengan pengamatan dan analisa terhadap subjek terlebih dahulu sebelum dirakam menjadi sebuah karya foto yang lengkap dengan ciri-ciri sebuah karya yang baik. Perkara ini jelas terutamanya dari segi pemilihan subjek, aksi ketika gambar dirakam, pencahayaan, komposisi dan beberapa aspek nilai estetika lain yang perlu diberi keutamaan sebelum butang ‘shutter’ ditekan.
Statistik sedia ada menunjukkan Istanbul merupakan salah sebuah bandar yang paling sibuk di Turki selepas Izmir dan Ankara. Rata-rata penduduknya menetap di bandar dan hanya sebahagian kecil sahaja yang masih menetap di kawasan pedalaman. Sesi penggambaran pertama kami adalah di sekitar bandaraya Istanbul yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan bersejarah yang masih berdiri kukuh. Antara subjek-subjek yang menjadi ikon Bandaraya Istanbul antaranya adalah Galata Tower, Masjid Ayasofya atau juga dikenali sebagai Hagia Sophia, Masjid Biru atau Masjid Sultanahmet, Muzium Seni Islam, Grand Bazaar dan puluhan lokasi lain yang bersejarah. Umumnya, Turki menyediakan peluang untuk rakaman gambar-gambar yang bercirikan dokumentari terutamanya bagi subjek-subjek senibina, ‘environmental portraits’, fotografi jalanan dan cityscape.

Sebagai seorang jurugambar, setiap kali berkunjung ke lokasi-lokasi eksotik seperti ini bukan sahaja sekadar berpeluang untuk merakam sebanyak mungkin gambar malah lebih penting daripada itu ialah belajar untuk ‘melihat’, ‘menilai’ dan ‘memilih’ subjek-subjek yang bakal dirakam.
Lokasi kami seterusnya adalah Cappadocia. Terletak di bahagian tengah Turki yang memerlukan satu jam penerbangan daripada bandaraya Instanbul ke Izmir. Cappadocia merupakan lokasi yang kaya dengan keindahan alam semulajadi yang amat unik dengan keindahan landskap seluas saujana mata memandang. Ciri batu-batan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz menjadikan Cappadocia lokasi yang bukan sahaja harmoni malah luar biasa. Cappadocia merupakan kawasan Empayar Rome yang wujud kira-kira 4000 tahun dahulu, merupakan kawasan paling bersejarah dengan menempatkan Gereme yang kini dijadikan muzim. Dikenali sebagai Muzium Terbuka Gereme, muzium ini merupakan salah satu daripada kawasan yang disenaraikan dalam UNESCO World Heritage sejak tahun 1984. Gereme pada asalnya merupakan sebuah gereja Kristian yang dibina daripada batu yang ditebuk dan diubah-suai menjadi gereja. Pada dinding-dinding gereja ini masih jelas kelihatan lukisan-lukisan dinding asal yang dilukis oleh penganut-penganut agama Kristian pada ketika itu. Walau bagaimanapun, pengunjung dilarang merakam lukisan-lukisan tersebut.

Selain melihat keunikan formasi bumi yang berbatu-batan, Cappadocia juga terkenal dengan belon udara panas. Bagi peserta yang inginkan pengalaman unik dan mencabar, melihat kawasan sekitar dari udara, dengan bayaran sebanyak 150 paun untuk perjalanan lebih kurang 1 jam, pengalaman menaiki belon udara panas ini pasti tidak akan dilupakan.
Pada sesi review gambar pada hari pertama semua peserta telah diajukan satu soalan yang agak luar biasa, kami ditanyakan jumlah gambar yang telah kami rakam ketika sesi penggambaran siang tadi. Ada antara kami dengan bangganya menyebut 900 keping, ada pula sambil tersenyum mengatakan bahawa kesemua tiga keping kad memori berkapasiti 16GB setiap satu telah habis digunakan, dan ada pula yang merakam hanya 100 keping gambar. Peserta diingatkan bahawa kebiasaannya keghairahan untuk merakam gambar telah mengatasi peranan kita sebagai seorang jurugambar. Jurugambar yang baik hanya akan merakam sesuatu subjek itu jika ia benar-benar memiliki nilai-nilai yang perlu ada pada sekeping gambar foto, berseni sifatnya daripada segi teknikal, kandungan, penceritaan dan nilai estetika yang tinggi.
Persediaan Alatan Fotografi

Tiada apa yang lebih diutamakan oleh semua jurugambar daripada membawa peralatan yang dirasakan penting untuk membolehkan setiap situasi subjek dirakam secara yang terbaik. Ini termasuklah membawa keperluan teknikal yang mencukupi seperti kamera, lensa, kad memori, komputer riba, tripod, bateri yang cukup dan beberapa aksesori lain. Walau bagaimanapun, dalam apa pun juga keadaan, jurugambar sebenarnya mestilah berpegang kepada konsep mengembara dengan membawa peralatan yang minimum. Ini penting supaya segala pergerakan dapat dilakukan dengan lancar dan pada masa yang sama dapat menikmati pengalaman pengembaraan dengan lebih selesa tanpa dibebani alatan berlebihan yang akhirnya tidak digunakan. Pada asasnya keperluan minimum untuk seseorang jurugambar adalah sebuah kamera dengan lensa antara 15mm hingga 200mm cukup memadai bagi semua jenis pengambaran. Sebagai jaminan kepada perjalanan yang mungkin dapat dilakukan hanya sekali dalam seumur hidup, satu lagi kamera tambahan atau simpanan mungkin diperlukan terutamanya jika sesuatu yang buruk terjadi pada kamera utama. Bateri juga adalah aksesori yang amat penting kerana dalam kaedaan cuaca yang sejuk seperti di Turki ketahanan bateri adalah kurang berbanding cuaca di tanah air. Sekurang-kurangnya tiga buah bateri harus disediakan dan bagi menjimatkan penggunaan bateri, kurangkan menonton gambar menerusi paparan LCD dan minimumkan penggunaan autofokus.

Pastikan juga anda membawa jumlah kad memori yang mencukupi kerana ketika berkunjung daripada satu lokasi ke lokasi yang lain, anda mungkin tidak akan berkesempatan untuk memuat turun kad memori yang sudah penuh ke dalam komputer. Memandangkan harga kad memori kini adalah murah maka lebih praktikal untuk membawa beberapa kad memori yang berkapasiti tinggi. Bagi mengelakkan daripada anda memadamkan kad memori secara tidak sengaja, uruskan kad tersebut secara sistematik. Contohnya, poket di sebelah kiri digunakan untuk menyimpan kad memori yang belum digunakan sementara poket di sebelah kanan digunakan untuk menyimpan kad memori yang telah penuh. Sebaik sahaja selesai sesi penggambaran, muat turun semua gambar ke dalam komputer, pindahkan semua gambar tersebut ke sekurang-kurangnya dua storan mudah alih yang berbeza. Pastikan juga bahawa semua gambar telah dimasukkan kata kunci (keywords) dan juga penerangan ringkas mengenai nama lokasi dan subjek yang dirakam. Jika masa mengizinkan, pindahkan juga semua gambar ini ke simpanan kekal seperti cakera DVD. Jadikan proses pemindahan ini sebagai rutin setiap kali sesi penggambaran dilakukan. Pilih beberapa keping gambar yang dirasakan terbaik untuk diproses ataupun untuk dikongsi oleh rakan-rakan menerusi laman web sosial seperti Facebook, flickr dan sebagainya.
Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini, semoga pembaca mendapat sedikit sebanyak input yang boleh dimanfaatkan dan dijadikan panduan terutamanya kepada mereka yang gemarkan aktiviti pengembaraan.
Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 1 (Jun/ Julai 2011)
