Fotografi X

18/04/2017 | miza

Teks & Foto: Mohd Azlan M.A.M08

Exif_JPEG_PICTURE
Two minutes to Midnight

“ Saya setiap bulan order 10 naskah majalah Fotografi X , hujung – hujung saya mesti kasi pulang 8 naskah , itu pun sebab encik sudah beli 2 tiap – tiap bulan . . . . “ .

Satu keluhan seorang penjual buku dan majalah yang sering saya lawat setiap hujung bulan untuk mendapatkan beberapa majalah fotografi berbahasa Malaysia , bahasa ibunda kita . Terkesima dengan keluhan beliau , saya bertanyakan kepada beliau .

“ Mengapa encik sedih , ini majalah Fotografi X tarak (tidak) habis setiap bulan ? “

Beliau termenung sebentar , dan kemudian menjawab .
“ Mana hati tarak (tidak) sedih , sini dalam ada 7 kamera punya kedai , satu hari puluh – puluh orang beli baru punya kamera . . . saya satu buku Fotografi X pun tarak boleh jual , kalu ini macam , baik saya jual kamera . . . ini budak semua mana belajar foto . . . itu internet sudah kasi hantam sama kita kah ? . . . .ada murah – murah punya kelas kah ?“

Exif_JPEG_PICTURE
Return of The Dark Legend

Hari itu, dalam curahan hujan kosmopolitan saya pulang dengan senyum tawar seraya berfikir di manakah silapnya kita dalam membudayakan aspek pembacaan dan santunan tatapan ilmu untuk generasi baru yang sedang berkembang bersama “kebuk–kebuk lensa” masing–masing . Seperti yang saya sebutkan dalam Forum “Antara Tamadun , Budaya dan Pemikiran” anjuran Expose UiTM pada 14 April yang lepas, ada yang bertrompet dengan kamera masing–masing agar diri dikenali sebagai seorang jurukamera atau jurugambar. Ada yang hanyut ke laut dalam umpama kapal tanpa nakhoda. Bak kata sahabat saya, saudara Mohd Hazli Hassan (Penolong Pengarang Berita, Utusan Online), ada yang berguru dengan guru–guru ajaran sesat dan semua fenomena ini umpama seperti yang turut diulas oleh Dr. Mustaffa Halabi (Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM) akan penyebab halatuju fotografi sebagai cabang seni rosak dengan sendirinya. Kerana apa? Kerana kurangnya budaya membaca, kurangnya budaya mengkaji, kurangnya budaya berdiskusi yang membina tentang fotografi itu sendiri. Rentetan itu, kita melahirkan ramai tentera–tentera fotografi yang mempunyai senjata lengkap, tetapi kurang berjuang di medan visual yang dapat menjulang martabat seni foto di tanahair kita. Kita hanya ramai melahirkan tentera–tentera yang mengikut arahan tetapi kita kurang pasukan khas yang dapat menyusup di celahan medan tempur seni visual.

Exif_JPEG_PICTURE
Random Monster

Pencetus suatu momentum dalam penerokaan atau penjelahan seseorang pengendali kamera sebenarnya bukanlah hanya aspek teknikal yang menitik beratkan sudut penggunaan teknikal alatan itu sahaja, sebaliknya perkara yang perlu ada dan difahami dengan bijaksana ialah ilmu asas dan nilai–nilai fundamental mengenai apakah itu fotografi? Seorang juruterbang selain harus tahu aspek teknikal dan pengendalian sesebuah pesawat, beliau juga harus tahu apakah keperluan sebenar untuk beliau menerbangkan pesawat tersebut? Supaya tidak nanti terbang gah di langit biru namun tiada landasan untuk mendarat kerana di lapangan yang sebenar, landasan yang jauh, lebih besar diperlukan. Ingin saya menyebutkan bahawa inilah sebenarnya antara masalah kita dalam menyelami maksud dan keperluan sebenar kita untuk berkarya di alam fotografi. Kita harus sedar di alam sebenar dan bukannya khayal di alam mimpi dan fantasi yang sedikit pun tidak dapat membantu julangan nafas seni fotografi kita.

Nikon dalam kempen terbarunya untuk kamera D800 atau juga dikenali sebagai “kamera multimedia“, telah meletakkan satu ungkapan “I Am A Work of Art“. Saya sehingga ke detik ini masih bertanya pada diri saya sendiri siapakah “I“ yang dimaksudkan itu. Apapun persolan dan konteksnya, ini menggambarkan iltizam dan keberanian pengeluar kamera seperti ini untuk mendasari jalur seni dalam rintisan peradapan fotografi itu sendiri. Kamera dan jurugambar tidak boleh dipisahkan dan begitu juga pemahaman asas dan pengetahuan tentang pengisian dalam sesuatu perincian terhadap karya-karya yang ingin kita persembahkan. Dalam konteks yang jelas, kehendak ilmu itu harus selari dengan kehendak kita yang sering mahukan alatan kamera yang serba canggih dan terkini.

Kabilah ii

Menyentuh tentang budaya membaca, suka saya membawa kisah W. Eugene Smith, seorang lagenda fotografi yang pernah berkhidmat dengan Newsweek, Life, dan akhirnya pada tahun 1957 menyertai Magnum Photos. Beliau terlalu dedikasi dalam tugasan beliau dengan menjalankan kajian, pelunasan idea dan proses pembacaan yang sangat terperinci sehinggakan beliau dianggap sebagai pemberi masalah oleh majikan dan editor beliau. Fanatiknya beliau adalah pada hasil kajian dan pembacaan tentang setiap tugasan dan projek fotojournalistik yang ingin beliau lakukan. Beliau dikenali sebagai pengamal seni fotografi yang mengetengahkan “Humanistic Photography” dalam kebanyakan karya-karya beliau. Ketika di kolej fotografi, Steve McCurry adalah sahabat beliau dan Steve sendiri terkejut dengan keazaman Smith yang gemar membaca dan meluangkan masa yang begitu lama di bilik gelap untuk mendapatkan hasil pemprosesan dan cetakan yang terbaik untuk gambar dan karya–karya beliau. Inilah salah satu contoh insan terdahulu yang mempunyai keazaman untuk membangunkan fotografi sebagai salah satu daripada karya seni dan wacana journalism. Melalui kaedah pengisian ilmu dan penyelidikan berterusan serta pembacaan secara terperinci maka barulah kita dapat berakit ke langit sebenar dunia fotografi .
Kita hari ini, dalam proses pendewasaan kita untuk menterjemah bahasa fotografi itu sendiri, harus mempunyai satu tekad bahawa fotografi itu haruslah bertunjungkan akar yang asas beserta ilmu fotografi itu sendiri agar seni ini tampak releven pada pandangan masyarakat. Bukan sekadar penyedap mata bidang komersial yang melambak–lambak di pasaran, tetapi harus juga mendasari konteks penyampaian seni visual untuk peradapan dan kesinambungan masyarakat dan bangsa kita. Seni foto harus bersifat kognitif dengan pengisian yang dapat memperkembangkan akal dan minda generasi pelapis kita. Kita tidak mahu dek arus industrialisasi era digital, industri fotografi umpama layu di hujung mekar. Kita tidak mahu dalam rencah sari kita mengaum di dada majalah–majalah komersil, graf kesinambungan seni kita makin menurun dan kita tidak mahu melahirkan generasi yang suka menerima tetapi kurang berfikir.

The Dream

Di dalam temubual saya oleh Ontoshiki, salah seorang blogger fotografi terkenal di Tokyo baru–baru ini, ada saya jelaskan mengenai konsep gambar yang “bersih” dan gambar yang “cantik”. Gambar yang cantik adalah imej yang singgah ke mata kita tetapi gagal untuk menembusi korteks dan kotak minda kita untuk proses penghayatan dan pencernaan serta pengisian maknanya. Manakala gambar yang bersih pula ialah imej yang terhasil daripada pra-visualisasi yang sangat teliti hasil kajian khusus tentang apa yang ingin dipersembahkan melalui pembacaan dan kajian ilmiah mengenai segala macam ilmu khususnya fotografi dan visual. Dengan ini, barulah kita berdiri sebagai seorang yang tidak begitu ‘judgmental’ atau taksub dengan sesuatu konsep sonsang yang sebenarnya tidak dapat membantu corak pemikiran masyarakat kita .

Saya sendiri sebagai seorang pengikut dan pengkaji tegar peralihan, transformasi dan pembawakan terkini fotografi tanahair, berpendapat bahawa proses “pendewaan” dan penerimaan sesuatu genre atau konsep fotografi hendaklah ada satu penilaian khusus agar dapat terus bersaing di kelompok seni visual yang lain. Jalinannya ada, masih menunggukan konduktor yang ramai untuk kita menggerak orkestra fotografi kita. Janganlah pula sehingga menjadi umpama koir sekolah yang tidak mempunyai guru vokal, terkandas awal di peringat saringan. Akhirnya murid–murid koir menyanyi sumbang di dalam bilik air. Bergeraklah kita dalam arus persaingan yang memungkinkan kita dilihat sebagai salah satu haluan yang bermanafaat dan dapat membantu masyarakat untuk menikmati dan memahami akan keperluan seni visual itu sendiri. Antaranya, Fotografi X.

The Guard of Tumpat

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 08 (Ogos/Sep 2012)

fg-08-cover_o