Gaya Tersendiri – Ikram Ismail

28/07/2017 | miza

Temuramah: Miza               Foto: Ikram Ismail

025
Ikram Ismail

Penglibatan beliau dalam industri fotografi selama 24 tahun telah mematangkan diri beliau untuk menempuh rintangan dan dugaan yang perlu dihadapi sebagai jurugambar perkahwinan. Penglibatan beliau yang lebih cenderung dalam bidang seni ini merupakan hasil daripada pengaruh yang besar daripada bapanya yang juga merupakan seorang jurugambar. Beliau merupakan graduan dari Institut Mensa dalam khusus Rekaan Grafik dan Kolej City of Westminster, United Kingdom dalam khusus fotografi Still Life. Selain itu beliau juga pernah mengambil khusus jangka pendek di London. Perjalanan kerjaya beliau bermula apabila beliau mengadakan praktikal sebagai penolong jurugambar dan mula bekerja sebagai jurugambar di Berita Publishing.

FG_0020

Makna Fotografi
Saya memang minat dalam bidang seni di samping perkerjaan tersebut dapat menjana pendapatan saya. Malah, sambil saya berkarya saya suka mencabar diri sendiri untuk merakam dengan lebih baik lagi dan menghasilkan karya yang memuas hati klien.

Gaya Tersendiri
Saya mempunyai gaya tersendiri dalam merakam fotografi perkahwinan apabila saya memerlukan peralatan yang banyak untuk merakam. Cara saya bekerja agak berlainan dengan orang lain kerana saya akan membawa 5-6 buah lampu denyar dan tangga bagi sesebuah majlis perkahwinan. Bagi saya, pencahayaan yang cukup adalah penting dalam menghasilkan imej yang menarik dan bercita rasa tinggi.

FG_0008Cabaran
Bagaimana untuk terus kekal dalam bidang ini kerana pada masa kini bilangan jurugambar yang banyak bak cendawan tumbuh lepas hujan. Setakat ini konsep fotografi yang saya bawakan berbeza berbanding dengan konsep yang mereka persembahkan. Kebanyakan jurugambar lebih gemarkan pencahayaan sediada berbanding pencahayaan yang banyak daripada lampu denyar. Oleh kerana cabaran pada masa kini agak mencabar, saya mempunyai beberapa sumber sokongan bagi menampung pendapatan saya dengan merakam gambar selain daripada genre fotografi perkahwinan dan menyewa studio milik saya kepada jurugambar yang ingin merakam rakaman dalam studio.
Tip terbaik rakaman perkahwinan
Buat kerja dengan ikhlas dan ambil gambar secara keseluruhan daripada cenderahati yang kecil hinggalah gambar yang wajib dirakam semasa majlis perkahwinan tersebut. Ini kerana setiap detik yang dirakam adalah berharga dan mempunyai nilai tersendiri. Seboleh-bolehnya kita sebagai jurugambar utama perlu merakam keseluruhan majlis dengan pelbagai sudut yang kreatif dan tersendiri. Penolong jurugambar yang dilantik hanyalah semata-mata untuk memberi bantuan apabila kita terlepas pandang untuk merakam sesuatu. Semasa merakam, anda perlu pandang dari sudut penonton yang melihatnya dan memahami kehendak klien anda.

FG_0003

Purata majlis perkahwinan
Saya menghadkan pengambilan rakaman majlis perkahwinan saya setiap bulan kerana saya ingin menghasilkan imej yang berkualiti bukannya sekadar dari segi kuantiti yang banyak. Bagi saya, kita perlu menghasilkan imej yang terbaik dalam setiap rakaman kerana majlis perkahwinan seseorang merupakan sebuah acara yang tidak akan berulang banyak kali. Jurugambar perkahwinan perlu bijak dan peka dalam menghasilkan rakaman dan sudut yang sesuai apabila berhadapan dengan klien yang cerewet ataupun pemalu.

FG_0027Kunci utama kejayaan
Semangat yang jitu dalam menghasilkan karya di samping berusaha untuk mengemaskini gaya tersendiri merupakan kunci utama dalam mengecapi kejayaan. Malah, kita jangan berfikiran negatif apabila ditegur oleh klien kerana apabila kita sentiasa berfikiran positif, kita dapat menghasilkan gambar yang lebih menarik di samping orang sekeliling juga selesa dengan cara perwatakan kita. Sekiranya kita ditegur mengenai hasil karya kita, sebolehnya anda perlu belajar dari kesilapan tersebut dan sentiasa menilai diri sendiri kerana itulah kunci kepada kejayaan di masa hadapan.

Nasihat
Timba pengalaman dari jurugambar senior di samping mendampingi mereka yang berpengalaman dalam bidang fotografi yang anda ingin ceburi. Sekiranya anda berpeluang menjadi pembantu mereka, pelajari dan terapkan ilmu tersebut agar anda boleh mengaplikasikannya serta mengolah mengikut kreativiti anda. Tidak dilupakan juga, pelajari asas fotografi dan memahami kehendak pelanggan sekiranya anda sebagai pelanggan bagi perkhidmatan yang anda tawarkan.

FG_0013

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 26 (Ogos/Sept 2015)

FG26 Cover