Fotografi Sukan – 9 kunci rahsia bagi mereka yang ingin menceburinya

06/12/2016 | miza

Teks & Foto: Arep Kulal

aktiviti-bersukan-di-sekolah-juga-membolehkan-anda-melakukan-aktiviti-melatih-teknik-mengambil-gambar-dari-sudut-dan-komposisi-yang-betul
Aktiviti bersukan di sekolah juga membolehkan anda melakukan aktiviti melatih teknik mengambil gambar dari sudut dan komposisi yang betul

Aksi di gelanggang bermula, muka didakapkan ke pembidik kamera masing-masing.Tanpa sedikit pun perasaan belas kasihan, butang pengatup ditekan semahunya apabila aksi masuk ke dalam frame kamera.Tiada langsung kedengaran suara.Hanya bunyi deretan pengatup yang memenuhi suasana.Mereka harus bersedia sewaktu aksi bermula. Melepaskan aksi di depan mata bermakna anda melepaskan imej yang mungkin menjadi tajuk utama.

Imej aksi-aksi sukan yang menarik, sudah pasti akan membuat para pembaca teruja. Walaupun pembaca mungkin tidak mengetahui akan dunia fotografi, imej aksi sukan mampu membawa aksi tersebut dekat kepada mereka.

Itulah sebenarnya keistimewaan sebuah gambar aksi sukan yang bukan sahaja menampilkan aksi atlit sukan, kejayaan yang mereka capai tetapi juga cerita kesedihan akibat kekalahan. Semuanya itu cuba dimasukkan ke dalam sebuah gambar oleh jurugambar yang dikenali sebagai jurugambar sukan.

kejohanan-golf-bertaraf-amatur-juga-membolehkan-anda-mengambil-gambar-para-atlit-dengan-lebih-dekat-tanpa-memerlukan-sebarang-kad-akreditasi
Kejohanan golf bertaraf amatur juga membolehkan anda mengambil gambar para atlit dengan lebih dekat tanpa memerlukan sebarang kad akreditasi

Ramai beranggapan kerjaya ini paling menyeronokkan.Masakan tidak, jaguh-jaguh sukan yang sering menjadi pujaan, betul-betul berada dihadapan anda.Namun jangan terperdaya dengan semua itu, kerana sekali anda terlepas aksi mereka, anda mungkin terlepas imej yang menjadi tajuk utama berita.

Sukarkah kerjaya ini?Soalan ini pada hakikatnya tiada jawapan yang paling tepat. Jika saya katakan ia sukar, sudah pasti ada pula mereka yang bekerjaya dalam bidang jurugambar yang lain mengatakan bidang mereka lebih sukar. Jadi, usah sempitkan minda anda dengan kesukaran.Anggap sahaja bidang ini mencabar dan menyeronokkan.

Ramai yang bertanya kepada saya, bagaimana untuk menceburi bidang ini?Tiada kelas khas, tiada bengkel atau kursus, tiada ceramah kerjaya dan tiada sesi teh tarik untuk ini semua.

Benar! Jika dibandingkan dengan bidang fotografi yang lain, itu semua tidak ada.
Oleh itu, untuk siri pertama ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca 9kunci rahsia untuk memulakan kerjaya anda sebagai seorang jurugambar sukan.

Semoga dengan perkongsian ini, anda mendapat informasi yang berguna bagi memulakan langkah anda sebagai salah seorang jurugambar sukan di Malaysia.

memahami-selok-belok-sesuatu-permainan-sukan-boleh-memberi-kelebihan-kepada-kerjaya-anda-sebagai-jurugambar-sukan
Memahami selok belok sesuatu permainan sukan boleh memberi kelebihan kepada kerjaya anda sebagai jurugambar sukan

9 Kunci Seorang Jurugambar Sukan

1. Tanya Minat Anda
Ini adalah rahsia yang pertama.Tanya diri anda, samada diri anda meminati bidang sukan ataupun tidak.Jika anda seorang yang tidak gemar bersukan, maka bidang ini mungkin tidak sesuai untuk anda.

Bidang fotografi sukan memerlukan seorang jurugambar yang bukan sahaja mampu merakamkan imej aksi sukan, tetapi juga lasak dan sentiasa bersedia.Ada sesetengah aksi sukan yang memaksa anda berdiri dibawah terik panas matahari, berjalan sejauh hampir 10km dan adakalanya bekerja ketika hujan lebat.Persediaan diri amat penting dalam memastikan anda mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini.

dalam-fotografi-sukan-golf-anda-memerlukan-peralatan-kamera-yang-sesuai-untuk-menghasilkan-gambar-seperti-ini
Dalam fotografi sukan golf, anda memerlukan peralatan kamera yang sesuai untuk menghasilkan gambar seperti ini

2. Lihat keupayaan anda.
Untuk menceburi bidang ini, anda harus melihat keupayaan anda. Bidang ini memerlukan seorang yang sentiasa peka dengan apa yang berlaku sekeliling. Bidang ini memerlukan seseorang yang boleh berfikir lebih dari pemikiran individu biasa.Dan bidang ini memerlukan seseorang yang mempunyai ‘nasib’ yang baik.

Kenapa ? Aksi sukan yang berlaku di hadapan anda tiada ulang tayang, anda perlu bersiap-sedia sepanjang masa. Itulah kata-kata keramat yang perlu dipegang sekiranya anda berminat untuk menceburi bidang ini. Nampak mudah, namun sekiranya anda tidak berpegang kepada kata-kata tersebut, tidak dapat berfikir pantas dari sudut mana setiap aksi perlu dirakamkan dan tidak bernasib baik, anda mungkin pulang hampa atau cemburu melihat kejayaan orang lain yang mampu merakamkan aksi-aksi menarik.

3. Pastikan peralatan yang bersesuaian.
Soalan yang sering diutarakan, kamera apa yang perlu saya beli dan lensa apa yang perlu saya pakai?Dua soalan lazim ini sering ditanya apabila seseorang itu ingin memulakan kerjaya mereka dalam bidang fotografi.

Percayalah, untuk merakamkan gambar aksi sukan, anda tidak perlu kamera yang mahal.TETAPI untuk merakamkan gambar aksi sukan yang cantik dan menarik, anda memerlukan peralatan yang bersesuaian.

“Sesiapa sahaja boleh merakamkan gambar aksi sukan samaada daripada menggunakan kamera atau pun kamera telefon bimbit. Tetapi untuk menghasilkan gambar yang berkualiti, gambar yang menarik, bernilai dan mampu dijual, peralatan yang sesuai sangat diperlukan.”

Kerjaya fotografi sukan ini ibarat seorang pemburu.Jika anda tidak menggunakan panah yang betul, anda sukar untuk mendapat hasil buruan. Tetapi jika anda mempunyai panah yang betul, tapi anda tidak tahu menggunakannya, anda juga tidak akan mendapat hasil buruan yang diidamkan.
Peralatan asas – kamera DSLR yang mampu merakam sekurang-kurangnya 6 ‘frame per second’ dengan lensa 70-200 f2.8. Ini modal permulaan anda.

4. Rajin mencari informasi
Jika anda membaca isu yang lalu, anda akan mengetahui, pada asalnya saya seorang yang buta fotografi. Namun bila timbul minat, saya berusaha dan laman-laman sesawang fotografi menjadi sumber rujukan utama saya.

Saya belajar setiap teknik fotografi sukan dan cuba mempraktikkannya sekerap mungkin. Pada peringkat awal, hasilnya amat menghampakan.Namun saya tidak berhenti dari terus membuat rujukan.

Beli buku-buku fotografi untuk mempelajari teknik-teknik asas dalam merakamkan aksi-aksi sukan.

Jadikan gambar-gambar sukan di internet, majalah, akhbar harian sebagai rujukan dan cuba dapatkan sudut dan hasil yang sama.

nasib-memainkan-peranan-untuk-menghasilkan-gambar-seperti-ini-motogp-test-2012
Nasib memainkan peranan untuk menghasilkan gambar seperti ini – MotoGP Test 2012

5. Bina Rangkaian Kenalan
Sertai kelab fotografi di kawasan anda.Anda perlu membina rangkaian kenalan dikalangan mereka yang berminat dengan fotografi sukan.Satu hari nanti, bantuan kenalan ini mungkin anda perlukan.Cari di laman sosial seperti facebook dan sebagainya.Cari seorang mentor yang mampu memberi nasihat dan pandangan membina ke atas setiap yang anda hasilkan. Tapi AWAS!jangan terpedaya dengan mereka yang berpura-pura hebat tapi pada dasarnya hasil kerja mereka tidak seberapa. Anda harus bijak menilainya sendiri.

6. Berlatih dan berlatih
Jika anda ingin menceburi bidang ini, anda harus rajin berlatih dan berlatih. Pada peringkat awal, ia adalah satu proses yang amat membosankan.

Anda harus ke padang bola untuk mengambil gambar kanak-kanak sedang bermain bola atau anda harus ke sukan sekolah untuk mengambil gambar atlit yang berlari dalam
sukan sekolah. Gunakan kamera anda dengan mengambil gambar objek yang bergerak.Mulakan dengan objek yang bergerak perlahan dan ubah bacaan kelajuan pengatup dan apertur anda. Anda akan belajar dari perbezaan yang anda lihat.

Tiada jalan singkat !Anda harus lakukan dari bawah.

7.Pertingkatkan latihan anda
Rajinkan diri anda dengan menghadiri aktiviti-aktiviti sukan yang tidak memerlukan pass akreditasi untuk jurugambar. Contoh pertandingan bolasepak persahabatan di tempat anda.Acara-acara ini pasti membolehkan anda berdiri dekat dengan objek yang ingin anda rakamkan.

Cuba ubah tetapan kamera anda bagi menghasilkan gambar dari sudut pelbagai dan cuba sesuatu yang lebih sukar. Jika sebelum ini anda cuba merakamkan imej yang bergerak perlahan, cuba pula objek yang bergerak laju dengan tetapan yang berbeza.

permainan-bolasepak-peringkat-amatur-juga-merupakan-medan-yang-sesuai-untuk-latihan-fotografi-sukan
Permainan bolasepak peringkat amatur juga merupakan medan yang sesuai untuk latihan fotografi sukan

8. Mulakan dengan sukan yang anda minati
Jika anda peminat sukan bolasepak, mulakan dan fokus dengan fotografi sukan bolasepak terlebih dahulu.Oleh kerana anda seorang pemain bolasepak, anda pasti tahu kemuncak aksi,posisidan lokasi aksi itu selalu berlaku.Ini dapat membantu anda dalam mendapatkan gambar aksi yang menarik.

Apabila anda sudah dapat merasakan keseronokannya, baru beralih ke sukan lain. Terlalu banyak jenis sukan yang boleh anda pelopori.

9. Bina portfolio anda
Gambar-gambar yang anda hasilkan perlu disusun dengan kemas mengikut kategori.Ini bagi membolehkan anda mudah mencarinya apabila perlu.

Apabila anda telah merasakan anda mampu merakamkan gambar-gambar dari sudut yang menarik, bina portfolio anda.

Bina laman sesawang, blog atau menggunakan medium talian sosial untuk menceritakan apa-apa yang anda lakukan dan apa-apa yang boleh anda lakukan.

Pada waktu ini, anda akan lihat bagaimana kerjaya anda bergerak sendiri dan hasil kerja anda, bercakap bagi pihak anda !!!

 

Artikel ini telah dikeluarkan dalam majalah Fotografika isu 06 (Apr/Mei 2012)

fg-06-cover