Temuramah: Miza Foto: Faisal Jaafar

Nur Faisal Jaafar
Anak kelahiran Ipoh, Perak ini kini berkhidmat sebagai jurufoto bagi sebuah agensi berita nasional Malaysia, BERNAMA di Kuala Lumpur. Beliau meminati bidang fotografi sejak tahun 1999 ketika beliau masih di bangku sekolah. Beliau gemar melihat gambar yang mempunyai penceritaan yang menarik. Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang fotografi, beliau mengikut rakan-rakannya merakam gambar perkahwinan di sekitar Ipoh. Malah, setelah tamat pengajian sekolah menengah pada tahun 2005, beliau menyambung pelajaran dalam Diploma Teknologi Fotografi, Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Shah Alam.
Fotografi pada saudara
Makna fotografi kepada saya ialah penyampaian sesuatu penceritaan dengan jelas dan tepat dari sumber yang boleh dipercayai dan tanpa sebarang penambahan atau tokok tambah dari segi persembahan.

Jurugambar inspirasi
Saya meminati jurugambar profesional hidupan liar, Tim Laman yang dikenali sebagai jurugambar pertama yang merakam syurga spesis burung dalam habitat asal mereka untuk terbitan National Geographic. Hasil karya beliau mampu menceritakan sesuatu dalam kehidupan liar di hutan belantara dan dari situ juga, ia menceritakan serta memberi kesedaran kepada kita untuk memelihara alam semulajadi. Anda boleh melihat hasil karya beliau yang mengagumkan dalam Instagram Tim Laman.
Rangsangan dan motivasi
Sudah tentunya moderator saya, Affendi Shas dan jurugambar senior saya, Mazlan Samion. Mereka hebat dalam genre fotografi masing-masing dan sering memberikan teguran membina kepada saya untuk terus kekal berjuang dalam industri ini dan menghasilkan karya yang lebih baik dan unik.

Visi dalam berkarya
Saya gemarkan alam semulajadi dan inginkan penonton yang melihat hasil karya saya merasai sesuatu kelainan yang tidak dapat dilihat sebelum ini. Saya sukakan sesuatu yang baharu dan cabaran. Oleh itu, saya mempersembahkan hasil karya yang mempunyai dimensi baharu dari segi penyampaian dan kelainan dalam setiap karya saya.
Cabaran
Sebagai seorang jurufoto untuk agensi berita ini, pelbagai cabaran yang saya perlu tempuhi seperti risiko di tempat kejadian, komposisi sudut rakaman terbaik dan persaingan yang sengit dengan jurufoto yang lain apabila merakam berita yang hangat diperkatakan untuk dijadikan gambar muka hadapan.

Pengalaman berharga
Dahulu semasa saya belajar diploma, saya pernah berhasrat untuk mendokumentasikan sebuah penceritaan bertajuk ‘Bas Lama’ akan tetapi saya terpaksa batalkan hasrat tersebut atas sebab-sebab tertentu. Kemudian, saya mencadangkan idea tersebut kepada kawan saya, Nazrin Mintar sebagai tajuk untuk pameran diploma beliau. Kami mulakan dokumentasi dengan hanya duduk memerhati serta berkenalan dengan orang disekeliling stesen bas Medan Kid Ipoh. Apabila sudah mengenali orang-orang di sekitar, kami mulakan dengan meminta kebenaran untuk merakam perjalanan bas tersebut dan kami dibenarkan menaiki hampir kesemua bas yang ada dengan percuma! Ia merupakan pengalaman bermakna kepada kami kerana kami sempat merasai pengalaman menaiki bas tersebut untuk kali terakhir kerana kini bas tersebut sudah ditamatkan perkhidmatan dan diganti dengan bas-bas yang baharu.
Perkembangan fotografi di Malaysia
Saya rasakan sekarang ini rakyat Malaysia semakin berada. Ramai juga orang yang ingin menjadi jurugambar dan industri fotografi ini membangun dengan pesat ditambah pula dengan inovasi peralatan yang semakin canggih. Ada kebaikannya dan ada juga keburukannya, seperti semakin ramai juga orang pandang serong dengan tugas jurufoto media kerana terdapat sesetengah jurugambar ini secara tiba-tiba mengaku jurufoto media dan mengambil remeh akan etika kewartawanan.

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 21 (Okt/ Nov 2014)
