“Hilang”

10/01/2017 | miza

Teks & Foto: Andrialis Abdul Rahman

1d

Di dalam fotografi seni halus, ramai yang sering terkeliru atau sukar untuk menghayati hasil karya daripada jurugambar atau artis. Ini kerana fotografi seni halus ini tergambar sesuatu yang tidak mudah atau terlalu mudah dan pada kebiasaannya karya yang mencetuskan pemikiran aktif daripada penonton terhasil daripada idea seseorang jurugambar atau artis yang mempunyai visi jauh terhadap sesebuah karya yang ingin dihasilkan. Perkara ini sukar terhasil sekiranya jurugambar tidak merancang dengan teliti dan terperinci terhadap setiap aspek dalam proses penghasilan gambar.

1a

Daripada segi proses pemikiran idea kasar sesebuah karya, jurugambar itu hendaklah sentiasa peka terhadap perkara-perkara yang remeh kerana pada akhirnya, semua ketelitian itu akan diambil kira bagi menghasilkan sebuah karya yang dapat memukau penonton yang melihatnya.

Jurugambar juga boleh melibatkan diri sebagai seorang aktivis kerana karyanya akan dilihat oleh medium penonton yang pelbagai. Karya boleh dibentuk daripada apa-apa isu sekalipun kerana kreativiti adalah titik utama dalam bidang fotografi. Dengan adanya rancangan pembentukan karya yang terperinci dan mata yang sentiasa peka memerhatikan objek yang mahu diabadikan melalui lensa kamera, sesebuah karya akan dapat dicipta dengan lebih mudah alirannya.

Walau apapun, seseorang jurugambar atau artis itu hendaklah berani mencuba walaupun pada mulanya idea itu dianggap gila atau luar biasa kerana mungkin dengan meneruskan buah fikiran itu, sebuah karya yang sangat membuka minda dapat dihasilkan serta memukau mata para penonton.

Bagi mereka yang sukar untuk mendalami lebih jauh karya siri “Hilang” ini, saya sertakan di sini cerita pendek agar mereka dapat menghayati dan memahaminya dengan lebih dalam atau tercetus interpetasi yang tersendiri daripadanya.

1c

Acap kali jika genggaman kita tidak berapa erat, benda yang sedang kita pegang itu akan perlahan-lahan akan hilang melalui celahan jari kita.

“Hilang” menekankan hubungan di antara manusia dan alam sekitar yang sememangnya tidak akan dapat dipisahkan. Manusia memerlukan oksigen untuk respirasi dan tumbuhan pula memerlukan karbon dioksida untuk proses fotosintesis. Ikatan antara manusia dan keadaan sekeliling terutamanya tumbuh-tumbuhan amatlah kuat.

Karya ini menggambarkan jelmaan manusia seakan-akan ingin melarikan diri ke destinasi yang lebih indah, lebih stabil daripada dunia sekarang ini. Sepasang kaki yang ingin melangkah pergi daripada dunia yang kini terbatuk-batuk mengeluarkan gas bertoksik, sekujur badan yang ingin mengangkut dirinya beredar kerana tidak sanggup berdepan dengan keadaan yang serba huru-hara.

Bayangkan bumi tanpa pepohon, tanpa lambaian hijau dedaun. Bayangkan bumi tanpa akar-akar yang menyatukan tanah daripada runtuh dan berkecai. Bayangkan bumi yang disaluti konkrit seratus peratus tanpa ada elemen flora di sekelilingnya.

Manusia sering leka akan kepesatan teknologi, malah dibutakan dengan tamak haloba dan kita mula mengkhianati alam sekitar. Pokok-pokok ditarah dan kemudiannya diratakan demi sebuah unit blok bangunan pencakar langit.

Proses membentuk karya ini dijalankan dengan teliti agar mesej yang ingin disampaikan dapat diterima oleh penonton dengan jelas.

1b

Dengan keadaan bumi yang koma dan semakin kini parah, manusia seharusnyanya bangkit dan melawan nafsu yang mengawal rasa untuk menghapuskan jajahan flora di muka bumi ini sebelum semua nikmat ini hilang buat selama-lamanya. Manusia seharusnya sedar akan amukan alam sekitar yang perlahan-lahan terjadi akibat penat dibuli dan cengkaman oleh kerakusan mereka sendiri.

Simen akan kerap dibancuh, tar akan tetap diturap, dan batang demi batang pokok akan tumbang dilanggar jentolak berkuasa tinggi. Genggaman yang sediada harus ditutup erat, bukan dilonggarkan lagi. Jangan biarkan apa-apa yang kita ada ini lesap dimakan ketamakan. Karya ini mengetengahkan seseorang yang ingin menyelamatkan semua aset asli bumi kita sebelum ianya hilang selama-lamanya.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 20 (Ogos/September 2014)

fg-20-cover_m