
Acara Canon PhotoMarathon yang ditunggu-tunggu kini kembali untuk tahun ke-11 di Malaysia pada 9 September 2017 (Sabtu) di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Acara ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan Canon menjemput semua peminat fotografi untuk sertainya! Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia; Encik Andrew Koh, “Kami menggalakkan semua untuk turut sama merasai keterujaan dan menjadi sebahagian daripada komuniti fotografi”.
Lebih 1,000 orang peserta dijangka bakal menyertai untuk mempamerkan bakat dan kreativiti masing-masing berdasarkan kepada tiga tema fotografi dalam Canon PhotoMarathon tahun ini. Penyertaan gambar terbaik daripada peserta bakal dinilai oleh tiga orang jurugambar terkenal iaitu Asmady Ahmad, Vincent Thian dan Fiona Lim.
“Bagi membuatkan pengalaman menyertai acara ini lebih diingati, kami dengan rasa teruja mengumumkan bahawa buat pertama kalinya, kami bakal memberikan pingat penamat kepada peserta yang berjaya menamatkan acara ini,” kata Encik Jeffrey Kung; Ketua Bahagian Pengimejan Pengguna & Maklumat Canon Marketing Malaysia.
Para peserta berpeluang merebut hadiah bernilai lebih RM54,000 termasuk beberapa unit kamera terkini Canon. Pemenang Hadiah Utama Kategori Terbuka bakal menikmati percutian termasuk semua perbelanjaan ditanggung ke Jepun yang bernilai RM10,000 untuk menyertai Kejohanan Canon PhotoMarathon Asia, beserta sebuah kamera DSLR Canon EOS 6D Mark II.
Pemenang hadiah pertama untuk Kategori Terbuka dan Pelajar akan membawa pulang sebuah kamera DSLR Canon EOS 77D dan kamera DSLR Canon EOS 750D. Hadiah-hadiah lain termasuklah kamera Canon PowerShot G7X Mark II, kamera ‘mirrorless’ Canon EOS M10, pencetak foto kompak Canon Selphy CP1200, kamera kompak Canon Powershot SX730 HS dan banyak lagi.
Mereka yang berminat untuk sertai acara ini boleh melayari laman sesawang https://photomarathon.canon-asia.com, atau mendaftar pada hari marathon di kaunter pendaftaran, bermula pada jam 7.00 pagi.
Para peserta hanya perlu membawa kad pengenalan atau pasport untuk mendaftar. Kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah perlu membawa surat kebenaran daripada ibu bapa untuk mendaftar. Yuran pendaftaran ialah RM30 untuk kategori terbuka dan RM20 bagi kategori pelajar.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang https://photomarathon.canon-asia.com atau ikuti laman sosial Facebook CanonMalaysia.