Husin Ismail – Fotografi Analog Ada Keunikan

19/05/2018 | miza

 

Temuramah: Ashraf Saharudin        Foto: Husin Ismail

Myself-Portra400-Nikon F4 85mm f1.4

Latar belakang
Saya kini berusia 39tahun. Bapa kepada 5 orang anak (4 lelaki, 1 perempuan). Menetap di Kota Bharu Kelantan dan bekerja di pelantar minyak sejak tahun 2001.

Saya bergerak aktif dalam lapangan fotografi pada tahun 2007 tetapi sekadar hanya hobi. Mula berkecimpung dalam dunia analog secara serius pada awal tahun 2014. Analog banyak memberi ruang masa saya bersama-sama dengan anak-anak dengan merakam telatah anak-anak yang sedang membesar.

Fujipro400-C645-13

Gabungan dua dunia
Gambar-gambar yang dirakam dihantar ke makmal untuk di proses dan diimbas kepada format digital. Dengan kaedah ini sebenarnya banyak menjimatkan masa saya kerana kebiasaannya warna-warna yang terhasil dari jenis-jenis filem tertentu kebiasaannya sangat unik dan menarik. Untuk mendapatkan warna yang menarik bagi versi digital selalunya saya akan melakukannya di dalam Adobe Lightroom ataupun Adobe Photoshop dan kadangkala ia agak memakan masa dan sesungguhnya masa adalah sesuatu yang amat berharga bagi saya kerana jadual kerja saya 14 hari kerja dan 14 hari cuti. Dan analog banyak membantu saya dari menghabiskan masa di depan komputer. Kebanyakan gambar-gambar yang terhasil dari analog amat mengagumkan terutama dari segi warnanya. Sebelum tahun 2014, gambar-gambar yang saya rakam adalah digital.

Fuji Velvia 100-C645-12

Peralatan
Selalunya pilihan saya adalah Contax645 untuk format medium 120mm. Manakala untuk filem 35mm, saya sering menggunakan EOS1V bersama-sama lensa 28mm dan juga Nikon F4 bersama-sama Nikkor 55mm. Filem pilihan saya untuk format 120mm adalah Fuji Pro 400 dan Kodak Portra (160, 400 atau 800) tetapi tiada jenama khusus untuk 35mm.

Elemen penting
Pengcahayaan pada waktu-waktu tertentu akan menyerlahkan warna-warna yang terhasil. Untuk mendapatkan warna yang menarik, saya suka merakam imej pada waktu pagi dan lewat petang.

Portra 800 c645-10

Inspirasi
Saya mengenali dunia analog secara serius dari kenalan jurufoto yang terdapat dalam laman maya seperti Facebook. Mereka membuka minda saya untuk terjun ke dalam bidang fotografi analog ini. Selepas menceburkan diri, barulah saya melihat hasil karya jurugambar-jurugambar analog terkenal, antaranya Jose Villa dan Jonathan Canlas.

Projek peribadi
Saya tidak mempunyai apa-apa projek khusus setakat ini. Fotografi adalah hobi saya, saya gunakan fotografi sebagai satu kaedah untuk mendekatkan diri saya kepada keluarga. Kerana itu kebanyakan imej yang saya rakam adalah anak-anak saya sendiri. Namun untuk kepuasan diri dan untuk menghidupkan fotografi analog, saya dan rakan-rakan di Kota Bharu sering keluar untuk merakam gambar-gambar berbentuk ‘human interest’ dan lain-lain.

Portra 160 - C645-1

Nasihat
Fotografi analog sangat menarik. Warna-warna yang terhasil adalah unik. Namun bidang ini memerlukan kesabaran dan ketekunan.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 21 (Okt/ Nov 2014)

fg21-cover