GUIDE NUMBER-GN dalam pencahayaan fotografi – Selalu dilihat tetapi malas untuk difahami

02/04/2017 | miza

Teks & Foto: Ashraf Saharudin

_ACP0722-2

Isu kali ini bakal membincangkan sesuatu yang sering dilihat jurugambar, terutamanya mereka yang sering berdamping dengan lampu denyar (speedlight/flash) samada lampu denyar pada badan kamera (built in flash) atau lampu denyar yang dibeli berasingan seperti Nikon SB910, Nissin Di866 MARK II, Sony HVL-F58AM, Pantex AF540FGZ, Canon 600EX-RT, Olympus FL-50R dan model-model lampu denyar lain. Ini termasuklah jurugambar-jurugambar yang terlibat secara langsung dengan fotografi studio samada anda menggunakan ‘monobloc’ atau ‘flash head’. Jika diteliti pada spesifikasi produk pencahayaan, sering dilampirkan bersama-sama ‘Guide number’ atau singkatannya ‘GN’. Jadi apakah sebenarnya nombor GN ini dan apakah impak atau kepentingannya pada pencahayaan fotografi?

Kini terdapat banyak jurugambar yang menceburkan diri dalam dunia pencahayaan atau digelar ‘strobist photography’. Dunia ‘strobist’ menggunakan kaedah lampu denyar yang dipisahkan dari badan kamera dan diletakkan pada posisi-posisi tertentu bagi mendapatkan kesan seperti fotografi di studio. Namun tanpa pengetahuan asas dan kawalan pencahayaan yang betul, impak atau kesan seni pencahayaan yang dihasilkan mungkin kurang berkesan atau mungkin juga gagal.

GN atau nombor panduan ini dikeluarkan oleh pengeluar produk-produk pencahayaan sebagai rujukan terhadap kekuatan keamatan cahaya yang mampu dihasilkan oleh sesebuah produk pencahayaan tidak kira lampu denyar ataupun lampu studio.

Mengambil contoh Nikon SB910, jika diteliti spesifikasi lampu denyar yang dicatatkan oleh pengeluar Nikon, pada zoom lampu denyar 35mm, format FX, iluminasi standard, 20oC/68oF, GN lampu denyar ini adalah 34m/111.5kaki (ISO100) atau 48m/157.5kaki (ISO200). Ini bermaksud, dengan tetapan zoom lampu denyar pada 35mm bagi kamera berformat FX, pada suhu sekitar 20 darjah selsius, SB910 ini mampu memberikan iluminasi cahaya dengan baik pada subjek berjarak 34meter dengan tetapan ISO100. Manakala jika tetapan ISO ditingkatkan sehingga 200, jarak pencahayaan SB910 ini akan meningkat sehingga 48meter maksima.

Jika anda menggunakan lampu denyar Nissin Di866 MARK II pula, contoh spesifikasi yang diberikan adalah GN60(105mm, ISO100), maka jika zoom lampu denyar ditetapkan pada 105mm, ISO100, jarak terbaik pencahayaan adalah pada sekitar jarak 60meter. Sebarang objek yang berada lebih hampir akan mengalami dedahan terlampau atau terlalu cerah, manakala objek yang berada lebih jauh akan mengalami dedahan malap atau kelihatan gelap.

Bagi mengawal keamatan, serakan dan tona yang betul, adalah penting bagi seseorang jurugambar ‘strobist’ mengetahui dan memahami kemampuan lampu denyar yang digunakan. Perkara-perkara yang perlu diambil kira antaranya adalah jarak efektif lampu terhadap subjek, tetapan nilai apertur, ISO , kelajuan pengatup serta sudut serakan cahaya yang ditentukan dengan mengubah jarak zoom yang digunakan.

Masalah akan timbul jika tetapan bukaan apertur dan jarak efektif yang betul tidak diperoleh dengan tepat. Bagi mereka yang memiliki penyukat cahaya, mungkin masalah ini tidak akan timbul. Namun tanpa penyukat cahaya, berpandukan formula kiraan mudah yang bakal dikongsi, anda mampu mendapatkan nilai GN, bukaan apertur dan jarak efektif subjek daripada sumber pencahayaan.

Berikut adalah panduan faktor pekali bagi tetapan ISO yang bakal digunakan, anda boleh catatkannya sebagai panduan:

Faktor Pekali
ISO        Faktor
100            1
200         1.44
400         2.07
800         2.99
1600       4.30
3200       6.19

_ACP0726-2

Kiraan ‘Guide Number’
1. Nilai f-stop adalah nilai apertur yang ingin digunakan pada kamera.

2. Jarak subjek daripada sumber cahaya dikira atau dianggarkan dalam unit meter atau kaki.

3. Tetapan ISO pada ISO 100 merupakan nilai ISO yang sering diguna pakai dalam kiraan GN.
4. Nilai GN akan meningkat dengan nilai pekali 1.44 setiap kali ISO ditingkatkan sebanyak 1-stop, jika GN pada ISO100 adalah 60, maka GN terbaru bagi ISO400 adalah 60*1.44=86.4(bagi ISO200), 60*1.44*1.44=124.4~124 (bagi ISO400)

Mengambil contoh Nissin Di866 MARK II, nilai maksima GN yang diberikan adalah GN60(105mm, ISO100). Jika anda menggunakan ISO400 contohnya, formula ini boleh digunakan bagi mendapatkan jarak subjek daripada lampu denyar yang bersesuaian:
GN maksima pada 105mm, ISO100 =60
ISO yang bakal digunakan = 400(faktor pekali=1.44*1.44=2.07)
Bukaan apertur yang akan digunakan = f8

GN = Faktor pekali * Max GN
= 2.07 * 60
= 124.2~ 124

Nilai GN maksima terbaru bagi ISO400 ialah 124.

Maka jarak maksima terbaru bagi tetapan ISO400, f8 dengan jarak zoom lampu denyar 105mm adalah:

Jarak Maksima = GN / f-stop
= 124 / 8
= 15.5 meter

Maka jarak maksima subjek terbaru bagi tetapan ISO400, f8 dan jarak zoom lampu 105mm adalah 15.5meter.

_ACP0756-2
Kiraan Apertur
Jika jarak subjek daripada lampu denyar dan GN diketahui, maka nilai bukaan apertur dapat ditentukan:

f-stop = GN / Jarak subjek

Contohnya jika jarak subjek daripada lampu denyar adalah 3meter dan unit lampu denyar itu mempunyai GN60(105mm, ISO100) maka nilai apertur yang sesuai digunakan adalah:

f-stop = 60 / 3
= f20

Kehilangan cahaya
Dari sudut jarak pula, semakin jauh subjek dari suber cahaya, maka semakin malap sesuatu subjek tersebut. Nilai keamatan cahaya atau GN ini akan berkurang sebanyak dari keamatan asal pada jarak dua kali ganda.
Namun harus diketahui bahawa GN yang diperoleh adalah anggaran kerana pada situasi tertentu cahaya yang dikeluarkan oleh lampu denyar atau studio akan berkurang akibat daripada serakan cahaya ke arah yang berbeza dan berlaku kehilangan sumber cahaya. GN yang diberikan oleh pengeluar adalah sukatan keamatan cahaya yang dilakukan dalam keadaan terkawal di dalam makmal atau berdasarkan teori. Jika jarak subjek berada dua kali ganda dari jarak asal, tanpa mengubah keamatan cahaya pada lampunyar, jumlah kekuatan cahaya yang sampai hanyalah dari kekuatan asal.

Faktor-faktor luaran yang mengakibatkan kehilangan cahaya dan nilai GN yang berkurangan dari sepatutnya adalah seperti jarak sunjek terhadap sumber cahaya, pantulan-pantulan yang menyebabkan kehilangan serakan cahaya ke tempat-tempat lain dan beberapa faktor lain. GN bertindak sebagai rujukan asas dan memudahkan jurugambar dalam mengenal pasti kekukatan sesebuah unit lampu denyar.

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 07 (Jun/Jul 2012)

fg-07-cover_o